Sunday, August 19, 2012

PERUTUSAN EIDULFITR 1433H -- YB DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, Yang Maha Penyayang dan Maha
Mengasihani, kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita telah berjaya
menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan
ini.

Saya dan Azizah mewakili keluarga, kepimpinan dan anggota KEADILAN
seluruhnya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitr 1433 Hijrah
kepada semua sahabat handai, rakan taulan serta muslimin muslimat
sekalian dengan lafaz minal eidil walfaizin wal maqbulin. Kemaafan
dipohon daripada saudara-saudari seluruhnya atas sebarang
keterlanjuran kata dan perilaku.

Menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan merupakan suatu ujian
kepada umat Islam; ujian melawan nafsu yakni musuh utama kita dan
seandainya berjaya, maka kita akan dianugerahi Alllah SWT dengan
petunjuk serta keampunan.

Syawal tahun ini juga masih disambut dengan suasana negara yang parah
dengan penyalahgunaan kuasa; apabila amanah yang diberi rakyat untuk
memimpin dikhianati dengan amalan kronisme dan rasuah, peningkatan
drastik statistik jenayah, politik dendam yang tidak berkesudahan dan
agenda jahat yang bertujuan memecahbelahkan keharmonian sesama kita.

Justeru, marilah kita sama-sama menyambut bulan yang mulia ini dengan
penuh keinsafan, kesederhanaan dan penuh kesabaran. Moga Syawal tahun
ini menguatkan keazaman kita untuk kekal istiqamah dalam menuntut
perubahan serta menggilap semangat perjuangan menegak yang hak dan
yang adil serta menolak kezaliman dan kebobrokan.

Salam Eidulfitr. Maaf zahir dan batin.

ANWAR IBRAHIM


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: