Wednesday, March 2, 2016

RM64 juta pengecualian cukai taksiran bantu rakyat

Oleh: SYASYA SUFIAN
SUBANG JAYA, 1 MAC: Sebanyak RM64 juta pengecualian cukai taksiran diberikan Kerajaan Negeri di semua kediaman kos rendah di seluruh Selangor bagi membantu meringankan bebanan rakyat.
Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah, berkata pengecualian itu diberi selama setahun sebagai tanda usaha dan keprihatinan kerajaan.
“Antara rumah menerima pengecualian ini rumah dibeli berharga RM42,000 dan ke bawah dari pemaju termasuk program Rumah Selangorku Jenis A.
Ean Yong Hian Wah“Makluman kepada orang ramai dasar ini dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam tempoh setahun bagi 2016 sahaja,” katanya sewaktu sidang media Pengecualian Perlaksanaan Cukai Taksiran bagi 2016 di kawasan pentadbiran MPSJ.
Katanya, sebelum ini beliau menerima beberapa aduan daripada penduduk yang masih menerima bill cukai taksiran.
“Penduduk tidak perlu risau kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan notis di beberapa kawasan terlibat mereka tidak perlu perjelaskan cukai itu.
“Begitu juga kepada fi lesen penjaja turut diberi pengecualian tetapi penjaja masih perlu membuat permohonan dan perbaharui lesen untuk berniaga,” katanya.
Majlis Perbandaraya Subang Jaya (MPSJ) turut melaksanakan dasar pengecualian tersebut di kawasan pentadbirannya bagi kategori rumah kos rendah dan rumah kampung.
Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid, berkata bagi rumah dan pangsapuri kos rendah terdapat 36,205 unit diberi pengecualian dengan jumlah cukai taksiran sebanyak RM5.4 juta.
“Manakala untuk rumah kampung sebanyak 6,200 unit dengan jumlah cukai taksiran sebanyak RM693,526.95.
“Bil cukai diterima penduduk sebelum ini kerana bil itu dicetak pada Disember 2015 dan dihantar kepada penduduk, walaubagaimanapun kita menggantung banner memaklumkan mengenai pengecualian ini tetapi penduduk masih perlu membayar cukai tunggakan bagi tahun-tahun lalu,” katanya.
EZY

No comments: