Sunday, January 19, 2014

Isu Kenaikkan Harga Barang Disalut Sentimen Perkauman Seteru


ISU kenaikan harga barang yang mendominasi politik negara ekoran kenaikan harga minyak dan kos-kos pengeluaran memasuki episod hodoh apabila cuba dijadikan isu perkauman oleh parti-parti kerabat BN khususnya Umno.

Dimulai dengan kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang ‘sedih’ melihat anak-anak muda Melayu ‘diperalatkan pembangkang’ dalam Himpunan Turun malam 31 Disember lalu, terbaru Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula menyelar sikap 'orang tengah' yang cuba mengambil kesempatan memburukkan kerajaan dengan menaikkan harga barang.

Bagi Keng Liang, demonstran Himpunan Turun didominasi anak-anak muda Melayu sedangkan anak-anak muda Cina dan India bergembira menyambut tahun baru di pawagam, pasar raya dan lain-lain tempat.

Tengku Adnan pula mendakwa 'orang tengah' cuba menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan BN dengan kaedah menaikkan harga barang yang jelas akan membebankan rakyat.

"Kita sedar banyak orang tengah ini lebih menyokong pembangkang. Apa yang dilakukan adalah buat satu kaedah supaya rakyat benci kepada BN. Ini tidak adil. Kenapa hendak buat cara ini," kata beliau kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul bersama komuniti masyarakat Acheh Malaysia di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur, 18 Januari lalu.

Keng Liang pula menulis secara berurutan dalam twitternya yang antara lain menyebut: “selalu dlm demo jalan yg kena tangkap majority kaum Melayu. Kenapa adik2 perlu diperguna? Pernah Nampak adik2 kaum Cina? Fikirlah masa depan…”
Strategi meniup sentimen kaum dan agama dalam apa juga isu membabitkan politik negara memang menjadi senjata utama Umno, MCA dan Gerakan.

Tidak kiralah sama ada isu yang dibincangkan itu benar-benar menyentuh sentimen agama dan kaum seperti isu kalimah Allah dan pembinaan rumah ibadah, sentimen kaum dan agama juga cuba sedaya upaya dikaitkan para pemimpin BN dengan isu-isu kepentingan bersama yang melewati fahaman agama dan kaum seperti rasuah, penyelewengan, pemborosan dan kenaikan harga barang.

Apa yang gagal difahami pemimpin BN khususnya Keng Liang, isu-isu kepentingan bersama tidak lagi menarik minat hanya sebahagian segmen masyarakat; malah kesedaran umum berhubung isu rasuah, kronisme, penyelewengan, pemborosan dan terkini, kenaikan harga barang telah melewati batas bangsa, agama dan pegangan politik.

Sehubungan itulah kita dapat melihat bagaimana perhimpunan Bersih 3.0 di Stadium Merdeka dan beberapa siri perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya sejurus berakhirnya pilihan raya umum ke-13 dihadiri rakyat pelbagai kaum dan agama dan tidak hanya disambut oleh rakyat daripada kelompok bangsa tertentu sahaja.

Kempen membantah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dimulakan dengan Himpunan Turun di Dataran Merdeka, yang dihangatkan pula dengan isu kangkung oleh Perdana Menteri, turut menarik perhatian rakyat pelbagai kaum. Hinggakan pemimpin Umno Pulau Pinang cuba menangguk di air keruh dengan mengadakan perhimpunan mengecam DAP ekoran flashmob membantah kenaikan harga barang yang diadakan masyarakat Tionghoa di Machang Bubuk.

Bagi Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno, janganlah cuba bermain api dengan menyalahkan ‘orang tengah’ dalam krisis kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat. Beliau perlu menyedari bahawa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kini adalah hasil daripada keputusan kabinet menaikkan harga petrol dan diesel atas premis ‘rasionalisasi subsidi’. Siapakah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan majoriti anggota kabinet jika bukan orang Melayu?

Siapakah juga peneraju syarikat tenaga elektrik negara – Tenaga Nasional yang menaikkan tarif elektrik jika bukannya Melayu? Siapakah pemilik syarikat konsesi tol di negara ini yang diberi lampu hijau menaikkan kadar tol di lebuhraya jika bukannya orang Melayu? Dan siapakah juga tauke korporat yang menguasai industri gula, beras dan tepung negara jika bukan seorang Melayu?

Paling tidak pun beliau harus mengakui bahawa kelompok saudagar yang menguasai urusan peruncitan di negara ini kebanyakan terdiri daripada penyokong dan pendokong MCA dan bukannya DAP. Malah MCA sendiri dianggotai para saaudagar dan tauke Tionghoa yang rapat dengan pemimpin Umno dan bukannya PAS ataupun PKR.

Tidak payahlah Tengku Adnan cuba menyeret sentimen kaum dan agama dalam isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Lebih elok bagi beliau mencontohi Timbalan Perdana Menteri yang mula belajar turun padang ke premis perniagaan bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi harga barang keperluan harian dan mendengar keluhan rakyat. - 
Harakahdaily


Wasatiyyah Yang Dilaungkan Hanya Slogan Tanpa Amalan - KU


PERMATANG PAUH, 18 JAN Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep ‘wasatiyah’ atau kesederhanaan yang dilaungkan kerajaan cuma slogan tanpa amalan.
Katanya, dalam usaha memupuk kesederhaan dalam kehidupan, kerajaan mesti menunjukkan teladan yang boleh diikuti oleh rakyat melalui dasar perbelanjaan dan pengurusan negara.
“Jika wasatiyyah menjadi luahan bibir semata-mata, tetapi ketirisan, penyelewengan, pemborosan,penyalahgunaan kuasa, pembohongan dan penganiayaan menjadi amalan, siapa sahaja mampu untuk menzahirkan perkataan wasatiyyah,
“Seringkali wasatiyyah atau kesederhanaan menjadi lafaz di bibir, tetapi tidak berjaya menjadi amalan untuk dipraktikkan dalam kehidupan, kata Anwar lagi dalam tazkirah Maghrib di Surau Taman Cermai, Sama Gagah, Permatang Pauh, semalam.
Anwar menyampaikan tazkirah Maghrib di Surau Taman Cermai, Permatang Pauh,
Anwar menyampaikan tazkirah Maghrib di Surau Taman Cermai, Permatang Pauh,
Semalam, 17 Januari genap dua tahun pelancaran Kursi Wasatiyah di Universiti Malaya (UM) serta Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global.oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penubuhan dia institusi itu kononnya bagi melahirkan lebih ramai sarjana dan cendekiawan yang menerajui semangat kesederhanaan dan keseimbangan seperti tokoh Islam terkemuka al-Imam Ibnul Qayyim
Namun, langkah itu tidak digambarkan melalui tindakan kerajaan seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara selama bertahun-tahun mengenai pemborosan dan ketirisan yang berjumlah puluhan bilion ringgit.
Menurut Ernst and Young, salah satu daripada empat firma audit terbesar di dunia, dalam kajian mereka ‘Asia-Pacific Fraud Survey Report Series’, mendapati Malaysia adalah antara negara paling korup di dunia.
AuditGlobal Financial Index (GFI) mendedahkan, jumlah aliran wang haram dari negara ini mencecah USD54 bilion bagi 2011 dan jumlah terkumpul sebanyak RM370 bilion sepanjang tempoh 2002 hingga 2011.
Manakala menurut Index Persepsi Rasuah Dunia 2013 (World Corruption Index) Malaysia di tangga ke-53 daripada 177 negara berbanding Singapura pada tangga ke-5 dan Brunei pada tangga ke-38.
Justeru kata Anwar, slogan wasatiyah yang dilaungkan kerajaan dan pimpinan BN hanya mainan dibibir bagi mengaburi mata rakyat, langsung tanpa amalan sebenar.
“Sekiranya pemborosan dan rasuah berleluasa, ketirisan dan pembaziran menjadi amalan kerajaan, ia tidak membawa apa-apa perubahan untuk diteladani oleh rakyat khususnya golongan bawahan yang mengharapkan pembelaan dari mereka,” katanya.

keadilandaily

Hati-Hati Dengan Ucapan, Kini Kangkung Di Persada Antarabangsa


Isu kangkung melangkah setapak lagi apabila terus mendapat liputan dalam siaran radio World Service BBC.
Rancangan itu melaporkan fenomena media sosial di Malaysia termasuk blog, Twitter dan Facebook dibanjiri dengan pelbagai cerita dan sindiran kangkung.
Dalam siaran 7.30 malam tadi, penyampai Mukul Devichand berkata warga Malaysia berbicara dan gemar berjenaka mengenai kangkung pada minggu ini dan sukar untuk lari dari topik itu.
Devichand merujuk kepada kemarahan rakyat Malaysia dengan mempermainkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menggunakan kangkung bagi mendapat pujian rakyat.
Penyampai itu turut melaporkan laporan berita BBC di laman sesawang pada Selasa sukar diakses.
“Pada Rabu, ramai warga Malaysia dilaporkan menghadapi kesukaran mengakses laporan itu meskipun tiada masalah pada laman sesawang BBC.
“Terdapat teori konspirasi mengenai sekatan kerajaan. Telekom Malaysia berkata sebarang persoalan mengenai sekatan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa.
“Namun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata mereka tidak menyekat sebarang laman atau menerima arahan untuk berbuat demikian,” katanya.
Penyampai itu berkata sewaktu SKMM memberi maklum balas, kebanyakan warga Malaysia sudah dapat mengakses laman sesawang BBC.
“Cerita kecil mengenai sayur-sayuran tetapi banyak isu yang dimainkan termasuk kos sara hidup, harga barangan dan perkhidmatan, kebebasan bersuara dan ahli politik,” katanya. – 18 Januari, 2014.

Thursday, January 16, 2014

Pendirian KU, Azmin Kekal Dalam PKNS


Penasihat ekonomi negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menegaskan penyingkiran Azmin Ali daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah tidak sah.
Ketua pembangkang tersebut berkata, proses tidak melantik semula Azmin sebagai lembaga pengarah dalam PKNS tidak melalui proses dan prosedur yang sepatutnya.
"Pengurus besar tidak mempunyai kuasa untuk menyingkir mana-mana lembaga pengarah, mengikut peraturan ia tidak boleh berlaku.
"Keputusan hanya boleh dibuat oleh oleh Exco dan Menteri Besar. Oleh itu, pendirian saya kekal iaitu Azmin masih lembaga pengarah dalam PKNS," kata Anwar dalam sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya.
Dalam mempertahankan Azmin, Anwar menyifatkan tiada alasan munasabah untuk menyingkirkan Azmin daripada lembaga pengarah kerana rekodnya yang baik sepanjang menerajui anak syarikat negeri Selangor.
"Tak ada alasan yang munasabah untuk gugurkan YB Azmin," kata Anwar lagi.
Azmin yang turut hadir dalam sidang media sama bagaimanapun enggan mengulas lanjut kemelut terbaru tersebut dan berkata pendiriannya sama dengan Anwar.
"Pendirian saya sama seperti yang Datuk Seri cakap tadi," kata Azmin apabila diminta mengulas mengenai penyingkiran tersebut.
Menurut Anwar lagi, keputusan tersebut juga dibuat tanpa sebarang persetujuan bersama dan tanpa merujuk kepimpinan Pakatan Rakyat terlebih dahulu.
"Ya, apa yang saya cuba katakan ialah tidak ada orang yang menyokong penyingkiran Azmin.
"Jadi, Azmin masih sah sebagai lembaga sehingga tempoh akhirnya pada tahun 2015," katanya lagi.
PKNS merupakan konglomerat milik kerajaan Selangor yang merupakan syarikat hartanah dan pelabur utama dalam perniagaan di Selangor.
Azmin yang timbalan presiden PKR sebelum ini telah mengesahkan tidak disambung lagi sebagai ahli Lembaga Pengarah PKNS.
Azmin dan Menteri Besar negeri Selangor,  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sememangnya diketahui berbeza pandangan dalam banyak perkara.
Malah pelantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar bagi penggal kedua juga tidak disenangi PKR Selangor yang dipimpin oleh Azmin.
Semalam, Abdul Khalid mendedahkan keputusan tidak melantik semula Azmin telah diputuskan oleh pihak pengurusan PKNS sendiri dan bukan olehnya.
Bagaimanapun PKNS hari ini menyanggah kenyataan Abdul Khalid tersebut.
Dalam kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan oleh  Setiausaha Kerja PKNS, Hajjah Norita Mohd Sidek memaklumkan, surat mereka kepada Azmin bertarikh 8 Januari 2014 adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 13 November 2013 dan disahkan oleh MMKN pada 4 Disember 2013.
Menurut kenyataan PKNS yang diterima The Malaysian Insider, Hajjah Norita berkata, "PKNS juga ingin memaklumkan bahawa kuasa melantik Ahli Perbadanan adalah di tangan MMKN dan bukannya Pengurus Besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS."
Ia bertentangan sekali dengan kenyataan dibuat Khalid semalam yang memaklumkan pihak pengurusan PKNS yang menamatkan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah PKNS.  – 16 Januari,  2014.

TMI

Wednesday, January 15, 2014

Pendirian PR & BN Harus Selaras Dalam Isu Kalimah Allah


Pakatan Rakyat (PR) perlu mengambil pendirian bersama berhubung kemelut kalimah Allah yang belum berkesudahan, kata beberapa pemimpin selepas salah seorang penggubal undang-undang mereka memberi amaran bahawa keengganan membuat keputusan mengenai isu itu boleh menyebabkan pakatan pembangkang hilang sokongan pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, mereka masih belum menetapkan tarikh mesyuarat untuk membincangkan isu itu, yang marak semula awal bulan ini apabila pihak berkuasa Islam Selangor merampas Bible berbahasa Melayu dan Iban yang disyaki digunakan untuk berdakwah kepada orang Islam, bukan sekadar bertujuan upacara sembahyang.
 Pemimpin PR juga memberi amaran bahawa agama adalah topik sensitif yang perlu diselesaikan secara berhati-hati untuk mengelakkan keadaan beremosi. Secara keselurannya, masyarakat Islam di Malaysia ada 29 juta populasi dengan sekurang-kurangnyanya 10% menjadi Kristian.
Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Khalid Samad, berkata beliau bersetuju pendirian bersama yang diambil gabungan pembangkang akan memberi manfaat.
“Pemimpin Pakatan perlu berbincang mengenai perkara ini, buat keputusan dan berpegang kepadanya,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya tidak mempolitikkan isu itu seperti yang dilakukan oleh Umno dan penyokongnya yang membantah bukan Islam menggunakan terma Allah.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, pendirian rasmi parti Islam itu ialah perkataan Allah tidak eksklusif kepada umat Islam tetapi berpendapat perkataan God patut diterjemahkan sebagai Tuhan, bukan Allah.
Naib Presiden DAP, Dr Ariffin Omar, berkata salah satu sebab yang menyumbang kepada kekurangan pendirian bersama berhubung isu itu ialah kerana PR masih belum lagi didaftarkan sebagai gabungan walaupun beberapa cubaan dilakukan untuk berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Sebab lain ialah kerana perselisihan mengenai penggunaan perkataan Allah untuk penerbitan Katolik, Herald itu akan berlangsung di Mahkamah Persekutuan untuk memohon kebenaran mencabar keputusan Mahkamah Rayuan berhubung itu.
Beliau berkata, DAP selalu berpendapat isu itu dimanipulasi serta dipermainkan, dan mereka yang menentang adalah minoriti yang kebanyakannya ialah penyokong kuat Umno.
“Walaupun tidak mempunyai pendirian bersama, pemimpin individu dalam Pakatan sering bercakap dengan lantang menentang perkara itu.
“Mereka sedar bagaimana perkara itu dimanipulasikan,” katanya dan menambah, kemarakan isu itu tidak akan mengalih perhatian daripada peningkatan kos sara hidup.
Naib Presiden PKR, N Surendran, berkata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jelas menyatakan pendiriannya bahawa terma Allah tidak eksklusif kepada mana-mana komuniti.
Beliau berkata, masalahnya ialah penggunaan media tradisional yang menentang pakatan itu menenggelamkan pendirian itu.
“Ini adalah persoalan mengenai tanggapan dan ia timbul kerana media diperguna untuk kepentingan BN dan ekstremisnya. Kedudukan kita jadi tidak seimbang atau kenyataan salah dipetik,” katanya.
Pada satu forum pada malam Isnin lalu, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, berkata sikap Pakatan yang masih tidak membuat keputusan berhubung kemelut isu kalimah Allah akan menyebabkan pakatan pembangkang menghampiri pengakhiran politiknya dalam tempoh tiga tahun, yang mungkin memberi kelebihan kepada Umno.
Beliau berkata, tindakan berat mulut pakatan pembangkang mungkin menyebabkan keputusan kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Disember lalu yang menunjukkan 77% undi Melayu berpendapat terma Allah tidak patut digunakan oleh bukan Islam.
Keputusan kaji selidik itu, di sebalik hakikat bahawa pendirian Pakatan selama tiga tahun lalu ialah terma itu tidak eksklusif kepada mana-mana komuniti, katanya, pendirian yang memberikan mereka undi.
Ahli Parlimen Pandan penggal pertama itu memberikan amaran jika Pakatan terus enggan membuat keputusan dan berdolak-dalik mengenai pendirian mereka, maka mereka akan jatuh ke tangan Umno atau pihak yang berfikiran seperti itu yang percaya bahawa bermain dengan elemen perkauman dan agama adalah formula terbaik untuk terus berkuasa.  – 15 Januari, 2014.

TMI

Tuesday, January 14, 2014

Mengimbau Kembali 47 Fasal Yang Termaktub Dalam Piagam Madinah


Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal.
  • 23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.
  • 24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.
Selain Piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu Piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskanSyariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.


  • Fasal 1
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang : Inilah kitab (Piagam Bertulis) daripada Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk Islam dari Quraisy dengan penduduk Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.[1]
  • Fasal 2
Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia-manusia lain.
  • Fasal 3
Golongan Muhajirin dari Quraisy tetaplah di atas pegangan lama mereka : mereka saling tanggung-menanggung membayar dan menerima diyat (wang tebusan) di antara sesama mereka dalam mana mereka menebus sesiapa yang tertawan dengan cara berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang beriman.
  • Fasal 4
Bani Auf (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka dalam mana mereka bersama-sama tanggung-menanggung membayar serta menerima wang tebusan seperti dulu; dan setiap taifah (golongan) tetaplah menebus sesiapa yang tertawan dari kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
  • Fasal 5
Bani al-Harith (dari Yathrib – Madinah) bin al-Khazraj tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu, dan tia-tiap puak dari (Suku Khazraj) hendaklah membayar wang tebusandarah mereka sendiri dengan adil dan berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman.
  • Fasal 6
Bani Saidah (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
  • Fasal 7
Bani Jusyam (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
  • Fasal 8
Banu al-Najjar (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
  • Fasal 9
Bani Amru bin Auf tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
  • Fasal 10
Bani al-Nabiet (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
  • Fasal 11
Bani Aus (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
  • Fasal 12
Bahawa orang-orang yang beriman tidaklah boleh membiarkan sebarang masalah di antara mereka sendiri bahkan mestilah sama-sama bertanggungjawab memberi sumbangan, dengan berkebajikan untuk menbayar wang tebusan darah dengan adil.
    • Fasal 12-b
Hendaklah seseorang yang beriman itu tidak membuat apa-apa perjanjian dengan orang yang di bawah kawalan seseorang yang beriman yang lain dengan tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu.
  • Fasal 13
Bahawa orang-orang beriman lagi bertaqwa hendaklah menentang sesiapa yang membuat kesalahan, melanggar kesusilaan, melakukan kezaliman atau dosa atau perseteruan atau kerosakan di kalangan orang-orang beriman, dan mereka hendaklah bersatu bersama-sama menentang orang tersebut walaupun jika orang itu anak kepada salah seorang dari mereka.
  • Fasal 14
Tidak sayugianya seseorang mukmin itu membunuh seorang mukmin lain kerana seorang kafir, tidak sayugianya ia menolong mana-mana kafir terhadap seseorang mukmin.
  • Fasal 15
Bahawa jaminan Allah itu adalah satu dan sama; ia melindungi nasib orang yang lemah dari perbuatan mereka; dan bahawa orang-orang Mukmin hendaklah salinh menjamin sesama sendiri terhadap (gangguan) orang lain.
  • Fasal 16
Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapatkan pertolongan dan pimpinan dengan tidak menzalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka.
  • Fasal 17
Bahawa perdamaian orang-orang mukmin itu adalah satu dan sama, oleh itu tidak boleh dibuat perjanjian dengan mana-mana orang mukmin tanpa diturut serta oleh mukmin yang lain dalam sesuatu perang pada jalan Allah, melainkan dengan dasar persamaan dan keadilan di kalangan mereka.
  • Fasal 18
Bahawa setiap serangan kita hendaklah dikira sebagai serangan terhadap semua, oleh itu hendaklah disilihgantikan tenaga menentangnya.
  • Fasal 19
Bahawa orang mukmin hendaklah saling membela sesama mereka atas setiap darah yang tumpah pada jalan Allah.
  • Fasal 20
Bahawa orang-orang mukmin lagi bertaqwa hendaklah teguh di atas sebaik-baik petunjuk dan seteguh-teguhnya.
    • Fasal 20-b
Nahawa tidak boleh mana-mana orang musyrik melindungi harta orang-orang Quraisy dan tidak juga nyawa mereka dan tidak boleh menghalang orang mukmin (akan haknya)
  • Fasal 21
Barangsiapa membunuh dengan sewenang-wenangnya akan seorang mukmin dengan tidak ada bukti yang cukup (alasan yang membolehkan pembunuhan itu berlaku) hendaklah dihukum bunuh balas kecuali dipersetuji oleh wali yang kena bunuh menerima ganti darah. Semua orang mukmin hendaklah bersatu suara mengutuk perbuatan itu, bahkan tidak harus bagi mereka menegakkan terhadapnya.[2]
  • Fasal 22
Bahawa tidak harus bagi mana-mana orang mukmin yang mengakui isi kandungan Piagam ini, dan percaya Allah dan Hari Kemudian, menolong mana-mana orang yang mencabul ataupun melindungi orang itu. Barangsiapa menolong orang itu maka keatasnya laknat Allah dan kemurkaanNya pada hari Kiamat kelak, dan tidak akan diterima darinya sebarang tebusan dan tidak juga sebarang taubat.
  • Fasal 23
Berbalah walau bagaimanapun kamu dalam sesuatu perkara hendaklah merujukkan perkara itu kepada Allah dan Nabi Muhammad.
  • Fasal 24
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah turut serta membelanja sama-sama dengan orang-orang mukmin selama mana mereka itu berperang
  • Fasal 25
Bahawa kaum Yahudi dari Bani Auf adalah satu ummah bersama orang-orang mukmin, mereka bebas dengan agama mereka sendiri (Yahudi) dan orang Islam dengan agama mereka (Islam), begitu juga orang-orang yang sekutu mereka dan begitu juga diri mereka sendiri, melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan keluarganya sendiri
  • Fasal 26
Yahudi Bani al-Najjar (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
  • Fasal 27
Yahudi Bani al-Harith (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
  • Fasal 28
Yahudi Bani al-Saidah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
  • Fasal 29
Yahudi Bani Jusyaim (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
  • Fasal 30
Yahudi Bani al-Aus (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
  • Fasal 31
Yahudi Bani Tha’alabah (diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf, kecuali orang-orang zalim dan orang yang berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan diri dan keluarganya sendiri.
  • Fasal 32
Bahawa suku Jafnah yang bertalian keturunan dengan Yahudi Tha’alabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu (Bani Tha’alabah)
  • Fasal 33
Bani Shutaibah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf, dan sikap yang baik hendaklah membendung segala kejahatan.
  • Fasal 34
Bahawa orang-orang yang bersekutu dengan Yahudi Bani Tha’alabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu.
  • Fasal 35
Bahawa para pegawai kepada orang-orang Yahudi (diperlakukan) sama dengan orang-orang Yahudi itu sendiri.
  • Fasal 36
Tiada seorang pun yang menyertai Piagam ini boleh menarik diri keluar dari pakatan mereka melainkan dengan persetujuan dari (Nabi) Muhammad.
    • Fasal 36-b
Tidak boleh disekat dari membuat kelukaan yang dilakukan oleh mana-mana orang ke atas dirinya, barang siapa membuat kejahatan maka balasannya adalah dirinya dan keluarganya kecuali orang yang dizalimi dan bahawa Allah akan melindungi orang yang menghormati piagam ini.
  • Fasal 37
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah menbiayai negara seperti mana orang-orang mukmin juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama0sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang-orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling nasihat-menasihati, sama-sama membuat kebajikan terhadap perbuatan dosa.
    • Fasal 37-b
Mana-mana orang tidaklah boleh dianggap bersalah kerana kesalahan yang dilakukan oleh sekutunya; dan pertolongan hendaklah diberi kepada orang yang dizalimi.
  • Fasal 38
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah memikul biayaan bersama-sama orang mukmin selama mana mereka berada dalam keadaan perang
  • Fasal 39
Bahawa Kota Yathrib adalah terpelihara sempadannya tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak yang menganggotai piagam ini
  • Fasal 40
Bahawa jiran tetangga hendaklah diperlaku sebagai diri sendiri, tidak boleh dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan dosa.
  • Fasal 41
Tidak boleh dihampiri sebarang kehormatan (wanita) melainkan dengan izin keluarganya sendiri.
  • Fasal 42
Bahawa apa juga kemungkaran (bunuh) atau apa juga pertengkaran di antara sesama peserta piagam ini sekira-kira dikhuatiri membawa bencana maka hendaklah dirujukkan kepada hukum Allah dan kepada penyelesaian oleh Muhammad pesuruh Allah, Allah menyaksikan kebaikan isi kandungan piagam ini dan merestuinya
  • Fasal 43
Bahawa tidaklah boleh diberi bantuan perlindungan kepada Quraisy (musuh), begitu juga tidak boleh diberi perlindungan kepada orang-orang yang membantunya.
  • Fasal 44
Bahawa hendaklah bantu-membantu mempertahankan kota Yathrib daripada mana-mana pihak yang mencerobohnya.
  • Fasal 45
Apabila mereka diajak untuk berdamai atau untuk masuk campur dalam satu-satu perdamaian maka hendaklah mereka bersedia berdamai atau masuk campur ke dalam perdamaian itu; dan bila mana mereka diajak berbuat demikian maka orang-orang mukmin hendaklah merestuinya kecuali terhadap orang-orang yang memerangi agama (Islam).
  • Fasal 46
Bahawa orang-orang Yahudi Aus sendiri dan begitu juga orang-orang yang bersekutu dengan mereka hendaklah memikul kewajipan sama seperti mana pihak-pihak yang lain yang menganggotai ini demi kebaikan mereka semata-mata (perdamaian) dari anggota-anggota piagam ini. Dan mereka hendaklah berbuat kebajikan dengan tidak melakukan dosakerana barang siapa yang berbuat sesuatu maka dialah yang menanggungnya sendiri. Dan Allah menyaksi akan kebenaran isi kandungan Piagam ini dan merestuinya.
  • Fasal 47
Bahawa piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang zalim dan yang bersalah; dan bahawa –mulai dari saat ini barang siapa berpergiaan dari kota Madinah atau menetap di dalamnya adalah terjamin keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim atau bersalah. Dan bahawa Allah merestui setiap orang yang membuat kebajikan dan bertakwa dan bahawa Muhammad hendaklah diakui Pesuruh Allah.


One Love