Thursday, May 29, 2014

Raja Nazrin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak Darul Ridhwan yang ke-35



Raja Nazrin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak Darul Ridhwan yang ke-35 tepat jam 3.15 petang ini.

Pengumuman pelantikan itu diumumkan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (Bersara) Tan Sri Mohd Zainuddin di sebelah jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar petang ini.

Ia kemudian diikuti oleh pengakuan sumpah Raja Nazrin bahawa baginda akan memerintah dengan adil berdasarkan hukum Allah.

Raja Nazrin adalah anak tertua kepada Sultan Azlan Shah dan menjadi Raja Muda Perak sejak 1984.
Sultan Azlan, 86, mangkat pada jam 1.30 semalam di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur.

Raja Nazrin, 57, mempunyai ijazah pertama dalam Filosofi, Politik dan Ekonomi daripada Worcester College, Oxford.

Baginda juga mempunya ijazah Master dalam Pentadbiran Awam daripada Kennedy School of Government, Harvard dan mendapat ijazah doktor falsafah dalam bidang Ekonomi Politik dan Kerajaan daripada Universiti Harvard.

Raja Nazrin juga biasa menulis dan memberi syarahan dalam pelbagai bidang termasuk peranan dalam raja berperlembagaan di Malaysia, pendidikan, Islam, hubungan antara kaum dan pembangunan ekonomi.

Baginda dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaya sejak 1989 dan Pengerusi Lembaga Gabenor Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Raja Nazrin berkahwin dengan Zara Salim Davidson dan mendapat sepasang cahaya mata Raja Azlan Muzaffar dan Raja Nazira Safya Shah. – 29 Mei, 2014.

TMI

Pertahankan Tanah Kita, Pulau Batu Puteh Wajib Dikaji



Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini menitahkan kerajaan negeri Johor menubuhkan pasukan khas mengkaji untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh.

Sultan Ibrahim bertitah, langkah itu sejajar dengan pesanan ayahanda baginda, almarhum Sultan Iskandar Pulau Batu Puteh adalah milik Johor dan pulau berkenaan mesti kekal menjadi sebahagian daripada negeri Johor.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Bukit Timbalan, Johor Baru, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah baginda mahu kontraktor tempatan turut mendapat faedah daripada pelaksanaan pembangunan kompleks petroleum Pengerang dekat Kota Tinggi.

Baginda bertitah, pembangunan itu yang akan memberikan impak besar terhadap ekonomi Johor sepatutnya turut memberi faedah kepada rakyat Johor.

Mengenai kebanjiran pelabur dari China terutamanya dalam sektor hartanah di negeri ini, Sultan Ibrahim bertitah pelaburan seumpama itu amat diperlukan bagi mengekalkan pembangunan ekonomi kerana Johor tidak boleh hanya bergantung kepada pelabur tempatan sahaja.

"Kebetulan pada masa ini hanya pelabur dari China yang dilihat lebih berminat untuk datang ke Johor kerana mereka percaya dengan potensi yang dimiliki negeri ini serta dasar kerajaan yang mesra pelabur," titah baginda.

Sultan Ibrahim dalam pada itu mahu sebuah Perbadanan Alam Sekitar Negeri Johor diwujudkan di bawah Enakmen Negeri Johor seperti yang sudah ditubuhkan di Melaka, Sabah dan Sarawak bagi menjaga dan memelihara alam sekitar negeri Johor.

Mengenai cuti mingguan negeri ini, Sultan Ibrahim mahu kerajaan negeri Johor menyelaraskan cuti mingguan bagi semua sektor di negeri ini kepada hari Jumaat dan Sabtu seperti yang diisytiharkan.

Baginda bertitah terdapat rungutan ibu bapa yang bekerja di sektor swasta mereka tidak dapat meluangkan masa bersama anak disebabkan terpaksa bekerja pada Jumaat.

Sambil melafazkan syukur kerana negeri Johor bertambah makmur, Sultan Ibrahim mengingatkan semua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan politik masing-masing.

Baginda juga mahu semua anggota DUN supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa berbahas.
"Saya ingatkan pikul amanah yang diberikan rakyat dengan penuh tanggungjawab tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau parti politik," titah baginda. – Bernama, 29 Mei, 2014.

Wednesday, May 28, 2014

KEADILAN Merakamkan Sembah Takziah Di Atas Kemangkatan DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan




KEADILAN merakamkan sembah takziah di atas kemangkatan DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah hari ini.

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan keampunan-Nya dan melimpahkan rahmat-Nya buat Al-Marhum Sultan Azlan.

Al-Fatihah.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

28 Mei 2014

Porcine Dikesan Dalam Coklat Susu Kacang Hazel & Buah Badam Cadbury



PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan hari ini bahawa mereka yang termakan khinzir tidak perlu menyamak mulut.

Beliau mengulas mengenai isu coklat Cadbury yang baru-baru ini disahkan mengandungi DNA khinzir.

“Seseorang itu tidak berdosa dan tidak perlu menyamak. Tetapi apabila sudah mengetahui coklat itu ada DNA khinzir, janganlah makan coklat itu dengan sengaja,” katanya kepada FMT.

Asri turut mengatakan bahawa pihak kerajaan juga tidak seharusnya dipersalahkan, tetapi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seharusnya lebih berhati-hati ketika memberi pensijilan halal.

Beliau turut menyatakan bahawa jika seseorang itu menyamak, maka dia berlebih-lebihan dalam agama.

“Jika seseorang itu berbuat demikian (menyamak) maka dia bertindak di luar daripada apa yang patut,” katanya.

Menurut Asri, malah isu samak jika terkena khinzir ini terdapat khilaf di antara mazhab.

“Jika seseorang terkena air liur anjing maka wajib samak. Tetapi Imam Nawawi dari mazhab Syafie sendiri mengatakan bahawa kita tidak perlu samak dalam apa segala keadaan.”

Daging khinzir telah dijelaskan dalam al-Quran bahawa ianya haram dimakan tetapi ia tidak dinyatakan sebagai najis, katanya.

Kementerian Kesihatan pada hari Sabtu mengesahkan bahawa DNA khinzir (porcine) telah dikesan dalam coklat susu kacang hazel dan buah badam Cadbury Dairy Milk.

Dalam sebuah kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa ini berdasarkan keputusan analisis dua jenis coklat tersebut.

Walaubagaimanapun, coklat susu Cadbury Dairy Milk Chocolate tidak dikesan mempunyai DNA khinzir.

Pihak pengeluar, iaitu Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd, telah memberi jaminan untuk menarik balik produk-produk terbabit dari pasaran serta-merta.

fmt

Monday, May 26, 2014

Azmin Bukan Ancaman Kepada Parti - Presiden Wan Azizah Wan Ismail



Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini tidak melihat Mohamed Azmin Ali sebagai ancaman kepada PKR kerana menganggap semua sebagai satu pasukan.

Presiden PKR itu berkata Azmin sebagai penyandang jawatan timbalan presiden tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kerana semua keputusan mesti diputuskan bersama.

"Eh, tidaklah. Diakan penyandang. Tidak akan jadi ancaman.

"Kamikan konsensus dan satu pasukan. Tidak kiralah suara kuat atau pun tidak," katanya ketika menghadiri majlis perkahwinan anaknya di Kajang hari ini.

90% cabang PKR sudah selesai membuang undi, maka sebarang usaha untuk menyekat kemaraan Azmin daripada menjadi timbalan presiden PKR untuk penggal seterusnya sudah hampir pasti tidak akan berjaya.

Oleh itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berkompromi dengan Azmin jika beliau terpaksa masuk ke penjara sekali lagi dan meninggalkan PKR diuruskan isteri dan orang kepercayaannya.
Menurut sumber dalaman parti, Azmin didakwa terlalu ego dan tidak lagi menghormati Anwar selaku pemimpin utama PKR dan sanggup mempertikaikan peranan Anwar dan keluarganya.

Atas sebab itulah Datuk Saifuddin Nasution Ismail diletakkan sebagai calon.

Namun selepas pemilihan hampir selesai, Azmin terus berada di depan dengan mendapat undi terbanyak, meninggalkan Khalid di tempat kedua dan Saifudin ketiga di kalangan tiga calon yang bertanding jawatan timbalan presiden.

Keputusan sehingga 11 Mei dikeluarkan PKR menyaksikan penyandang, Azmin mendapat 12,250 undi manakala Khalid memperolehi 8,123 undi dan Saifuddin pula 6,997 menjadikan Azmin hanya mendapat sokongan tidak sampai 45% untuk jawatan itu.

Bagaimanapun, keputusan tersebut masih tidak rasmi memandangkan keputusan 27 cabang yang dibatalkan sebelum ini.

"Memang Khalid dan Saifudin masih mempunyai peluang untuk menang, namun saya jangkakan Azmin akan menang tipis sebagai timbalan presiden," kata sumber yang terlibat secara langsung dalam pemilihan PKR itu.
Ketika Azmin berada di hadapan, regu Saifudin iaitu Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli mendahului calon-calon lain untuk jawatan naib presiden. – 25 Mei, 2014.

TMI

Friday, May 23, 2014

Setakat Ini Kerusi TP Masih Status Quo, Ahli Wajib Kekal Tenang


PETALING JAYA: Penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali selesa mendahului pesaingnya dalam perebutan jawatan kedua tertinggi parti itu.
Menurut keputusan rasmi pengundian sehingga 11 Mei lalu, Azmin memungut 14,676 undi diekori oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (10,318 undi) dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail (7,306 undi).
Perbezaan undi antara Azmin dan Khalid adalah sebanyak 4, 358 dan meletakkannya unggul mendahului sejak awal pengundian lagi.
Sementara itu, dalam perebutan 14 penjuru jawatan naib presiden, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Rafizi Ramli yang membentuk gabungan menghadapi pemilihan parti kali ini unggul mendahului calon-calon yang lain.
Nurul Izzah memperolehi 17,725 undi diikuti Tian (15,664 undi) dan Rafizi (13,170 undi).
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin berada di tangga keempat dengan (11,060 undi) diikuti oleh Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian (10,898 undi), Adun Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar (10.364 undi) dan ahli parlimen Kuantan  Fuziah Salleh (9,099 undi).
Nurul Izzah, Tian dan Fuziah merupakan penyandang jawatan naib presiden PKR.
Dalam perebutan jawatan Ketua Wanita PKR, penyandangnya iaitu ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin (4,936 undi) mendahului Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail (4,558 undi) yang juga merupakan timbalannya.
Zuraida kekal mendahului Rodziah dan Rodziah hanya dipisahkan sebanyak 378 undi bagi merampas jawatan Ketua Wanita PKR pada kali ini.
Adun Batu Caves Amiruddin Shari pula mendahului dua calon lain dalam perebutan jawatan Ketua AMK setelah memungut 2,666 undi diikuti oleh Timbalan Speaker DUN Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad (2,255 undi) dan aktivis parti Nazree Yunus (1,631 undi).
Pemilihan semula bagi 22 cabang yang ditangguhkan akan diadakan pada 31 Mei dan dijangka berakhir pada 22 Jun.
Antara 22 cabang yang ditangguhkan ialah Setiu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, Pengerang, Tenggara, Bukit Katil, Sungai Petani, Jerantut, Paya Besar, Pasir Putih, Batang Sadong, Kapit, Julau, Sarikei.

fmt

Monday, May 19, 2014

Budaya Berfikir Bermula Dengan Membaca


Dalam perkembangan mutakhir, Malaysia menempa nama kerana mengharamkan buku. Dua buku terbaru yang diharamkan ialah karya novel Perempuan Nan Bercinta oleh Faisal Tehrani dan buku terjemahan Asal-usul Spesies oleh Charles Darwin.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam laman sesawangnya menyatakan bahawa sejumlah 1,532 penerbitan telah diharamkan. Alasan yang diberikan ialah penerbitan tersebut boleh memudaratkan keselamatan awam.
Tidak cukup dengan pengharaman oleh KDN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut serta mengharamkan penerbitan tertentu. Alasan Jakim ialah penerbitan tersebut melanggar Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Berunsur Islam serta pegangan Ahl Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan umat Islam di Malaysia.
Yang peliknya buku versi asal Charles Darwin yang ditulis dalam Bahasa Inggeris tidak diharamkan kerana tiada aduan mengenai bukan tersebut. Sementara itu, penulis novel Perempuan Nan Bercinta, Faisal Tehrani, juga berkata bahawa tiada pihak yang membuat laporan polis terhadap bukunya.
Sebelum dua buku tersebut, sejumlah buku turut sama diharamkan. Antaranya ialah Akhirnya Ku Temui Kebenaran oleh Dr Muhammad al-Tijani al-Samawi.
Karya asal dalam bahasa Arab bertajuk Summa Ihtadaitu yang diterbitkan pada tahun 1990. Terjemahan ke Bahasa Malaysia dibuat pada 1995 dan diterbitkan oleh Kumpulan Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa.
Oleh kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia turut sama terlibat dalam pengharaman buku, satu perspektif baru ingin diketengahkan kepada para pembaca dalam membincangkan isu pengharaman.
Allah SWT sama sekali tidak menyuruh umatnya untuk mengharamkan buku atau sebarang jenis penerbitan. Malahan Allah SWT menggalakkan umat manusia membaca.
Surah Al-Alaq (96:1) menyatakan seperti berikut: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.”
Kepentingan umat manusia menggunakan akal fikiran turut terserlah di dalam Al-Quran seperti mana yang tercatat dalam Surah Ali-’Imraan (3:190).
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”
Berupaya berfikir
Pembacaan hanya akan mempertajamkan minda. Pengharaman buku oleh KDN dan Jakim memberikan gambaran seolah-olah umat Islam di Malaysia tidak berupaya berfikir. Pihak berkuasa wajar mempertimbangkan kaedah yang lebih bijak berbanding dengan pengharaman buku.
Terdapat kaedah yang lebih matang yang wajar digunakan oleh pihak berkuasa untuk berhadapan dengan aliran penulisan yang bertentangan dengan pemikiran massa.
Satu contoh baik yang wajar dipertimbangkan pihak berkuasa ialah filem Inggeris bertajuk The Da Vinci Code.
Filem berasaskan buku dengan tajuk sama ini mempunyai asas cerita yang kontroversi iaitu Nabi Isa mempunyai anak gadis dan susur galur keluarga yang menjadi sebahagian daripada keluarga diraja Perancis.
Filem dan buku tersebut tidak diharamkan di Malaysia mahupun negara Barat yang mengamalkan agama Kristian meskipun kebanyakan gereja di Asia telah memprotes penayangan filem tersebut.
Sebaliknya kesemua idea kontroversi di dalam karya filem dan buku tersebut telah dibuktikan salah dalam satu siri dokumentari yang ditayangkan di saluran National Geographic Channel.
Inilah yang diungkapkan dengan peribahasa bertemu teras dengan beliung.
Takkanlah tiada penulis di Malaysia yang cukup bijak di Malaysia untuk menghasilkan novel dan pada masa sama membidas hujah-hujah yang dikemukakan oleh Faisal Tehrani.
Takkanlah tiada pengkaji bidang Islam yang berupaya menangkis hujah-hujah yang dikemukakan oleh Charles Darwin. Sudah tentu akan ada jabatan kerajaan yang dapat memberikan sumbangan dana untuk penerbitan buku seumpama ini.
Kos penerbitan buku pun tidak semahal penerbitan filem seperti Tanda Putera. Secara tidak langsung kehadiran buku-buku yang menangkis hujah sesebuah karya akan turut sama mewarnai industri penerbitan buku.
Tepuk dada tanya selera.

FMT

Tuesday, May 13, 2014

Jika Bubar KEADILAN Siap Siaga

KUALA LUMPUR 13 MEI: Pakatan Rakyat bersedia bila-bila masa sekiranya berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan sehingga memaksa pilihan raya negeri (PRN) diadakan, kata Timbalan Presiden KEADILAN Mohamed Azmin Ali.
Katanya, pihaknya masih menunggu keputusan DUN dahulu sebelum mengadakan mesyuarat dengan parti mengenai isu di Terengganu.
“Saya akan memanggil supaya diadakan perjumpaan dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Terengganu dan pimpinan tertinggi KEADILAN untuk berbincang mengenai kedudukan parti serta calon,” katanya.
Menurut laporan Malaysian Insider, Azmin hari ini berkata, setakat ini masih belum ada perbincangan antara parti dalam Pakatan Rakyat, namun menjangkakan mesyuarat tergempar Majlis Presiden akan diadakan dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai krisis di Terengganu, Azmin berkata Umno sepatutnya menghormati mandat rakyat dan menggesa agar diadakan pilihan raya semula.
“Itu merupakan jalan terbaik selepas Umno gagal menyelesaikan masalah mereka sendiri dan kita sendiri tidak mahu peristiwa krisis perlembagaan di Perak berulang,” katanya.

KD

Monday, May 12, 2014

Sudah Jangka Mainan Kekecohan Kerana Selangor Kubu Kuat Penyandang




Penyandang Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata beliau sudah menjangka kekecohan dan pembatalan keputusan pemilihan lebih setengah cabang parti itu di Selangor akan berlaku.

Bagaimanapun beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

"Kita akan bersabar menantikan keputusan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP)," kata beliau kepada Malaysiakini ketika ditemui di Pulau Pinang hari ini.

Semalam kekecohan berlaku di lebih 13 cabang PKR Selangor ketika pemilihan dijalankan, menyebabkan proses pengundian tidak dapat dijalankan.

Johari akan mengumumkan keputusan rasmi parti berkaitan insiden itu hari ini.

Berdasarkan keputusan rasmi sehingga 4 Mei yang diperolehMalaysiakini, Azmin mendapat 9,876 undi mendahului Khalid (6,217) dan Saifuddin (5,717).

Sementara itu, sumber rapat dengan Azmin mendakwa sabotaj yang berlaku dibuat sendiri oleh JPP bagi mengekang kemenangan penyandang kerusi itu.

"Menyedari Selangor adalah kubu kuat Azmin Ali dan mempunyai ahli paling ramai, JPP yang dikepalai (Datuk) Johari Abdul dan (Datin Paduka) Tan Yee Kew telah dengan sengaja membatalkan pengundian beberapa seluruh Selangor," kata sumber itu kepadaMalaysiakini.

Johari ketika dihubungi berkata akan memberi komen berhubung dakwaan itu dalam sidang medianya hari ini.

MK

Dukacita JPP Amat Bersahaja Melepaskan Batuk Ditangga.


Suasana huru-hara dalam pilihan raya PKR di Selangor hujung minggu lepas mencerminkan tahap krisis kepimpinannya, di mana pemimpin utama mereka berebut untuk menerajui parti berusia 15 itu untuk menawan Putrajaya, kata pemerhati politik.
Ini pula boleh memberi kesan kepada cara parti ini maju ke hadapan dan bagaimana ia akan berfungsi dengan efektif dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) dan dalam kerajaan, kedua-dua negeri dan Persekutuan, tambah mereka.
Seorang pemerhati juga mengatakan kegagalan parti itu untuk melangsungkan pilihan raya yang lancar akan menjejaskan imejnya sebagai penyokong demokrasi dan pilihan raya bersih dan adil.

Kedua-dua personaliti peringkat nasional itu sebahagian daripada generasi akan datang yang akan mengambil alih kepimpinan parti jika apa-apa terjadi kepada pemimpin de factonya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut ahli PKR, pilihan raya ini sepatutnya menghentikan pergaduhan antara dua ikon terbesar parti itu, Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sesiapa yang memenangi jawatan timbalan presiden yang direbut ramai akan dapat merangka hala tuju parti itu, termasuklah bagaimana PAS dan DAP dapat berfungsi dengan efektif sebagai rakan PR.  
Difahamkan berlaku banyak kekecohan dan pergaduhan antara ahli parti antara kem Khalid dan Azmin semasa proses undian semalam di kebanyakan daripada 22 cabang di Selangor.
Selangor memiliki keahlian lebih daripada 30%, iaitu 16,000 daripada jumlah keseluruhan ahli PKR seramai 500,000.
Jumlah itu menyebabkan kebanyakan pemilihan di pusat undi menjadi panas, kata seorang pemimpin di cabang Kuala Lumpur.
Keputusan awal pada 4 Mei lalu menunjukkan Azmin mendahului Khalid dengan beza 3,659 undi yang sekaligus sapu bersih undi dengan mudah semasa akhir hari pengundian, menurut sumber Selangor.
Semalam, 12 daripada 22 cabang Selangor dibatalkan pemilihan selepas perbalahan antara pengundi yang tidak berpuas hati dengan pengendalian proses undi.
12 cabang terbabit adalah Subang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang, Klang, Kuala Selangor, Selayang, Kota Raja, Shah Alam, Sungai Besar, dan Kapar.
Difahamkan, berlaku insiden bertumbuk antara ahli di cabang Sepang, sementara di Kota Raja, sekumpulan lelaki berang bertindak menendang dan menterbalikkan peti undi dan meja di pusat mengundi.
Manakala di Hulu Selangor, berlaku perbezaan undi apabila jumlah undi tidak sama dengan jumlah ahli keluar mengundi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin ketika mengulas insiden terbabit berkata, tindakan JPP yang gagal mengawal keadaan memalukan parti dan menggesa supaya kepincangan dalam pemilihan diperbaiki segera.
"Majlis Pimpinan Negeri (MPN) melahirkan rasa kesal kerana sebahagian daripada Pengawas Pusat tiba lewat di pusat mengundi dan menyebabkan kelewatan proses mengundi bermula.
"Tatakelola JPP yang dilihat seperti melepaskan batuk di tangga ini memalukan parti.
"Diharap JPP segera membaiki kepincangan dalam Pemilihan 2014 agar proses demokrasi dapat dilaksanakan oleh anggota dan maruah parti dapat dikembalikan," katanya.
Sebelum ini, 17 cabang PKR di seluruh negeri dibatalkan pemilihannya disebabkan beberapa masalah.

TMI

Friday, May 9, 2014

Terkini Masih Status Quo Untuk TP

Pemilihan PKR setakat ini menyaksikan penyandang Timbalan Presiden PKR Azmin Ali terus mendahului dua lagi pencabarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution.

Berdasarkan keputusan rasmi sehingga 4 Mei yang diperolehi Malaysiakini, Azmin mendapat 9,876, manakala Khalid (6,217) dan Saifuddin (5,717).

Sementara itu, bagi jawatan naib presiden pula, tiga regu kumpulan Saifuddin – Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli dan Tian Chua masih mendahului tiga tempat teratas.

Nurul Izzah mendapat 13,013 undi, Tian Chua (11,845) dan Rafizi Ramli (10,561).

Mereka diikuti oleh dua calon yang dilihat bergabung dengan kumpulan Azmin - Baru Bian (7,210), Shamsul Iskandar (7,161) dan Xavier Jeyakumar (6,776) - manakala Fuziah Salleh mendapat 5,955 undi.

Sementara itu, persaingan bagi kerusi Ketua Pemuda PKR pula menyaksikan persaingan sengit di kalangan tiga calon yang bertanding.

ADUN Batu Caves Amiruddin Shaari mendapat 1,619 undi, mendahului pesaing terdekat Timbalan Speaker Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad (1,540) dan aktivis antirasuah Nazree Yunus pula memperolehi 1,036 setakat ini.

Jawatan Ketua Wanita pula menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin mendahului dengan 3,180 undi, diikuti exco Selangor Rodziah Ismail yang mendapat 2,626 undi setakat ini.

Pengundian PKR bermula 25 April lalu dan akan berlangsung secara berperingkat mengikut negeri sehingga 11 Mei depan.

Seramai 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli parti itu layak mengundi. Kesemua jawatan tertinggi parti ditandingi kecuali Presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang menang tanpa bertanding. 
-MK 



Thursday, May 8, 2014

Timbang-Tara Hudud Di Negara Jiran




Hukum Hudud telahpun dilaksanakan di Brunei. Berikut adalah kandungan hudud yang dijalankan di Brunei pada ketika ini. Sila rujuk Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

LELAKI BERLAGAK MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA 198
(1) mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana-mana perempuan yg memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana-mana tempat awam tanpa alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3bulan atau kedua-duanya sekali.

(2) mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana-mana perempuan yang memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana-mana tempat awam untuk tujuan yangg tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

TIDAK MEMBAYAR ZAKAT ATAU FITRAH 236

(1) mana-mana orang Islam yang telah ditaksirkan dengan sah sebagai wajib untuk membayar zakat atau fitrah di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) dan gagal untuk memperolehi secara rayuan atau selainnya, pembatalan atau pengubahsuaian bagi penaksiran demikian, dengan sengaja gagal untuk membayar zakat atau fitrah tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $8,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali.

KHALWAT 196.

(1) Mana-mana orang Islam yang melakukan khalwat adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana orang bukan Islam yg melakukan khalwat dengan
orang Islam adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(3) Dalam bab ini, KHALWAT bermakna
(a) bersekediaman, bersekedudukan, berkurung; atau
(b) Mengasingkan diri dalam keadaan berhampiran yg mendatangkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan maksiat,

TIDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG JUMAAT 194.
Mana-mana lelaki mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dengan tiada uzur syar’ie atau tiada alasan-alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $200 bagi kesalahan pertama, dikenakan suatu denda tidak melebihi $300 bagi kesalahan kedua, dan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan ketiga atau berikutnya.

TIDAK MENGHORMATI BULAN RAMADHAN 195.

(1) Mana-mana orang yang memakan atau meminum atau menghisap apa jua tembakau ditempat awam semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana orang yg menjual atau menghidang ada jua makanan atau tembakau untuk dimakan,diminum atau dihisap dengan serta merta di tempat itu juga, di tempat awam, semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua- duanya sekali.

(3) Ceraian (2) hendaklah tidak dikenakan kepada mana-mana pengamal perubatan atau mana-mana orang lain yang menghidang apa jua makanan, minuman atau ubat kepada mana-mana pesakit semasa waktu-waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan yang tanpanya pesakit itu terjejas.

(4) Jika mana-mana orang yang gagal mematuhi ceraian (2) dalam kedudukannya sebagai pekerja kepada orang lain, majikannya hendaklah dianggap telah bersubahat melakukan kesalahan tersebut dan telah menyebabkan kesalahan itu dilakukan oleh sebab subahat itu melainkan dia dapat membuktikan bahawa kesalahan tersebut telah dilakukan tanpa kebenaran, kuasa, pengetahuan atau keizinannya dan dia telah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mencegah daripada perbuatan itu dilakukan.

HUKUMAN ZINA 69.

(1) Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara’ setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hukuman hadd seperti berikut –
(a) jika dia muhshan, direjam sehingga mati dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam; atau
(b)jika dia ghairu muhshan, disebat 100 sebatan dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam dan dihukum penjara selama tempoh satu tahun.

(2) Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan dengan keterangan selain yang diperuntukan di bawah ceraian (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan-
(a) jika dia muhshan, disebat tidak melebihi 30 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 7 tahun; atau
(b) jika dia ghairu muhshan, disebat tidak melebihi 15 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.

(3) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seorang Islam dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak- kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan di bawah ceraian (1).

(4) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seseorang Islam dan dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukan di bawah ceraian (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan, dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan dibawah ceraian (2).

HUKUMAN ZINA JIKA PESALAH BUKAN MUKALLAF ATAU BELUM MENCAPAI UMUR

BALIGH. 70. Jika mana-mana orang yang bukan mukallaf atau belum mencapai umur baligh melakukan zina dan-
(a) dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara’ setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 30 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun; atau
(b) dibuktikan dengan keterangan selain daripada yg diperuntukan dibawah perenggan (a) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 15 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.

HUKUMAN MENCURI

Nilai minimum barang curi untuk kena hukum hudud ialah 1 dinar (4.25g emas)

(A) Jika didapati bersalah (dengan cara pengakuan sendiri atau saksi2 yang sah) maka :
kesalahan pertama potong tangan kanan hingga pergelangan tangan.
-kesalahan kedua potong kaki kiri hingga lutut
-kesalahan ketiga dan seterusnya – penjara tidak lebih 15 tahun
Kalau bersalah bukan cara diatas (A) : kena penjara dan denda.

Pengecualian :
-pesalah 15 tahun ke bawah atau tidak siuman…
-owner memang tak jaga keselamatan barang
-pencuri bayar sikit, lepas tuh lari….
-benda curi senang dapat dan mudah hancur (contoh : buah-buah)
-benda curi tiada nilai di sisi syarak (arak, alat musik)…
-pencuri curi dari penghutang yang tak nak bayar hutang pencuri…. (nilai jangan lebih pulak)
-keadaan memaksa : bencana alam, perang
-bini curi dari suami atau sebaliknya (kecurian dalam keluarga sendiri)
 

Wednesday, May 7, 2014

Umat Islam Wajib Diperkukuhkan

http://www.sacredsites.com/middle_east/israel/images/jerusalem-panorama-500.jpg

Dakyah Kristianisasi dibawa sekali lagi hari ini dalam satu forum di sebuah universiti awam di depan kira-kira 1,000 peserta dengan memberitahu mereka, jumlah penganut Kristian akan mengatasi umat Islam  menjelang tahun 2100 di Malaysia.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Abdul Karim Omar, berkata  ini adalah berdasarkan pertumbuhan pesat penganut agama itu di Malaysia.

“Inilah yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia jika Kristianisasi terus dibenarkan di negara ini.

"Berdasarkan kajian kami, peratus perkembangan Kristian sangat besar setiap dekad," katanya di seminar tentang penggunaan nama Allah dan Kristologi di  Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Beliau berkata, statistik terakhir menunjukkan bilangan penganut Kristian 10% manakala Islam lebih 60%.

"Tetapi jika kristianisasi berterusan, menjelang 2100 akan ada jumlah yang sama antara Kristian dan Islam - 40%."

"Ia akan terus meningkat," katanya. – 6 Mei, 2014.

Tuesday, May 6, 2014

Penat Jerih Wakil Rakyat Berhasil,110 Peniaga Taman Sri Muda Tandatangan Perjanjian

SHAH ALAM 5 MEI: Seramai 110 para peniaga asal di Pasar Pagi Sri Muda dijangka dapat menjalankan perniagaan mereka dalam keadaan lebih selesa dan teratur apabila Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan lokasi baru yang lengkap dengan pelbagai prasarana dan kemudahan, menjelang 2016.
Pembinaan pasar baru yang dianggarkan menelan kos RM22 juta dijangka dimulakan pada Oktober ini dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata pasar baru enam tingkat itu dibina dengan berkonsepkan ‘hypermarket’ bersebelahan tapak pasar sedia ada.
“Tapaknya terhad cuma dua ekar. Komponennya enam tingkat iaitu tiga tingkat untuk 67 lot pasar basah, 72 lot pasar kering, 28 gerai makanan dan lapan buah kiosk. Terdapat tempat pelupusan sampah, surau, tandas, bilik air, pejabat pengurusan dan agak cantik serta berkonsep seperti ‘hypermarket’.
.“Kawasan pasar ini sangat padat, jadi kita bina sekali dengan kemudahan 200 petak tempat letak kereta dan 112 tempat letak motorsikal. Peruntukkannya RM22 juta yang akan dipohon daripada Kerajaan Negeri,” katanya pada Majlis Menandatangani Persetujuan Perpindahan Peniaga Pasar Taway di Dewan Kemunting, Seksyen 25, di sini, hari ini.
Menyentuh isu perpindahan 110 peniaga terbabit, Mohd Jaafar berkata, beliau melahirkan rasa lega atas persetujuan yang berjaya dicapai antara MBSA dan golongan itu.
“Hari ini ada 110 peniaga yang tandatangan dan kalau ada yang tertinggal kita minta mereka datang jumpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie yang akan salurkan kepada MBSA.
“Kita periksa dahulu butiran peniaga seperti lesen perniagaan untuk sahkan bahawa dia memang peniaga di situ dahulu. Kita tidak mahu pihak luar mengambil kesempatan untuk berniaga di situ kerana kemudahan ini untuk peniaga tempatan,” katanya.
1aMenyentuh isu sama, Shuhaimi pula berkata,peniaga yang memberikan lesen dan tapak perniagaan mereka kepada pihak lain akan dikenakan tindakan keras oleh MBSA.
“Saya rakamkan terima kasih atas usaha yang dijalankan MBSA dan Kerajaan Negeri terutama Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri yang mahu mendengar rintihan peniaga kerana isu ini sudah lama.
“Saya menyeru peniaga berniaga dengan baik. MBSA akan membuat satu garis panduan untuk mengelakkan peniaga yang tidak sepatutnya berniaga di situ dan tindakan keras boleh diambil mengikut kaedah sedia ada,” katanya.
-NFN-

Thursday, May 1, 2014

Polis Mengesahkan Tiada Yang Cedera Ditikam,Hanya Fitnah Murahan Blogger Seteru


Tiada peserta perhimpunan bantah cukai barang dan pendapatan (GST) cedera atau ditikam seperti didakwa di internet, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad.

Beliau berkata gambar yang didakwa dihantar oleh Twitter Papa Gomo menunjukkan seorang peserta terlantar atas pengusung akibat ditikam merupakan gambar lama.

Zainuddin berkata dakwaan tersebut "tidak benar sama sekali".

Tentang laporan bahawa tiga jurukamera media cedera semasa membuat liputan perhimpunan itu, beliau berkata pihak polis belum menerima sebarang laporan mengenainya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata keadaan di ibu kota terkawal pada pukul 5 petang ini, walaupun terdapat beberapa lokasi dipenuhi peserta himpunan bantah GST, dan pada pukul 5.30 petang, kesemua peserta beredar dari lokasi perhimpunan dan keadaan kembali normal.

"Ada berlaku insiden kecil seperti tolak-menolak antara peserta, namun keadaan masih terkawal," katanya.
Beliau berkata polis akan tetap melaksanakan kawalan keselamatan di lokasi-lokasi tertentu bagi memastikan keadaan selamat.

"Saya menasihatkan peserta perhimpunan supaya tidak menimbulkan kekecohan sehingga menganggu ketenteraman awam," katanya.

Mohmad turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mengamalkan sikap toleransi dan bekerjasama demi mengekalkan keamanan serta kesejahteraan bandaraya Kuala Lumpur. – Bernama, 1 Mei, 2014.