Loading...

Friday, August 16, 2013

Ku Li vs Najib


Pemilihan Umno Oktober depan menyaksikan nama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah kembali menjadi perhatian ramai.

Ini kerana sejak 26 tahun lalu, anggota Parlimen paling lama di Malaysia itu yang lebih dikenali sebagai Ku Li pernah mencabar penyandang jawatan presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pemilihan tahun 1987.

Ketua Umno bahagian Gua Musang itu pernah menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan tertinggi Umno itu pada tahun 2004 namun gagal mendapat 30 peratus atau 57 pencalonan untukk layak bertanding jawatan tersebut.

Justeru, persoalan kini timbul sama ada Ku Li akan mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah sistem baru yang tidak lagi memerlukan syarat kuota pencalonan untuk berbuat demikian.

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir, ketika diajukan persoalan tersebut berpendapat bahawa Ku Li tidak perlu lagi berbuat demikian memandangkan 'zaman' beliau dalam Umno sudah lama berlalu.

"Saya fikir zaman untuk Tengku Razaleigh sudah berlalu. Fasa Umno pada zaman beliau dan fasa pemimpin (seangkatan) Ku Li sudah jauh," kata pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak itu kepadaMalaysiakini.

Menurutnya lagi, langkah terbaik buat Ku Li kini adalah memberikan ruang kepada pemimpin lain untuk bertanding jawatan itu.

Ku Li merupakan menteri kewangan Malaysia sewaktu zaman perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan bertanggungjawab mengasaskan Petronas dan Bank Bumiputera  Malaysia Berhad.

Di bawah sistem pemilihan baru yang akan dilaksana kali ini, syarat memenuhi keperluan kuota sudah dimansuhkan dan sesiapa sahaja boleh bertanding dengan syarat mendaftarkan diri untuk berbuat demikian.
Tujuh pindaan dibuat terhadap perlembagaan Umno yang diluluskan perwakilan pada Oktober 2009 menjadikan pemilihan kali ini menarik perhatian ramai, antaranya:
  • 146,500 anggota peringkat akar umbi akan memilih secara langsung pucuk pimpinan parti berbanding 2,500 orang perwakilan sahaja sebelum ini. Mereka juga akan memilih langsung pimpinan di bahagian masing-masing.
  • Hapusnya sistem kuota yang sekali gus membuka ruang seluas-luasnya kepada anggota untuk bertanding dengan syarat minimum bagi pertandingan mana-mana jawatan Majlis Tertinggi ialah pernah memegang jawatan Anggota Majlis Tertinggi atau Anggota Jawatankuasa (AJK) bahagian selama satu penggal.
  • Syarat untuk bertanding AJK bahagian ialah telah menjadi anggota parti selama tiga tahun.
Sebelum pindaan perlembagaan parti, jawatan tertinggi parti memerlukan seseorang yang mahu bertanding terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 bahagian Umno iaitu:
  • Presiden - 30 peratus atau sokongan daripada 57 bahagian.
  • Timbalan Presiden - 20 peratus atau 38 bahagian.
  • Naib Presiden - 10 peratus atau 19 bahagian.
  • Anggota Majlis Tertinggi - 5 peratus atau 10 bahagian.
  • Ketua Pemuda - 20 peratus atau 38 bahagian.
  • Ketua Wanita - 20 peratus atau 38 bahagian.
  • Ketua Puteri - 20 peratus atau 38 bahagian.
Selain itu, untuk jawatan naib bagi ketiga-tiga sayap parti itu pula, perlu mendapat sokongan sebanyak 28 bahagian atau 15 peratus.

malaysiakini

No comments: