Monday, January 27, 2014

DSAI Tidak Bersetuju Dengan Kenaikan Fi Lesen Perniagaan Selangor


PETALING JAYA: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyatakan bantahannya terhadap keputusan kerajaan negeri Selangor menaikkan kadar lesen perniagaan sehingga 400 peratus.
Meskipun sesetengah peniaga berkemampuan untuk membayar nilai kenaikan itu, namun ini bukan masa yang sesuai, kata Anwar.  
"Sebab itu bila naik lesen perniagaan, kita tak setuju. Kita minta kerajaan Selangor timbang balik. Keadaan ekonomi teruk. Memang ada beberapa syarikat boleh bayar, tapi ini bukan masanya," kata Anwar ketika menjawab soalan daripada peserta Forum Belia bersama Anwar Ibrahim di Petaling Jaya, pada Ahad.
Kerajaan negeri Selangor sebelum ini mengumumkan kenaikan kadar lesen perniagaan dibawah peruntukan Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2007 (UUK-PTPP) yang diluluskan pada tahun 2007, setelah beberapa tahun ditangguhkan pelaksanaannya. 
Sebelum ini Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains dan Teknologi Dan Inovasi, Daroyah Alwi berkata kenaikan itu perlu memandangkan sudah lama kedar itu tidak disemak kembali.
Kali terakhir kadar kenaikan itu dikaji adalah 1987.
"Kesan kenaikan itu hanya dirasai kepada mereka yang terlibat dalam industri tersebut sahaja," dakwanya.
“Pada tahun 2007, kerajaan negeri cuba naikkan tapi tak kesampaian dan tertangguh. Kadar tersebut kekal sejak 26 tahun lalu jadi kerajaan negeri berpandangan perlu naikkan kadar lesen.
“Mereka sudah mendapat untung berlipat ganda jadi kita rasa perlu naikkan sedikit mengikut harga kadar terkini. Jadi mungkin kenaikan itu dilihat terlampau tinggi kerana ia sudah lama tidak dinaikkan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar senada dengan Daroyah apabila berkata kenaikan itu adalah keperluan khususnya bagi perniagaan berasaskan perindustrian dan perkilangan. 
Menurut beliau, kenaikan kadar tersebut tidak menimbulkan masalah kepada kedua-dua jenis perniagaan berkenaan kerana peningkatan permintaan dan persekitaran perniagaan yang memberangsangkan, apatah lagi ia telah tertangguh sejak sekian lama.   
"Yang saya boleh katakan, permintaan dari peniagaan dan kawasan masing-masing telah meningkat dengan perbelanjaan. Ikut kadar itulah mereka (kerajaan negeri) ambil tindakan (menaikkan) sekarang," katanya kepada Antarapos.
Namun beliau menyokong pendapat beberapa pemimpin Pakatan Rakyat Selangor yang meminta kerajaan negeri untuk mengkaji semula kadar kenaikan tersebut terhadap pengusaha perniagaan runcit. 
Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin, Ganabatirao Veraman pula berpandangan kenaikan itu perlu dikaji semula sementelah rakyat kini dihimpit kos sara hidup yang semakin memuncak.
  
“Saya rasa pandangan daripada akar umbi dan masyarakat perlu diambil kira. Pandangan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad juga akan diambil kira oleh kerajaan negeri untuk mengambil jalan penyelesaian mengenai isu ini,” katanya.

AP

No comments: