Wednesday, January 22, 2014

"Orang lain yang makan nangka, orang lain pula terkena getahnya” - Shuhaimi Shafiei


Pertukaran dua pegawai tertinggi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berkuat kuasa serta merta memalukan dan tidak mewakili PKR sebagai sebuah parti yang berprinsip dan demokratik, kata PKR Selangor.
Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafie, berkata PKR Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan kepimpinan kerajaan negeri yang 'menghukum tanpa bicara' apabila mengarahkan pertukaran dua pegawai tertinggi PKNS ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
“Tidak wajar kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil tindakan terburu-buru menghukum penjawat awam tanpa memberi peluang pembelaan dan siasatan secara menyeluruh dilakukan.
“PKR bertegas mempertahankan prinsip keadilan dan hak setiap penjawat awam yang terlibat untuk membela diri dan disiasat secara berhemah tanpa memalukan sesiapa. Kami menyatakan rasa solidariti kepada Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan setiausaha kerjanya, Norita Mohd Sidek atas tindakan yang dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan Othman dan Norita ditukarkan serta-merta ke pejabat SUK dan dilarang  menghadiri mensyuarat ahli lembaga pengarah PKNS.
Abdul Khalid berkata, keputusan pertukaran itu dimaklumkan kepada kedua-dua pegawai terlibat dan meminta mereka memberi kerjasama penuh kepada siasatan.
Shuhaimi berkata, malang bagi Selangor melaung-laungkan slogan negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan tetapi mengambil langkah mengeruhkan lagi keadaan.
Katanya, PKR Selangor akan mengambil apa jua tindakan proaktif bagi mempertahankan maruah dan kredibiliti penjawat awam di Selangor.
“Amat malang bagi sebuah negeri yang melaungkan slogan negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan tetapi mengeruhkan lagi keadaan seperti pepatah Melayu 'orang lain yang makan nangka, orang lain pula terkena getahnya',” katanya.
Abdul Khalid selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada minggu lalu menegaskan tindakan menggugurkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah PKNS dilakukan oleh Othman dan mesyuarat kerajaan negeri hanya bersetuju dengan perkara itu.
Kenyataan itu bagaimanapun disanggah Norita dengan mendakwa kuasa lantikan ahli perbadanan itu terletak di tangan exco.
Norita berkata, PKNS memaklumkan kepada Azmin mengenai penamatan jawatannya melalui sepucuk surat bertarikh 8 Januari.
"Tempoh jawatan beliau ditamatkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada 13 November 2013 dan disahkan pada 4 Disember 2013.
"PKNS ingin memaklumkan bahawa kuasa melantik ahli perbadanan adalah di tangan exco dan bukan di tangan pengurus besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi memaklumkan Azmin kekal digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS dan tidak akan dilantik kembali.
Katanya, surat Othman pada 16 Januari lalu yang mengatakan PKNS menarik balik pengguguran tersebut adalah tidak benar.
"Kerajaan negeri Selangor tidak pernah mengarahkan PKNS supaya menarik semula surat penamatan perkhidmatan Mohamed Azmin yang bertarikh 8 Januari 2014 tersebut," katanya.
Media semalam melaporkan Azmin menerima surat mengatakan surat pengguguran beliau yang diterima pada 8 Januari adalah "tidak mengikut prosedur”.- 21 Januari, 2014.

TMI

No comments: