Monday, January 20, 2014

Bumiputera Harus Ubah Corak Ekonomi


Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera tidak akan mampu menyelesaikan jurang perbezaan ekonomi antara masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mahshar, berkata agenda berkenaan hanya akan membantu sebahagian sahaja usaha kerajaan dalam mencapai sasaran pendapatan RM45,000 per kapita untuk komuniti Bumiputera di negara ini.
"Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera sebahagiannya akan capai sasaran... boleh bantu, tetapi tidak boleh selesaikan," katanya ketika bercakap kepada pemberita di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Mohd Nizam berkata, MTEM yang mempunyai keanggotaan seramai 500,000 akan menjadi kuasa ketiga bagi membantu Putrajaya merealisasikan hasrat mencapai taraf jurang ekonomi yang seimbang antara komuniti Melayu Bumiputera dan bukan Bumiputera.
"MTEM akan menjadi kuasa ketiga gerakan sivil yang bukan bertindak sebagai lawan, tetapi menjadi rakan kerajaan yang bekerjasama sebagai satu entiti.
"Jika masyarakat Melayu dan Bumiputera masih kekal dengan corak ekonomi sekarang, mereka hanya akan memperolehi 15% daripada keseluruhan kek ekonomi, sedangkan masyarakat Melayu dan Bumiputera mempunyai jumlah populasi di dalam negara sebanyak 70%," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan sasaran Program Transformasi Ekonomi (ETP) berjumlah RM1.7 trilion, masyarakat Bumiputera seharusnya mampu mendapat RM900 bilion untuk memperolehi jurang ekonomi yang seimbang dengan bukan Bumiputera.
Katanya, ketika Sidang Kemuncak MTEM selama dua hari yang berlangsung bermula semalam, pihaknya menyuarakan 53 cadangan daripada 130 peserta dari seluruh negara yang akan dijadikan sebagai “blueprint” untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan negara.
"Kita mengenalpasti tiga isu utama yang harus diberikan perhatian, iaitu membanteras rasuah; pengagihan dan jurang ekonomi; dan juga ketidakcekapan dan pengagihan kekayaan.
"Jurang ekonomi yang melebar bukan masalah orang Melayu sahaja, ia masalah nasional," katanya.
MTEM sebelum ini turut memperjuangkan isu pemberian kontrak oleh syarikat petroleum negara, Petronas, yang dakwa mereka melebihkan syarikat asing berbanding anak tempatan dalam pengagihan projek.
Selain itu, pertubuhan badan bukan kerajaan ini juga membantah keras tindakan Putrajaya sekiranya kerajaan bercadang untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang didakwa akan memberikan kesan kepada keseluruhan ekonomi negara disebabkan peningkatan kos pendidikan dan perubatan.
"Kita sedang berusaha untuk menyerahkan resolusi kita kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan supaya agenda kita akan dapat manjadi agenda yang besar.
"Kita mahukan pengagihan ekonomi yang seimbang, bukan sama rata," katanya. – 19 Januari, 2014.

TMI

No comments: