Monday, January 27, 2014

Kos Sara Hidup Yang Meningkat Topik Utama Konvensyen PR


KUALA LUMPUR 26 JAN: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali berkata, isu berkaitan rakyat termasuk kos kenaikan sara hidup akan menjadi keutamaan untuk dibincangkan dalam konvensyen Pakatan Rakyat pada 8 Mac depan.
“KEADILAN akan menekankan isu-isu yang berkaitan isu-isu rakyat yang terbeban dengan kenaikan kos akibat kegagalan kerajaan Barisan Nasional akan diberikan tumpuan. Selain itu, isu yang sekarang yang giat dicanangkan iaitu isu agama dan perkauman juga perlu diberi perhatian
“Namun secara khusus masih dibincangkan di peringkat sekretariat Pakatan, di mana hasil perbincangan tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat bersama pimpinan.
“Sebelum dibentangkan ke peringkat pimpinan, Mesyuarat dilaksanakan antara Seketariat Pakatan Rakyat, di mana antara anggotanya terdiri daripada Setiausaha Agung Pas, DAP, dan, KEADILAN. Mesyuarat antara seketariat dan pimpinan Pakatan Rakyat akan dilaksanakan minggu depan,” katanya.
Perkara sama turut dinyatakan ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menganggap Pakatan perlu menyediakan penyelesaian alternatif terhadap masalah utama rakyat sekarang, iaitu kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
“Kita fokus kepada isu nasional, iaitu kenaikan harga barang yang membebankan rakyat. Pakatan Rakyat perlu memberi penekanan isu ini dan memberi jalan alternatif kepada rakyat dalam menangai masalah kenaikan kos sara hidup, di mana perkara ini gagal diselesaikan oleh Umno BN,” katanya.
Selain itu, beliau menyatakan isu lain perlu diketengahkan dalam konvensyen tersebut adalah persediaan menghadapi Pilihan Raya Sarawak yang akan dilangsungkan dalam tempoh dua tahun.
“Pilihan raya Sarawak juga harus diberi penekanan, dari segi gerak kerja dan sebagainya, di mana ia akan berlansung dua tahun dari sekarang, dari pihak KEADILAN sendiri, gerak kerja pilihan raya sudah dimulakan, ” katanya.
Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen peringkat kebangsaan di Selangor pada 8 Mac 2014, bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam. Konvensyen kali ini adalah yang kelima semenjak 2008 dan yang pertama selepas pilihan raya umum ke-13 dilangsungkan pada Mei 2013.

KD

No comments: