SHAH ALAM : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada terhadap penyebaran ajaran sesat yang jauh menyimpang dari ajaran agama Islam sebenar.
Ini kerana titah baginda, ajaran yang mengelirukan rakyat boleh membawa keadaan huru-hara jika tidak dibendung sebagaimana ajaran Syiah yang ternyata berbeza dengan ajaran Al Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan sejak dahulu lagi.
“Beta mendapati ajaran Syiah ini mula disebarkan di Selangor oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Beta khuatir fenomena in menjadi suatu barah yang menular di dalam senyap dan berkemungkinan ianya akan mengakibatkan Selangor dan Malaysia akhirnya mengalami nasib yang sama seperti apa yang berlaku di beberapa negara Islam di luar negara,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian dalam Majlis Perasmian Masjid Taman Subang Perdana sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Subang perdana di sini semalam.
Baginda amat memandang berat perkara itu kerana baginda tidak mahu berlakunya perselisihan dan pergaduhan di kalangan umat Islam di Selangor.
“Oleh yang demikian, Beta berkenan supaya golongan imam, ahli jawatankuasa masjid serta ahli ilmuwan agama Islam supaya terus memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada rakyat jelata tentang kepentingan memelihara ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah agar umat Islam di Selangor sentiasa berada di landasan yang benar dan tidak terjerumus ke lembah kesesatan.
“Beta berkenan supaya segala jenis pendekatan digunakan untuk tujuan pendidikan termasuk penggunaan media elektronik atau media cetak dan ianya hendaklah merangkumi seluruh peringkat umur dan latar belakang rakyat,” titahnya.
Sultan Selangor turut mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh rakyat Selangor yang beragama Islam.
Sebelum perasmian masjid, Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan kepada 250 asnaf fakir dan miskin, 100 asnaf muallaf dan 197 anak yatim bagi daerah Petaling dalam majlis itu serta menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Timbalan Presiden II, KPJ Healthcare Berhad, Yusof Ismail berjumlah RM400,000.
Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Masjid Taman Subang Perdana yang asalnya surau Al-Hijrah pada 1996 dibina semula dam disiapkan pada Ogos 2008 dengan kos RM3.6 juta mampu menampung jemaah seramai 1,400 orang pada sesuatu masa.
selangorku
No comments:
Post a Comment