Tuesday, January 7, 2014

Semua Pihak Dinasihati Berhati-hati Membuat Kenyataan Pindaan Enakmen - Shuhaimi Shafiei


SHAH ALAM 7 JAN: PKR Selangor meminta wakil rakyat DAP berhati-hati membuat kenyataan berkaitan cadangan pindaan enakmen berhubung pengembangan agama ke atas bukan Islam di negeri itu.
Ini kerana, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei, berkata ia boleh menimbulkan keadaan lebih buruk, selain mengeruhkan keadaan kerana membabitkan sensitiviti agama.
Beliau berkata, DAP Selangor harus menunggu laporan penuh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada kerajaan negeri terlebih dahulu dan membincangkan langkah selanjutnya dalam mesyuarat Pakatan Rakyat.
“Sebab itu PKR Selangor termasuk Ahli Dewan Undangan (ADUN) dilarang buat sebarang kenyataan kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.
“Kita harus meneliti dulu laporan lengkap JAIS kepada kerajaan negeri dan bincangkan dalam mesyuarat Pakatan supaya boleh fikir langkah bersesuaian,” katanya kepada Selangor Kini.
Anwar sebelum ini menegur segelintir ADUN DAP Selangor yang membangkitkan cadangan meminda enakmen berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ di negeri itu.
Kata Ketua Pembangkang itu, mereka harus menggunakan saluran dalam kerajaan negeri atau melalui Pakatan Rakyat untuk membincangkan isu berkenaan.
Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda, berkata setiap individu perlu berhati-hati membuat kenyataan kerana boleh dieksploitasi pihak yang ada ada kepentingan politik.
Beliau berkata, lebih baik tidak memberi  respon berhubung isu itu kerana ADUN berpeluang membahaskannya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).
“Walaupun kita sedar kebarangkalian wujud usaha pihak tertentu untuk memberi gambaran tidak sihat kepada kerajaan negeri tetapi kita perlu berhati-hati. Biar perkara ini diperinci terlebih dahulu.
Pindaan yang dituntut ADUN DAP berkenaan merujuk kepada Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
Beberapa ADUN dari DAP Selangor membuat kenyataan bersama yang mahu pindaan dibuat kerana mendakwa JAIS bertindak sewenang-wenang  ke atas pejabat Bible Society Malaysia di Petaling Jaya,  2 Januari lalu.
-NFN FZL
selangorkini

No comments: