Monday, August 26, 2013

Hari Belia Selangor Meneliti Mesej Anak Muda

SHAH ALAM 25 OGOS: Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan di sini semalam mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda.
Membawa tema ‘Tolak Rasuah, Anak Muda Merdeka’, ia dihadiri lebih 5,000 orang mulai jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam dengan pelbagai acara menarik.
Bagi Muhammad Adam Che Yusuf, 23, program itu merapatkan ukhwah di kalangan masyarakat, malah menarik minat anak muda terhadap isu semasa dalam dan luar negara.
Katanya, program khas seperti bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantu memberi penerangan kepada anak muda terhadap gejala rasuah di negara ini.
“Sambutan dipenuhi dengan pelbagai program berunsur ilmiah, bukannya hiburan semata-mata, selain penekanan mesej terhadap integriti dalam diri belia selaku tonggak masa hadapan,” katanya.
Hal sama diakui Safiq Izzat Azmi, 23, yang menyifatkan program itu mengingatkan masyarakat terhadap tragedi berdarah di Mesir.
Katanya, sesi dialog dan penerangan tragedi di negara bergolak itu memberi banyak maklumat mengenai punca di sebalik pembunuhan beramai-ramai rakyat Mesir baru-baru ini.
“Isu Mesir memberi gambaran jelas kepada rakyat yang tidak tahu atau mencari punca sebenar pergolakan di Mesir,” kata mahasiswa sebuah institusi pendidikan tinggi awam itu.
Amirul Ridhuan Mohd Noor, 23, pula berkata, usaha kerajaan Selangor menganjurkan program penuh pengisian itu harus dipuji dan dicontohi negeri lain.
“Bukan hanya beriadah atau bersantai secara sihat tetapi turut dihidang dengan program ilmiah dan hiburan secara minimal. Ia cara terbaik untuk melahirkan belia berwawasan,” katanya.
Sambutan itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi.
Antara program menarik ialah sembang santai bersama akar sakit tuan, Dr Ismail Tambi, Ustaz Zulkifli Ahmad dan selebriti terkenal, Afdlin Shauki.
Turut diadakan, sukan Paintball, Walk Hunt, Cycling Hunt, Basketball 3 0n 4, Klinik Bola Sepak, Pertandingan Pidato ‘Rasuah’, Pertandingan Catur Piala Exco Belia dan Sukan, Pertandingan Blast of the Band dan Pertandingan Dekorasi Cup Cake dan Kraft Fabrik Felt.
Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

selangorku

Kerajaan Negeri Selangor Beri Anugerah Integriti Kepada Bekas MB Kelantan


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memberikan Anugerah Integriti kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Anugerah khas itu disampaikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada anak Mursidul Am PAS itu, Nik Omar yang mewakilinya sempena sambutan Hari Belia Selangor bertemakan Tolak Rasuah Anak Muda Merdeka di Dataran Kemerdekaaan, Shah Alam, malam tadi.
Menurut Abdul Khalid, anugerah tersebut adalah sebagai penghargaan terhadap pentadbirannya Tuan Guru yang bersih dari rasuah selama lebih 23 tahun mentadbir negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah itu.
Tuan Guru tidak dapat hadir ke majlis itu malam tadi, berikutan kesihatannya tidak mengizinkan dan baru keluar hospital.
Bagaimanapun beliau menyampaikan rasa kesyukurannya melalui anaknya terhadap penganugerahan itu.
“Bapa saya menyatakan kesyukuran atas anugerah ini dan teruja dengan kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor,” kata Nik Omar dipetik Selangorku.
Beliau berkata, bapanya bertekad menolak amalan rasuah dalam tempoh 23 tahun menerajui Kelantan dengan membuktikannya melalui tingkah laku dan cara pentadbiran.
“Cara kehidupan yang sederhana, kewarakannya, sifat zuhudnya. Setiap pagi ketika di pejabat bersolat sunat memohon kepada Allah supaya segala apa dilakukan mengikut jalan yang benar serta menjadi contoh kepada pihak lain.
“Biarpun ada kalanya menerima tohmahan daripada musuh politik namun dia tetap yakin dengan apa yang dilaksanakan hingga beroleh kejayaan,” katanya.

- bm.harakahdaily.net

Umat Islam Semakin Berpecah

Bersyukur kita kepada Allah swt yang telah menjadikan kita sebagai orang-orang Muslim. Kita memuji Allah swt yang telah menjadikan kita sebagai orang-orang yang mengikuti sunnah Nabi saw.
Zaman terus berputar. Keadaan berulang kembali sebagaimana yang berlaku dalam sejarah masa lalu. Realiti hari ini, umat Islam dilanda perpecahan dan peperangan.  Lihat sahaja apa yang berlaku di Syria, Iraq, Mesir, Turki, Bahrain dan banyak lagi negara Islam.
Umat Islam bukan sahaja berpecah ke dalam beberapa mazhab dan fahaman tetapi juga berpecah dalam perebutan kuasa, rakus dan terpesona dengan harta kekayaan.
Rasulullah saw menerusi wahyu telah menyebut bahawa umat Islam akan bercerai-berai dan berselisih serta mengikuti jejak umat-umat sebelum mereka seperti yang berlaku kepada umat Nabi Musa dan Nabi Isa.
Imam Bukhari, Muslim dan beberapa ulama lain meriwayatkan dari Abu Sa’id bahawa Nabi saw bersabda: “Kalian benar-benar akan mengikuti jejak orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga apabila mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun nescaya kamu ikut.”
Kemudian aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah orang-orang Yahudi dan Nasrani yang dimaksudkan? Baginda menjawab: “Lalu siapa lagi.”
Jalaluddin as Suyuthi memetik dari Ibnu Majah, Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim yang meriwayatkan dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah saw bersabda, “Bani Israel berpecah menjadi 71 sekte dan umatku akan berpecah menjadi 72 sekte; kesemuanya di dalam neraka kecuali satu.”
Mereka bertanya, “siapakah yang satu itu?” Baginda menjawab, “Al Jama’ah, kemudian baginda membaca ayat “dan berpeganglah kamu sekalian dengan tali Allah, janganlah kamu bercerai berai,” (Surah Ali Imran, ayat 103).
Hadith masyhur
Ibnu Taimiyah menegaskan bahawa hadith tentang terpecahnya umat Islam menjadi 73 golongan adalah berita yang masyhur yang diriwayatkan dari beberapa sahabat seperti Abu Hurairah, Sa’ad bin Abi Waqqash, Muawiyah Abu Suffian, Amru bin Auf dan lain-lain.
Rasulullah saw pernah memohon kepada Allah swt agar umat ini dihindarkan dari perselisihan dalam agama, namun permintaan itu tidak dikabulkan.
Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari ‘Amr bin Saad dari Saad ibn Abi Waqqash bahawa Nabi saw bersabda: “Aku memohon kepada Tuhanku tiga perkara maka Dia (Allah) mengabulkan untukku dua dan menolak yang satu.
“Aku memohon kepada Tuhanku agar Dia tidak membinasakan umatku dengan kekeringan massal maka Allah mengabulkannya untukku dan aku memohon kepada Tuhanku agar Dia tidak membinasakan umatku dengan penenggelaman maka Dia memberinya untukku.
“Dan aku memohon kepada-Nya agar tidak menjadikan pertikaian di antara mereka maka Dia menolaknya.”
Sila rujuk Ibn Taimiyah dalam kitabnya ‘Iqtidha’ ash Shirath al Mustaqim, Kanzul Ummal, dan 122 riwayat dari Ahmad, Ibnu Majah dari Saad dengan sanad yang sahih, al Tirmidzi, an Nasa’i, Ibnu Hibban dan Dhiya’ al Maqdisi dari Khabbab.
Perselisihan umat adalah siksa Allah swt atas umat Islam sebagaimana ditegaskan Allah swt dalam Surah al An’am ayat 65, sesuai dengan apa yang diriwayatkan Bukhari dalam Sahihnya dari Jabir bin Abdullah al Ansari.
Firman Allah dalam ayat tersebut yang bermaksud: “Katakanlah: Dialah yang berkuasa untuk mengirimkan azab kepadamu, dari atas kepalamu atau dari bawah kakimu atau Dia mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan) dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain. Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti agar mereka memahaminya.”
Siksa Allah
Ayat ini menerangkan tentang siksa Allah swt yang ditimpakan kepada mereka yang melanggar perintah Allah dan melakukan kerosakan di atas muka bumi.
Ketika turun ayat ini, Nabi saw bersabda: “Janganlah kamu kembali kepada kafir setelah wafatku; sebahagian dari kalian menebas leher sebahagian yang lain.”
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah saw bersabda: Janganlah kamu murtad sepeninggalku; sebahagian dari kalian menebas leher sebahagian yang lain.”
Lalu para sahabat berkata, “Apakah itu terjadi sedangkan kami bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan engkau adalah Rasul Allah?”
Baginda menjawab, “Ya, benar.” Kemudian sebahagian sahabat berkata, “Tidak mungkin itu terjadi, mungkinkah kami saling berbunuh-bunuhan padahal kami sama-sama Muslimin.”
Inilah fitnah kekuasaan dan kerosakan agama dan jual beli agama yang dibimbangi Rasulullah saw yang akan berlaku di kalangan umat Islam sepeninggal baginda dan ternyata ianya telah dan sedang berlaku hari ini.
Namun untuk menghindari dari perselisihan, perbalahan, permusuhan dan peperangan sesama umat Islam, Allah memerintahkan kita berpegang kepada ayat 103 dari Surah Ali Imran yang disebut di awal tadi.
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.”
Inilah yang menjadi asas. Ayat yang mulia ini, memulainya dengan perintah untuk berpegang teguh “wa’ tashimuu”.
“Wa’ tashimuu” adalah perintah untuk bersatu, menyatukan kalimat dan saling menyempurnakan. Akan tetapi, perintah-perintah ini bukan ditegakkan di atas prinsip hizbiyah, fanatik (taksub) kepada puak, nasionalisme atau atas dasar tujuan duniawi.
Namun I’tisham yang diperintahkan tersebut adalah persatuan dengan tali Allah iaitu dengan agama Allah melalui Kitabullah (Al Quran) dan sunnah NabiNya.

Fmt

Friday, August 23, 2013

179 Pingat Dikurnia Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-67 DYMM Sultan Selangor

SHAH ALAM, 22 OGOS : Staf Sarjan Ikmal Hisham Mohd Jusin mengetuai 179 senarai penerima pingat negeri Selangor apabila dikurniakan Pingat Kebesaran Terbilang (P.K.T) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-67 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK.
Pingat ini dikurniakan bagi menghargai keberanian dan pengorbanan.
Turut diberi pengiktirafan adalah Staf Sarjan Mohd Zaidi Abdul Hamid; Bintara Kanan TMK David A/K Sanya, Bintara Kanan PAP (PKL)(GI) Syed Mahamad Nasir Syed Ali; Sarjan Mohd Haniff Mahasan, Bintara Muda PAP (PKL) Oseli A/K Dungun dan Laskar Kanan PNK (PKL) Salimi Mahktar.pingat 2
Istiadat pengurniaan pingat disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah. Majlis hari ini adalah bagi penerima Daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.
Turut dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) kepada 19 penerima yang melakukan perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya.
Selain itu, Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (P.P.C) dikurniakan kepada 31 pegawai Kerajaan di dalam kumpulan sokongan bagi menghargai kecemerlangan mereka yang sedang atau telah berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun dengan Kerajaan Negeri.
Turut dikurniakan Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S) dikurniakan kepada 17 penerima yang merupakan kakitangan Kerajaan yang sedang atau telah berkhidmat dengan kelakuan terpuji sekurang-kurangnya 20 tahun.
Manakala Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada 105 penerima yang berjasa kepada negeri serta tekun dan taat menjalankan tugas.
-FZL
selangorku

Anak Muda PR:Hapus PTPTN Beri Pendidikan Percuma


KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Rakyat menganggap keputusan kabinet semalam yang menolak cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN mulai bulan ini adalah hasil kejayaan perjuangan rakyat sehingga kerajaan tunduk dengan tekanan semua pihak.
Demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ketua DAPSY, Teo Kok Siong dalam kenyataan bersama.
Bagi Pemuda PR, keputusan kabinet belum cukup melegakan peminjam PTPTN kerana mereka masih lagi terbelenggu dengan hutang yang perlu dijelaskan.
“Pengumuman kerajaan ibarat hanya melepaskan batuk di tangga atau sekadar tindakan politik bagi meredakan kemarahan rakyat,” ujarnya mereka.
Kenyatan penuh seperti di bawah.
Pemuda Pakatan Rakyat menganggap keputusan kabinet semalam yang menolak cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN mulai bulan ini adalah hasil kejayaan perjuangan rakyat sehingga kerajaan tunduk dengan tekanan semua pihak.
Bagi Pemuda PR, keputusan kabinet belum cukup melegakan peminjam PTPTN kerana mereka masih lagi terbelenggu dengan hutang yang perlu dijelaskan.
Pengumuman kerajaan ibarat hanya melepaskan batuk di tangga atau sekadar tindakan politik bagi meredakan kemarahan rakyat.
Peminjam PTPTN masih lagi diburu, diambil tindakan-tindakan lain serta dipaksa menjelaskan hutang mereka sekalipun belum mampu melangsaikannya.
Apa yang diketahui, sebahagian besar peminjam PTPTN masih belum keluar dari kemelut ekonomi yang mencengkam hidup mereka akibat kos sara hidup yang tinggi, tiada pekerjaan tetap, pendapatan yang tidak mencukupi atau di bawah tahap kelayakan mereka, selain menampung keluarga dan keperluan-keperluan lain.
Rakyat sebenarnya menginginkan pengumuman kerajaan lebih daripada membatalkan cadangan PTPTN melaksanakan CCRIS.
Golongan belia mahukan peminjam PTPTN diberi kelonggaran atau fleksibility dalam pembayaran hutang atau dikurangkan jumlah pembayaran ke tahap yang memuaskan.
Perbincangan perlu dibuat bagi keselesaan antara golongan belia dengan pihak kerajaan supaya tidak wujud jurang serta ketidak puasan hati antara rakyat dengan kerajaan.
Pemuda PR mendesak agar diwujudkan lebih banyak bantuan kewangan seperti biasiswa kepada mahasiswa segenap peringkat.
Kerajaan perlu melabur dalam aspek pendidikan melalui pemberian biasiswa kerana rakyat adalah aset negara dan pendidikan yang mereka perolehi disumbangkan pula untuk negara di kemudian hari.
Tidak ada salahnya kerajaan berbelanja besar dalam sektor pendidikan demi rakyat kerana rakyat itu jugalah yang akan memberi hasil kepada negara.
Pemuda PR menegaskan, komitmen PR untuk memberikan pendidikan percuma adalah agenda utama yang akan diperjuangkan sehingga akhirnya ianya akan dilaksanakan.
Dengan pendapatan dan hasil negara yang banyak, agenda ini bukan mustahil untuk dilaksanakan malah ianya mampu dilaksanakan sekiranya kerajaan mahu.
Pendidikan percuma adalah impian dan aspirasi rakyat kerana ia adalah keperluan utama rakyat dan PR bertekad tidak ada rakyat yang tercicir mendapat pendidikan sehingga ke tahap tertinggi denagn kemudahan percuma yang semua rakyat di negara ini boleh miliki.

-MC


Gangster Malaysia Sudah Naik Tocang


Ketua polis negara dan barisan pegawai kanannya berang dengan tindakan gengster yang seolah-olah mempersendakan pasukan pertahanan negara apabila menayang warna geng di tempat awam dan menulis nombor geng di banyak tempat menggunakan semburan cat.
Mereka memang patut marah. Ini bukan Tijuana atau Sinaloa di Mexico yang membolehkan kartel dadah seperti Los Zetas mengawal semua aspek kehidupan.
Ini Malaysia di mana gengster sepatutnya takut dengan geng yang lebih besar iaitu 100,000 anggota Polis Di Raja Malaysia yang gagah, memegang senjata secara sah dengan kuasa menggunakannya dan mendapat mandat untuk menjaga keselamatan negara daripada apa juga serangan.
Jadi, bagaimana keadaan ini boleh berlaku?
Ini adalah pertunjukan tidak tahu malu yang dilakukan ahli geng 04 selepas lima ahlinya dipercayai termasuk ketua kumpulan itu terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan polis di Pulau Pinang pada Selasa.
Mereka memakai nombor dan warna mereka secara terbuka, membawa bendera dan menghalang lalu lintas ketika proses pengkebumian berlangsung di tengah pulau negeri itu.
Dan ini bukan satu-satunya kejadian membabitkan gengster yang berlaku.
Di Sentul, ahli geng 08 dua minggu lalu mengambil alih kawalan lalu lintas dan mengadakan perarakan mereka, lengkap dengan bendera.
Tanya Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) dan mana-mana polis kanan bagaimana kumpulan seumpama itu begitu berani, dan mereka nampaknya akan menunding jari terhadap pemansuhan Akta Ordinan Darurat (EO), perundangan yang membenarkan tahanan pencegahan.
Pemansuhan akta itu dikatakan menyebabkan pembebasan lebih 2,000 penjenayah jenayah berat kembali ke jalanan dalam negara. Dan apa yang berlaku seterusnya ialah peperangan kumpulan, meningkatkan kejadian bunuh dan tembakan. Kita sudah faham naratif itu. Sebab dan akibat.
Tetapi, bagaimana mahu menjelaskan keadaan paksaan dan tidak takut terhadap pihak berkuasa, cabaran tangkap-aku-jika-kamu-berani? Penjenayah walau di dunia mana sekalipun tidak akan mengiklankan kehadiran mereka kepada polis, kecuali jika mereka percaya bahawa:
1)Pasukan polis dan agensi keselamatan lain tidak cekap.
2)Mereka mempunyai `kabel’ yang cukup kuat dengan mereka yang memegang kuasa untuk dapat lepas walaupun dalam keadaan paling sukar. Maka, ditangkap dan disumbat dalam penjara hanya perkara kecil pada mereka.
Menjelang pilihan raya lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) hadir di majlis makan malam di Pelabuhan Klang, dihadiri tetamu seramai satu stadium bola sepak. Antara tetamu yang hadir ialah nama-nama besar dalam dunia `underworld’ Malaysia untuk menunjukkan sokongan dan perpaduan terhadap gabungan pemerintah.
Jika anda seorang askar atau leftenan dalam salah satu geng ganas itu dan lihat sendiri bos besar anda boleh berlaga bahu dengan mereka yang berkuasa dan berkaitan dengan negara, tentu anda terfikir bahawa anda mempunyai rakan berkuasa di tempat yang betul.
Dan melihat kepada fakta geng boleh berkembang dengan maju dalam aktiviti pelacuran, peras ugut dan dadah tanpa diganggu menguatkan lagi tanggapan bahawa mereka adalah spesis yang dilindungi.
Daripada bahagian satu lagi, anggota polis biasa, detektif, penyiasat kanan, malah beberapa polis kanan di peringkat daerah pastinya tertanya-tanya sama ada perlu atau tidak mereka `mematahkan’ geng terbabit selepas melihat majikan politik dan atasan mereka berkongsi roti dan berpelukan dengan bos jenayah terkenal.
Kombinasi kuat menyebabkan tidak boleh disentuh dan pendekatan polis yang tidak seberapa itu menyebabkan gengster tidak takut langsung kepada pihak berkuasa dan polis sentiasa menunggu mendapat lampu hijau bagi melaksanakan operasi menentang penjenayah.
Terlalu mudah? Mungkin bagi sesetengah orang. Tetapi jika difikirkan, ia lebih masuk akal berbanding asyik menyalahkan pemansuhan EO terhadap gengster Malaysia yang berani itu.
Ya, pemansuhan perundangan itu meletakkan beberapa penjenayah jenayah berat di jalanan, tetapi, mengapa gengster baru di peringkat pucuk muda pun berani mengibaskan jari depan polis? – 22 Ogos, 2013

malaysianinsider

Thursday, August 22, 2013

PKR Kaji Selidik Hutang PTPTN Yag Menjerut Mahasiswa


PETALING JAYA, 22 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) merintis jalan memahami masalah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan melancarkan satu kaji selidik keberhutangan golongan itu.
Kaji selidik ini wajar disertai semua peminjam PTPTN dengan mengisi satu borang kajiselidik yang boleh dicapai di laman www.siasatptptn.wordpress.com yang akan disebarkan melalui laman sosial dan blog.
Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, keputusan kajian ini akan dibentangkan dalam satu perjumpaan ‘tweetup#PTPTN’ yang akan diadakan 29 Ogos ini, jam 8.30 malam di Perpustakaan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.
“Semua peminjam, aktivis anti-PTPTN dan pemimpin masyarakat turut dijemput hadir dalam ‘tweetup’ yang bertujuan menyusun gerakan anti-PTPTN dalam sebuah pertubuhan rasmi yang lebih tersusun.
“Sudah masanya peminjam-peminjam PTPTN membentuk satu pertubuhan lobi yang berpengaruh supaya mana-mana pihak berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat cadangan, bagi mengelak berulangnya peristiwa cadangan penyenaraian Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini pagi tadi.
Rafizi berkata, sebelum ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memaklumkan sebarang kajian khusus untuk memahami apakah faktor yang menyebabkan majoriti peminjam PTPTN menghadapi kesukaran membayar pinjaman PTPTN.
Antara faktor penting yang perlu dikaji sebelum satu langkah tersusun yang tepat dapat diambil seperti, profil pendapatan bersih peminjam-peminjam PTPTN, profail kejayaan mendapat perkerjaan yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan dan profail kualiti IPTS yang membawa kesan kepada kemampuan seorang pemegang ijazah mendapat kerja.
Mengulas cadangan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan nama peminjam PTPTN ke dalam CCRIS, Rafizi berkata cadangan tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan BN begitu terpisah dengan realiti kepayahan hidup golongan muda yang dibebankan hutang PTPTN.
“BN tidak pernah berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda ini dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.
“PKR menggesa Datuk Seri Idris Jusoh supaya tidak lagi memandai-mandai mengumumkan langkah baru menekan peminjam PTPTN sehinggalah maklumat ini dikaji sepenuhnya dan dibentangkan di parlimen,” ujar Rafizi lagi.
Terdahulu pengumuman Idris untuk menyenaraikan nama peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman PTPTN di bawah CCRIS mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk pemimpin Pakatan.
Terdesak selepas menerima asakan teruk, Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam menolak cadangan tersebut.
- mza

selangorku

Wednesday, August 21, 2013

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor Bersedia Bentang Draf Pengambilan Syarikat Konsesi Air


SHAH ALAM 21 OGOS : Kerajaan Negeri bersedia membentangkan draf cadangan pengambilalihan syarikat konsesi di negeri ini pada bila-bila masa sebagai langkah melaksanakan penstrukturan industri air di negeri itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan perbincangan dengan Persekutuan mengenai perkara itu seperti yang dipersetujui sebelum ini.
“Kita sekarang sedang menanti peringkat akhir perbincangan ini untuk membentangkan draf cadangan masing-masing dan berharap ia dapat disegerakan demi untuk kepentingan rakyat yang tertekan dengan masalah air.
“Perlaksanaannya itu nanti juga perlulah holistik dan memberi kepentingan kepada semua pihak dan bukan keuntungan pihak tertentu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang memberitahu masalah pembekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.
Bagaimanapun Maximus berkata, isu itu dapat menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat sekiranya Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Selangor mencapai persetujuan dalam pelbagai perkara dan saling bertolak ansur.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air.
Empat syarikat konsesi itu antaranya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).
- HM
selangorku