Monday, August 19, 2013

Malaysia Sepatutnya Berani Mengeluarkan Kenyataan Tegas Terhadap Tindakan Kudeta Tentera Al-Sisi

SHAH ALAM 17 OGOS: Tindakan kerajaan Umno BN yang membisu terhadap tragedi pembunuhan rakyat Mesir membuktikan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, sebagai dayus dan penakut.
Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie, berkata Malaysia sepatutnya berani membuat kenyataan tegas dan keras mengutuk tindakan kudeta tentera Mesir yang mengorbankan lebih 3, 000 orang awam.
“Tindakan berdiam diri ini seolah-olah mengiya suara-suara yang menyatakan kerajaan Malaysia tunduk kepada kuasa besar dan merestui perbuatan kejam tentera Mesir.
“Di sebalik laungan Malaysia sebagai negara Islam, kesenyapan pemimpin negara dalam tragedi itu mencerminkan pemimpin negara ini, penakut dan pengecut.
“Sedangkan kenyataan mengutuk dan mengecam pun tidak berani dibuat, apatah lagi menghantar bantuan kepada saudara seagama di sana,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.
Sehingga kini, kerajaan Malaysia belum membuat kenyataan rasmi berhubung pendirian terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Mesir.
Tentera Mesir merampas kuasa dan menahan Presiden Mohamad Morsi serta menyerang lokasi perhimpunan penyokong pro-demokrasi di Dataran Rabaah Adawiyah pada 14 Ogos lalu.
Sebelum ini, PAS, DAP dan PKR masing-masing membuat kenyataan lantang mengutuk dan mengecam tindakan ketenteraan Mesir terhadap orang awam
di negara Timur Tengah itu.
Kecewa dengan sikap kerajaan Persekutuan yang acuh tidak acuh, Shuhaimi menggesa kerajaan Negeri mengambil inisiatif bagi membantu rakyat Mesir.
- FZL

selangorku

No comments: