Friday, August 23, 2013

Gangster Malaysia Sudah Naik Tocang


Ketua polis negara dan barisan pegawai kanannya berang dengan tindakan gengster yang seolah-olah mempersendakan pasukan pertahanan negara apabila menayang warna geng di tempat awam dan menulis nombor geng di banyak tempat menggunakan semburan cat.
Mereka memang patut marah. Ini bukan Tijuana atau Sinaloa di Mexico yang membolehkan kartel dadah seperti Los Zetas mengawal semua aspek kehidupan.
Ini Malaysia di mana gengster sepatutnya takut dengan geng yang lebih besar iaitu 100,000 anggota Polis Di Raja Malaysia yang gagah, memegang senjata secara sah dengan kuasa menggunakannya dan mendapat mandat untuk menjaga keselamatan negara daripada apa juga serangan.
Jadi, bagaimana keadaan ini boleh berlaku?
Ini adalah pertunjukan tidak tahu malu yang dilakukan ahli geng 04 selepas lima ahlinya dipercayai termasuk ketua kumpulan itu terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan polis di Pulau Pinang pada Selasa.
Mereka memakai nombor dan warna mereka secara terbuka, membawa bendera dan menghalang lalu lintas ketika proses pengkebumian berlangsung di tengah pulau negeri itu.
Dan ini bukan satu-satunya kejadian membabitkan gengster yang berlaku.
Di Sentul, ahli geng 08 dua minggu lalu mengambil alih kawalan lalu lintas dan mengadakan perarakan mereka, lengkap dengan bendera.
Tanya Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) dan mana-mana polis kanan bagaimana kumpulan seumpama itu begitu berani, dan mereka nampaknya akan menunding jari terhadap pemansuhan Akta Ordinan Darurat (EO), perundangan yang membenarkan tahanan pencegahan.
Pemansuhan akta itu dikatakan menyebabkan pembebasan lebih 2,000 penjenayah jenayah berat kembali ke jalanan dalam negara. Dan apa yang berlaku seterusnya ialah peperangan kumpulan, meningkatkan kejadian bunuh dan tembakan. Kita sudah faham naratif itu. Sebab dan akibat.
Tetapi, bagaimana mahu menjelaskan keadaan paksaan dan tidak takut terhadap pihak berkuasa, cabaran tangkap-aku-jika-kamu-berani? Penjenayah walau di dunia mana sekalipun tidak akan mengiklankan kehadiran mereka kepada polis, kecuali jika mereka percaya bahawa:
1)Pasukan polis dan agensi keselamatan lain tidak cekap.
2)Mereka mempunyai `kabel’ yang cukup kuat dengan mereka yang memegang kuasa untuk dapat lepas walaupun dalam keadaan paling sukar. Maka, ditangkap dan disumbat dalam penjara hanya perkara kecil pada mereka.
Menjelang pilihan raya lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) hadir di majlis makan malam di Pelabuhan Klang, dihadiri tetamu seramai satu stadium bola sepak. Antara tetamu yang hadir ialah nama-nama besar dalam dunia `underworld’ Malaysia untuk menunjukkan sokongan dan perpaduan terhadap gabungan pemerintah.
Jika anda seorang askar atau leftenan dalam salah satu geng ganas itu dan lihat sendiri bos besar anda boleh berlaga bahu dengan mereka yang berkuasa dan berkaitan dengan negara, tentu anda terfikir bahawa anda mempunyai rakan berkuasa di tempat yang betul.
Dan melihat kepada fakta geng boleh berkembang dengan maju dalam aktiviti pelacuran, peras ugut dan dadah tanpa diganggu menguatkan lagi tanggapan bahawa mereka adalah spesis yang dilindungi.
Daripada bahagian satu lagi, anggota polis biasa, detektif, penyiasat kanan, malah beberapa polis kanan di peringkat daerah pastinya tertanya-tanya sama ada perlu atau tidak mereka `mematahkan’ geng terbabit selepas melihat majikan politik dan atasan mereka berkongsi roti dan berpelukan dengan bos jenayah terkenal.
Kombinasi kuat menyebabkan tidak boleh disentuh dan pendekatan polis yang tidak seberapa itu menyebabkan gengster tidak takut langsung kepada pihak berkuasa dan polis sentiasa menunggu mendapat lampu hijau bagi melaksanakan operasi menentang penjenayah.
Terlalu mudah? Mungkin bagi sesetengah orang. Tetapi jika difikirkan, ia lebih masuk akal berbanding asyik menyalahkan pemansuhan EO terhadap gengster Malaysia yang berani itu.
Ya, pemansuhan perundangan itu meletakkan beberapa penjenayah jenayah berat di jalanan, tetapi, mengapa gengster baru di peringkat pucuk muda pun berani mengibaskan jari depan polis? – 22 Ogos, 2013

malaysianinsider

No comments: