SHAH ALAM, 22 OGOS : Staf Sarjan Ikmal Hisham Mohd Jusin mengetuai 179 senarai penerima pingat negeri Selangor apabila dikurniakan Pingat Kebesaran Terbilang (P.K.T) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-67 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK.
Pingat ini dikurniakan bagi menghargai keberanian dan pengorbanan.
Turut diberi pengiktirafan adalah Staf Sarjan Mohd Zaidi Abdul Hamid; Bintara Kanan TMK David A/K Sanya, Bintara Kanan PAP (PKL)(GI) Syed Mahamad Nasir Syed Ali; Sarjan Mohd Haniff Mahasan, Bintara Muda PAP (PKL) Oseli A/K Dungun dan Laskar Kanan PNK (PKL) Salimi Mahktar.
Istiadat pengurniaan pingat disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah. Majlis hari ini adalah bagi penerima Daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.
Turut dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) kepada 19 penerima yang melakukan perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya.
Selain itu, Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (P.P.C) dikurniakan kepada 31 pegawai Kerajaan di dalam kumpulan sokongan bagi menghargai kecemerlangan mereka yang sedang atau telah berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun dengan Kerajaan Negeri.
Turut dikurniakan Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S) dikurniakan kepada 17 penerima yang merupakan kakitangan Kerajaan yang sedang atau telah berkhidmat dengan kelakuan terpuji sekurang-kurangnya 20 tahun.
Manakala Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada 105 penerima yang berjasa kepada negeri serta tekun dan taat menjalankan tugas.
-FZL
selangorku
No comments:
Post a Comment