Thursday, August 1, 2013

Selangor Meluluskan 27 Pelantikan Ahli Majlis PBT


SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor meluluskan pelantikan 27 kekosongan jawatan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) baru bagi sesi Ogos 2013 sehingga Disember 2014.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, tiga daripadanya ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ-4), Subang Jaya (MBSJ-3), Majlis Perbandaran Selayang (MPS-3), Kelana Jaya (MPKJ-7), Ampang Jaya (MPAJ-1), Sepang (MPS-1), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS-2), dan Sabak Bernam (MDSB-1).
“Ada tujuh lagi kekosongan termasuk tiga daripadanya yang kosong kerana peletakan jawatan,” katanya dalam sidang media di Bangunan SUK di sini hari ini.
Teng sebelum ini mengumumkan pihaknya kali ini meletakkan beberapa syarat ketat dalam kriteria pelantikan ahli majlis, antaranya tempoh
perkhidmatan tidak boleh melebihi tempoh empat tahun atau dua penggal berturut-turut.
Manakala hampir 50% ahli majlis PBT yang melebihi tempoh khidmat empat tahun sebelum ini akan ‘direhatkan’.
“75% kuota daripadanya dicalonkan parti masing-masing manakala 25% daripada organisasi badan bukan kerajaan (NGO) yang sah dan berdaftar.
“Manakala minimum 30% jumlah ahli majlis yang dilantik akan terdiri daripada golongan wanita,” katanya minggu lalu.
Selain itu, beberapa syarat am turut diambil kira, antaranya calon mestilah warganegara Malaysia dan fasih berbahasa Melayu, had umur
minimum 21 tahun, bermastautin dikawasan berkenaan sekurang-kurangnya lima tahun atau menetap didaerah bersebelahan.
Sementara itu, kerajaan negeri turut mengumumkan penangguhan penghantaran pelajar ke Mesir berikutan pergolakkan politik yang masih belum reda .
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, penangguhan ini akan berterusan sehinggalah keadaan keselamatan di Mesir benar-benar terjamin.
Daripada jumlah 1,457 orang pelajar Selangor yang sedang mengikuti pengajian di Mesir, hanya 250 orang sahaja sudah pulang ke Malaysia
dan bakinya masih berada di Mesir.
Halimah berkata, langkah itu diambil bagi mengatasi kegelisahan ibu bapa yang mempunyai anak atau saudara mara yang sedang mengikuti pengajian di Mesir.
“Kerajaan negeri akan terus memantau dan menyelia perkembangan terkini dari semasa ke semasa terutama berkaitan dengan keselamatan pelajar Selangor di Mesir.
“Kerajaan negeri juga meminta semua ibu bapa bertenang dan berdoa semoga situasi yang sedang berlaku di Mesir akan pulih dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut beliau, pelajar jurusan Agama yang terlibat akan ditempat di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) manakala bagi pelajar jurusan Perubatan pula akan ditempat di Universiti Selangor (UNISEL) bagi mengikuti pengajian Asasi Sains.
“Penajaan mereka yang dipersetujui oleh Lemabaga Zakat Selangor (LZS) untuk ke Mesir telah diminta untuk meneruskan penajaan mereka di penempatan baru ini,” katanya.
Bagi tahun 2013, seramai 164 pelajar telah menerima tajaan dermasiswa dimana 95 orang mendapat tawaran di Mesir, 64 pelajar di Jordan dan Maghribi (5).

fmt

No comments: