Wednesday, August 28, 2013

Kes Altantuya Manifestasi Kepincangan Sistem Pendakwaan


KUALA LUMPUR 27 Ogos: Keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan dan membebaskan Chief Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar boleh mengundang pelbagai persepsi negatif, kata Ahli Dewan Undangan Sri Muda, Suhaimi Shafiei.
Katanya, keputusan itu meletakkan institusi keadilan negara dalam keadaan dipertikaikan kewibawaannya.
“Kita melihat dari awal perbicaraan itu agak pincang. Beberapa saksi penting tidak dipanggil memberikan keterangan di mahkamah.
“Itu membuatkan rakyat tertanya-tanya tentang ketelusan sistem pendakwaan dalam negara kita,” kata Shuhaimi kepada Keadilandaily.
23 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya mengetepikan hukuman bersalah yang dijatuhkan ke atas kedua tertuduh.
Dalam rumusan penghakiman empat muka surat, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dalam mensabitkan mereka.
Justeru, kata Shuhaimi, dalam perbicaraan berprofil tinggi seperti itu, pihak pendakwaan mesti menyediakan kertas pendakwaan cukup, menyeluruh dengan bukti dan keterangan berwibawa.
Katanya, jika langkah itu gagal dilakukan, kemungkinan ada ruang melakukan kesalahan.
“Demi keadilan, seharusnya kertas siasatan dibuka semula. Dalam kes ini, saya setuju jika kertas siasatan dibuka semula.
“Jalankan siasatan betul-betul supaya keputusan yang dihasilkan nanti diterima oleh semua pihak,” jelasnya.

keadilandaily

No comments: