SHAH ALAM 25 OGOS: Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan di sini semalam mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda.
Membawa tema ‘Tolak Rasuah, Anak Muda Merdeka’, ia dihadiri lebih 5,000 orang mulai jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam dengan pelbagai acara menarik.
Bagi Muhammad Adam Che Yusuf, 23, program itu merapatkan ukhwah di kalangan masyarakat, malah menarik minat anak muda terhadap isu semasa dalam dan luar negara.
Katanya, program khas seperti bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantu memberi penerangan kepada anak muda terhadap gejala rasuah di negara ini.
“Sambutan dipenuhi dengan pelbagai program berunsur ilmiah, bukannya hiburan semata-mata, selain penekanan mesej terhadap integriti dalam diri belia selaku tonggak masa hadapan,” katanya.
Hal sama diakui Safiq Izzat Azmi, 23, yang menyifatkan program itu mengingatkan masyarakat terhadap tragedi berdarah di Mesir.
Katanya, sesi dialog dan penerangan tragedi di negara bergolak itu memberi banyak maklumat mengenai punca di sebalik pembunuhan beramai-ramai rakyat Mesir baru-baru ini.
“Isu Mesir memberi gambaran jelas kepada rakyat yang tidak tahu atau mencari punca sebenar pergolakan di Mesir,” kata mahasiswa sebuah institusi pendidikan tinggi awam itu.
Amirul Ridhuan Mohd Noor, 23, pula berkata, usaha kerajaan Selangor menganjurkan program penuh pengisian itu harus dipuji dan dicontohi negeri lain.
“Bukan hanya beriadah atau bersantai secara sihat tetapi turut dihidang dengan program ilmiah dan hiburan secara minimal. Ia cara terbaik untuk melahirkan belia berwawasan,” katanya.
Sambutan itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi.
Antara program menarik ialah sembang santai bersama akar sakit tuan, Dr Ismail Tambi, Ustaz Zulkifli Ahmad dan selebriti terkenal, Afdlin Shauki.
Turut diadakan, sukan Paintball, Walk Hunt, Cycling Hunt, Basketball 3 0n 4, Klinik Bola Sepak, Pertandingan Pidato ‘Rasuah’, Pertandingan Catur Piala Exco Belia dan Sukan, Pertandingan Blast of the Band dan Pertandingan Dekorasi Cup Cake dan Kraft Fabrik Felt.
Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
selangorku
No comments:
Post a Comment