Monday, August 27, 2012

Pakatan jamin bela hak Melayu dan kaum lain – Anwar


(Oleh Aedi Asri)

BAGAN SERAI 27 Ogos: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas, hak keistimewaan orang Melayu dan lain-lain kaum akan terjamin jika Pakatan Rakyat (Pakatan) berjaya membentuk Kerajaan Pusat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, antara tawaran Pakatan jika menang pilihan raya termasuk menurunkan harga minyak dan kereta serta membatalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, rakyat tidak bodoh untuk terus percaya dakwaan Umno BN bahawa negara akan bankrap jika ditadbir Pakatan.
“Rakyat tak bodoh…(Menurut Umno BN) negara akan bankrap (sedangkan) kita bagi fakta,” katanya merujuk tawaran berkenaan ketika berucap pada Ceramah Perdana Demi Rakyat di sini, malam tadi di hadapan kira-kira 4,000 hadirin.

Anwar berkata, semua golongan akan mendapat keuntungan daripada tawaran tersebut, terutama rakyat miskin dan kebanyakannya Melayu.

Beliau turut menyangkal tohmahan sesetengah pihak mengatakan nasib orang Melayu tidak akan terbela di bawah pentadbiran Pakatan.

Menurutnya, KEADILAN, PAS dan DAP bersetuju memberi jaminan untuk terus membela Melayu dan pada masa sama hak kaum lain sebagai warganegara yang sah.

“(Ini kerana) Malaysia tidak akan selamat kalau orang Melayu (sebagai kaum majoriti) tersisih dan tidak kuat,” kata Anwar lagi.

Jelasnya, orang Melayu tidak mendapat pembelaan sebenar di bawah pemerintahan Umno BN yang hanya mengkayakan keluarga dan kroni.

Beliau memberi contoh skandal RM250 juta National Feedlot Corportaion (NFC) melibatkan keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan terbaru, kontrak membekal bahan api selama enam bulan untuk pesawat MAS yang diberi kepada Petron, milik Mirzan Mahathir.

“Ahli-ahli Umno yang bawah dapat apa? Itupun ahli masih lagi (melaungkan) ‘Hidup Melayu’,” kata Anwar sinis.

29 Jun lalu, Petron dan MAS menandatangani perjanjian bagi membeli dan membekal bahan api untuk pesawat Airbus A380 selama enam bulan berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Selain Anwar, turut berucap adalah Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Perak, Dr Muhammad Nur Manuty; Ketua Biro Latihan , Mustaffa Kamil Ayub dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, V Sivakumar.

Anwar turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, Beh Heng Kin dan Alphonse Arulandu di atas sumbangan mereka kepada Pakatan Rakyat.


No comments: