Friday, August 16, 2013

From Malaysia We Support Morsi


PETALING JAYA: PKR berkata, pertumpahan darah yang berlaku hari ini akibat serangan ganas pihak pemerintah tentera Mesir ke atas rakyatnya sendiri, adalah amat mendukacitakan.
Ia merupakan satu mala petaka besar kepada tamadun kemanusiaan dan amalan demokrasi dunia, kata Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.
“Adalah nyata, rakyat yang diserang itu, termasuk wanita dan kanak, berhimpun secara aman dan tidak bersenjata apa-apa.
“Justeru, tindakan yang dilakukan oleh pihak tentera, nyatalah terlalu keras, tidak munasabah dan tidak dapat diterima oleh pemikiran yang waras,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Laporan-laporan setakat ini menunjukkan bahawa lebih 3,000 orang telah terbunuh dan puluhan ribu yang cedera parah.
Dr Muhammad Nur berkata, penindasan tentera berterusan ini merupakan satu tamparan buruk kepada perkembangan demokrasi yang baru saja bertunas dan dinikmati oleh seluruh rakyat Mesir.
Para penyokong Dr. Muhammad Morsi, seolah-olah dengan sengaja dihimpit dan ditekan, supaya akhirnya terpaksa bergerak secara ‘underground’, tidak dapat mengawal diri dan akhirnya bertindak secara ekstrim.
Jika ini berlaku, maka berpeluanglah pihak tentera dan para penyokongnya mengganyang mereka secara habis-habisan, kata beliau lagi.
`Kita amat sedih’
“Kita amat sedih dan simpati kepada seluruh rakyat Mesir yang berterusan terperangkap dalam konflik yang belum nampak kesudahannya ini.
“Jika tidak dihentikan, ia akan menjadikan negara Mesir yang luas dan paling ramai penduduk ini, berpecah belah dan sukar untuk distabilkan kembali.
“Paling membimbangkan, andai tiada langkah-langkah yang dilakukan, boleh berlaku perang saudara yang dahsyat sebagaimana di Syria sekarang ini,” tambah beliau.
Justeru, semua pihak yang merasakan diri punyai maruah dan wibawa, perlulah mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan jenayah Jeneral Al Sisi ini, kata Dr Muhammad Nur.
Katanya, kesahihan penguasaannya ke atas kerajaan Mesir hendaklah ditolak.
Paling utama, peluang menikmati amalan demokrasi yang baru saja bermula, dikembalikan semula kepada rakyat Mesir dengan segera, tanpa syarat, katanya.

fmt

No comments: