Tuesday, December 20, 2011

Keluarga Shahrizat beli kondo RM10 juta di Singapura

PETALING JAYA 20 Dis: KEADILAN hari ini tampil mendedahkan satu lagi pembelian kondominium mewah oleh keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.
Kondominium tersebut yang didakwa dibeli di Singapura, dianggarkan berharga RM9.9 juta dengan keluasan 2,282 kaki persegi.
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution ketika mendedahkan dokumen pembelian berkenaan berkata, kediaman mewah beralamat di 7 Anthony Road, #14-24, Ochard Scotts itu dibeli pada 27 Januari 2010.

Katanya, carian rasmi menunjukkan ia didaftarkan atas nama suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan dua anak mereka, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Zabedah Mohamad Salleh.

Mohd Salleh adalah pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) yang sebelum ini didedahkan menyelewengkan RM250 juta dana, termasuk membeli kondominium mewah di Bangsar.
“Kalau sebelum ini kondo One Menerung (di Bangsar) didaftarkan atas nama syarikat NFC, namun kali ini ia didaftar terus nama keluarga mereka, ” kata Saifuddin ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini.

Turut hadir Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Saifuddin, rekod pihak berkuasa Singapore Redevelopment Authority,  menunjukkan keluasan unit kondominium itu merupakan antara yang paling selesa di kawasan pusat bandar itu.
Katanya, rekod berkenaan adalah hasil carian di agensi yang mengawal selia tanah negara itu, Singapore Land Authority.

No comments: