Monday, May 19, 2014

Budaya Berfikir Bermula Dengan Membaca


Dalam perkembangan mutakhir, Malaysia menempa nama kerana mengharamkan buku. Dua buku terbaru yang diharamkan ialah karya novel Perempuan Nan Bercinta oleh Faisal Tehrani dan buku terjemahan Asal-usul Spesies oleh Charles Darwin.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam laman sesawangnya menyatakan bahawa sejumlah 1,532 penerbitan telah diharamkan. Alasan yang diberikan ialah penerbitan tersebut boleh memudaratkan keselamatan awam.
Tidak cukup dengan pengharaman oleh KDN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut serta mengharamkan penerbitan tertentu. Alasan Jakim ialah penerbitan tersebut melanggar Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Berunsur Islam serta pegangan Ahl Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan umat Islam di Malaysia.
Yang peliknya buku versi asal Charles Darwin yang ditulis dalam Bahasa Inggeris tidak diharamkan kerana tiada aduan mengenai bukan tersebut. Sementara itu, penulis novel Perempuan Nan Bercinta, Faisal Tehrani, juga berkata bahawa tiada pihak yang membuat laporan polis terhadap bukunya.
Sebelum dua buku tersebut, sejumlah buku turut sama diharamkan. Antaranya ialah Akhirnya Ku Temui Kebenaran oleh Dr Muhammad al-Tijani al-Samawi.
Karya asal dalam bahasa Arab bertajuk Summa Ihtadaitu yang diterbitkan pada tahun 1990. Terjemahan ke Bahasa Malaysia dibuat pada 1995 dan diterbitkan oleh Kumpulan Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa.
Oleh kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia turut sama terlibat dalam pengharaman buku, satu perspektif baru ingin diketengahkan kepada para pembaca dalam membincangkan isu pengharaman.
Allah SWT sama sekali tidak menyuruh umatnya untuk mengharamkan buku atau sebarang jenis penerbitan. Malahan Allah SWT menggalakkan umat manusia membaca.
Surah Al-Alaq (96:1) menyatakan seperti berikut: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.”
Kepentingan umat manusia menggunakan akal fikiran turut terserlah di dalam Al-Quran seperti mana yang tercatat dalam Surah Ali-’Imraan (3:190).
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”
Berupaya berfikir
Pembacaan hanya akan mempertajamkan minda. Pengharaman buku oleh KDN dan Jakim memberikan gambaran seolah-olah umat Islam di Malaysia tidak berupaya berfikir. Pihak berkuasa wajar mempertimbangkan kaedah yang lebih bijak berbanding dengan pengharaman buku.
Terdapat kaedah yang lebih matang yang wajar digunakan oleh pihak berkuasa untuk berhadapan dengan aliran penulisan yang bertentangan dengan pemikiran massa.
Satu contoh baik yang wajar dipertimbangkan pihak berkuasa ialah filem Inggeris bertajuk The Da Vinci Code.
Filem berasaskan buku dengan tajuk sama ini mempunyai asas cerita yang kontroversi iaitu Nabi Isa mempunyai anak gadis dan susur galur keluarga yang menjadi sebahagian daripada keluarga diraja Perancis.
Filem dan buku tersebut tidak diharamkan di Malaysia mahupun negara Barat yang mengamalkan agama Kristian meskipun kebanyakan gereja di Asia telah memprotes penayangan filem tersebut.
Sebaliknya kesemua idea kontroversi di dalam karya filem dan buku tersebut telah dibuktikan salah dalam satu siri dokumentari yang ditayangkan di saluran National Geographic Channel.
Inilah yang diungkapkan dengan peribahasa bertemu teras dengan beliung.
Takkanlah tiada penulis di Malaysia yang cukup bijak di Malaysia untuk menghasilkan novel dan pada masa sama membidas hujah-hujah yang dikemukakan oleh Faisal Tehrani.
Takkanlah tiada pengkaji bidang Islam yang berupaya menangkis hujah-hujah yang dikemukakan oleh Charles Darwin. Sudah tentu akan ada jabatan kerajaan yang dapat memberikan sumbangan dana untuk penerbitan buku seumpama ini.
Kos penerbitan buku pun tidak semahal penerbitan filem seperti Tanda Putera. Secara tidak langsung kehadiran buku-buku yang menangkis hujah sesebuah karya akan turut sama mewarnai industri penerbitan buku.
Tepuk dada tanya selera.

FMT

No comments: