Wednesday, January 15, 2014

Pendirian PR & BN Harus Selaras Dalam Isu Kalimah Allah


Pakatan Rakyat (PR) perlu mengambil pendirian bersama berhubung kemelut kalimah Allah yang belum berkesudahan, kata beberapa pemimpin selepas salah seorang penggubal undang-undang mereka memberi amaran bahawa keengganan membuat keputusan mengenai isu itu boleh menyebabkan pakatan pembangkang hilang sokongan pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, mereka masih belum menetapkan tarikh mesyuarat untuk membincangkan isu itu, yang marak semula awal bulan ini apabila pihak berkuasa Islam Selangor merampas Bible berbahasa Melayu dan Iban yang disyaki digunakan untuk berdakwah kepada orang Islam, bukan sekadar bertujuan upacara sembahyang.
 Pemimpin PR juga memberi amaran bahawa agama adalah topik sensitif yang perlu diselesaikan secara berhati-hati untuk mengelakkan keadaan beremosi. Secara keselurannya, masyarakat Islam di Malaysia ada 29 juta populasi dengan sekurang-kurangnyanya 10% menjadi Kristian.
Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Khalid Samad, berkata beliau bersetuju pendirian bersama yang diambil gabungan pembangkang akan memberi manfaat.
“Pemimpin Pakatan perlu berbincang mengenai perkara ini, buat keputusan dan berpegang kepadanya,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya tidak mempolitikkan isu itu seperti yang dilakukan oleh Umno dan penyokongnya yang membantah bukan Islam menggunakan terma Allah.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, pendirian rasmi parti Islam itu ialah perkataan Allah tidak eksklusif kepada umat Islam tetapi berpendapat perkataan God patut diterjemahkan sebagai Tuhan, bukan Allah.
Naib Presiden DAP, Dr Ariffin Omar, berkata salah satu sebab yang menyumbang kepada kekurangan pendirian bersama berhubung isu itu ialah kerana PR masih belum lagi didaftarkan sebagai gabungan walaupun beberapa cubaan dilakukan untuk berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Sebab lain ialah kerana perselisihan mengenai penggunaan perkataan Allah untuk penerbitan Katolik, Herald itu akan berlangsung di Mahkamah Persekutuan untuk memohon kebenaran mencabar keputusan Mahkamah Rayuan berhubung itu.
Beliau berkata, DAP selalu berpendapat isu itu dimanipulasi serta dipermainkan, dan mereka yang menentang adalah minoriti yang kebanyakannya ialah penyokong kuat Umno.
“Walaupun tidak mempunyai pendirian bersama, pemimpin individu dalam Pakatan sering bercakap dengan lantang menentang perkara itu.
“Mereka sedar bagaimana perkara itu dimanipulasikan,” katanya dan menambah, kemarakan isu itu tidak akan mengalih perhatian daripada peningkatan kos sara hidup.
Naib Presiden PKR, N Surendran, berkata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jelas menyatakan pendiriannya bahawa terma Allah tidak eksklusif kepada mana-mana komuniti.
Beliau berkata, masalahnya ialah penggunaan media tradisional yang menentang pakatan itu menenggelamkan pendirian itu.
“Ini adalah persoalan mengenai tanggapan dan ia timbul kerana media diperguna untuk kepentingan BN dan ekstremisnya. Kedudukan kita jadi tidak seimbang atau kenyataan salah dipetik,” katanya.
Pada satu forum pada malam Isnin lalu, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, berkata sikap Pakatan yang masih tidak membuat keputusan berhubung kemelut isu kalimah Allah akan menyebabkan pakatan pembangkang menghampiri pengakhiran politiknya dalam tempoh tiga tahun, yang mungkin memberi kelebihan kepada Umno.
Beliau berkata, tindakan berat mulut pakatan pembangkang mungkin menyebabkan keputusan kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Disember lalu yang menunjukkan 77% undi Melayu berpendapat terma Allah tidak patut digunakan oleh bukan Islam.
Keputusan kaji selidik itu, di sebalik hakikat bahawa pendirian Pakatan selama tiga tahun lalu ialah terma itu tidak eksklusif kepada mana-mana komuniti, katanya, pendirian yang memberikan mereka undi.
Ahli Parlimen Pandan penggal pertama itu memberikan amaran jika Pakatan terus enggan membuat keputusan dan berdolak-dalik mengenai pendirian mereka, maka mereka akan jatuh ke tangan Umno atau pihak yang berfikiran seperti itu yang percaya bahawa bermain dengan elemen perkauman dan agama adalah formula terbaik untuk terus berkuasa.  – 15 Januari, 2014.

TMI

No comments: