SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor sekali lagi mahu memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menambah bilangan anggota polis bantuan berikutan kebimbangan peningkatan kes jenayah melibatkan senjata api.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya meluluskan permohonan membenarkan 20 penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai polis bantuan.
Tetapi menurutnya, kelulusan ini tidak memberi sebarang makna kerana kuasa polis bantuan ini sangat terhad kepada satu tugas sahaja iaitu mengawal bangunan MBPJ.
“Kita harap KDN dan PDRM lebih mengutamakan keselamatan awam dan mempertimbangkan permohonan ini kerana kita bersedia mengadakan perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negera bagi mencapai kata sepakat dalam perkara ini.
“Kerajaan Negeri juga menawarkan kesanggupan membiayai kewangan dan tenaga kerja dan kita amat berharap akan menerima maklum balas positif daripada PDRM,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Katanya, walaupun tanggungjawab menjaga keselamatan awam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat, namun pihaknya bersedia untuk menyumbang sebanyak yang boleh bagi memastikan keselamatan orang awam lebih terjamin ketika berada di tempat-tempat awam.
Selangor sebelum ini pernah menawarkan diri untuk menyediakan pasukan polis bantuan sejak tahun 2010 untuk mengatasi ketidakseimbangan nisbah polis, malah MBPJ juga sudah tiga kali mengusulkannya kepada KDN dengan bajet sendiri sebanyak RM4.3 juta.
Namun Menteri Dalam Negeri penggal lalu Datuk Seri Hishamuddin Hussein menolak cadangan tersebut atas alasan kadar jenayah di Selangor kian menurun.
Abdul Khalid berkata, pihaknya tidak mahu polis bantuan yang hanya bertugas meronda bangunan sahaja sebaliknya mendesak PDRM memberi kuasa penuh termasuk menggunakan senjata api seperti anggota polis biasa.
“Kerajaan Negeri sedia membiayai perbelanjaan proses latihan dan penempatan mereka,” katanya yang mahu 30 polis bantuan ditempatkan disetiap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan anggaran bayaran gaji lebih RM3,000 seorang.
fmt
No comments:
Post a Comment