Monday, August 26, 2013

Pelbagai Pihak Tidak Bersetuju Dengan TPPA

Tun Dr Mahathir Mohamad mencurigai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang dirundingi oleh Putrajaya ketika ini, mendesak kerajaan supaya didedahkan semua butiran mengenai perbincangan itu.
Bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu mengulangi pendirian perjanjian itu lebih merugikan daripada memberikan keuntungan.
"Perbincangan pun tidak diberitahu dan dibuat secara tersorok daripada orang ramai, dirahsiakan.
"Ini mesti ada perkara yang tidak diingini diketahui umum. Tetapi apa yang saya lihat, ia lebih rugi daripada untung," kata Dr Mahathir dalam ucapannya pagi ini pada persidangan meja bulat TPPA anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir menegaskan TPPA adalah bertujuan menindas negara yang terbabit dalam perjanjian, dengan matlamatnya adalah untuk mengawal.
"Negara dalam TPPA masing-masing dikehendaki tidak cakap pasal perjanjian ini untuk empat tahun.
"Ini bermakna tidak ada perjanjian bebas, ini adalah perjanjian mengawal," katanya.
Beliau turut mengingatkan Putrajaya untuk tidap terperangkap dengan bentuk penjajahan baru menerusi TPPA yang disifatkannya sebagai 'penjajahan ekonomi'.
"Kuasa ekonomi pun boleh diguna untuk menguasai, pelbagai usaha barat cuba lakukan.
"Pada mulanya mereka perkenalkan pelbagai jenis perjanjian, membuka pasaran dalam negara yang telah capai kemerdekaan," kata Dr Mahathir mengenai usaha barat terutama Amerika Syarikat dalam usaha menjajah atas nama globalisasi.
Sementara itu, Dr Mahathir menggesa kerajaan supaya membentangkan analisis kos untung rugi mengenai TPPA kepada umum supaya penilaian mengenai kelebihan dan keburukan perjanjian itu.
"Kerajaan mesti dedahkan kos analisis untung rugi ini secara terbuka supaya dapat dinilai.
"Selain itu, perbincangan penuh secara terbuka perlu dilakukan dengan pihak berkaitan," katanya.
Malah, Dr Mahathir mengulangi secara tegas supaya kerajaan serta-merta menghentikan daripada terus menandatangani perjanjian TPPA.
"Secara tidak langsung apa yang saya katakan tadi, saya menggesa kerajaan supaya menghentikan daripada menandatangani perjanjian TPPA ini," katanya.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) awal bulan ini mengadakan satu rumah terbuka bagi membincangkan mengenai TPPA dengan kumpulan perniagaan dan pihak berkaitan, bagaimanapun enggan mendedahkan butirannya atas alasan 'kerahsiaan'.
TPPA adalah inisiatif untuk membentuk satu kawasan perdagangan bebas (FTA) di kalangan 12 negara yang berjumlah 800 juta penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Malaysia menyertai TPPA sebagai anggota perunding penuh pada pusingan ke-3 yang diadakan di Brunei Darulssalam pada Oktober 2010 lalu, serta terbaru adalah di semasa pusingan ke-18 baru-baru ini di Kota Kinabalu.
Kontroversi TPPA mendapat perhatian banyak pihak antaranya kumpulan sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan juga parti Pakatan Rakyat (PR), hingga menyaksikan Putrajaya terpaksa membentuk Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) melibatkan keanggotan dwi partisan bagi membolehkan pembangkang mendapat penjelasan berhubung perjanjian berkenaan.
PR turut membangkitkan persoalan terhadap beberapa isu dalam TPPA yang memungkinkan akan memberikan kesan negatif kepada Malaysia memandangkan perjanjian itu tidak boleh diumumkan kepada orang ramai.- 26 Ogos, 2013.

malaysianinsider

No comments: