Tuesday, August 20, 2013

KEADILAN Akan Lawan Cadangan Ccris Peminjam PTPTN Yang Menjerut Belia


KUALA LUMPUR 19 Ogos: KEADILAN akan memastikan kerajaan membatalkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaksana Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), kata Pengarah Strateginya, Mohd Rafizi Ramli.
demo-hapus-ptptnIa berikutam kenyataan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama  Bank Negara bagi menyenaraihitam peminjam yang gagal membayar pinjaman.
Rafizi yang sebelum ini mengumumkan pelan Pendidikan Percuma Pakatan Rakyat berkata, tindakan itu mengakibatkan peminjam disenarai hitam daripada membuat pinjaman lain termasuk  membeli kenderaan.
“Saya kecam usaha PTPTN mengambil jalan CCRIS ini. Kita akan lawan sampai PTPTN batalkan hasrat itu,”  tulisnya di Twitter malam tadi.
“CCRIS. Maksudnya blacklisted untuk loans dari bank kalau tidak bayar PTPTN. Nak beli motor tidak boleh,” kata Rafizi yang menerima banyak pertanyaan mengenai perkara itu di Twitter.
CCRIS adalah laporan bulanan yang dihantar institusi kewangan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memaklumkan mengenai situasi ansuran ke atas pinjaman yang dilakukan pada setiap bulan dalam tahun semasa.
Semua transaksi ansuran bulanan akan dihantar ke Bank Negara untuk dijadikan sebagai rujukan institusi kewangan.
Aktiviti pembayaran yang akan direkod adalah seperti bayaran ansuran sewa beli kenderaan, ansuran pembiayaan perumahan, ansuran pinjaman peribadi (personal loan) dan ansuran kad kredit
Sementara itu, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhammad Safwan Anang menyifatkan langkah terbaru itu menambah beban anak muda terutama graduan yang masih belum mendapat pekerjaan.
“Ini pastinya menambah beban kami. Bayaran PTPTN itu sendiri mengurangkan pendapatan bulanan anak muda, apatah lagi dengan CCRIS ini menyebabkan kesukaran meminjam untuk membeli kereta dan rumah. Itu tidak termasuk kos sara hidup yang kian melonjak selain kadar pengangguran dalam kalangan graduan,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan pentingnya pelaksanaan Pendidikan Percuma dan pemansuhan PTPTN sebagaimana dituntut anak muda sebelum ini.
“Kami akan membincang perkara ini dalam masa terdekat sambil meninjau respon menteri lain terutama Khairy Jamaluddin yang sebelum ini bercakap mengenai isu kebankrapan di kalangan anak muda. Apa pula responnya selepas ini,” katanya lagi.

keadilandaily

No comments: