Tidak tepat dakwa billboard Anwar hina mahkamah
Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 24 FEB: Tindakan Umno Selangor melabel pemasangan papan tanda (billboard) memaparkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menghina keputusan mahkamah adalah tidak tepat.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei, berkata Umno harus sedar Ketua Umum KEADILAN itu diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai tahanan politik.
Katanya, ia selaras dengan Pendapat No 22/2015 Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB (UN Working Group on Arbitrary Detention) (UNWGAD) yang sebulat suara mendapati Anwar dipenjarakan secara haram dan melanggar undang undang.
“Penggunaan billboard itu dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), sementara logo parti menunjukkan pihak bertanggungjawab terhadap kempen mengajak rakyat menentang kezaliman dan menegak keadilan.
“Kerajaan Negeri melalui PBT juga tidak pernah menyekat billboard Umno-BN seperti yang ada di Sabak Bernam.
“Bahkan billboard dan iklan politik 1Azam berada di mana-mana di Selangor kerana kita percaya kepada kebebasan maklumat dan mempertahankan hak itu,” katanya kepada SelangorKini.
Terdahulu, Umno Selangor membuat laporan polis dengan mendakwa Selangor menghina keputusan mahkamah apabila melabel Anwar sebagai tahanan politik.
Ketua Penerangannya, Datuk Zein Isma Ismail juga mendakwa akhbar rasmi, SelangorKini digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu dan tidak sesuai diedarkan di masjid.
Shuhaimi berkata, Selangor Kini bukan bersifat partisan kerana semua pihak tanpa mengira diberi ruang hebahan sama ada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri (ADN), Datuk Bandar, Pegawai Daerah dan sebagainya.
“Bukan satu kesalahan juga apabila ia diletakkan di lokasi tumpuan ramai kerana ia sememangnya menjadi akhbar pilihan rakyat.
“Saya sarankan Umno-BN carilah isu lain yang hendak disensasikan kerana rakyat tidak mudah tertipu dengan propaganda sebegini,” katanya.
No comments:
Post a Comment