Sunday, January 26, 2014

Konsensus Nasional, Prioritikan Negara


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat begitu serius apabila sekali lagi membuat tawaran perbincangan konsensus nasional dengan Barisan Nasional (BN), tiga hari selepas gesaan sama dikeluarkan beliau sebelum ini.
Walaupun sehingga kini BN tidak pernah melayan gesaan ketua pembangkang itu, Anwar dalam perutusannya hari ini berkata, isu-isu penting yang melanda negara ini memerlukan perbincangan antara kerajaan dan pembangkang bagi mencapai satu persetujuan.
"Maka telah tiba waktunya untuk kita semua mencapai satu konsensus nasional terhadap isu-isu yang teramat penting ini yang mendatangkan impak terhadap identiti kita sebagai sebuah bangsa dan negara.
"Dengan memegang kukuh pada semangat perlembagaan, semua pihak perlu berhenti mempersoal kedudukan utama agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan," kata Anwar dalam satu program di Selangor hari ini.
Isu berkaitan kenaikan kos sara hidup dan penggunaan kalimah Allah menjadi topik hangat di negara ini, apabila Putrajaya mula memansuhkan subsidi beberapa barangan dalam program rasionalisasi subsidi dan juga rampasan bible berbahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
"Dalam menegaskan kedudukan Islam dan mengakui bahawa orang Islam merupakan majoriti penduduk di negara ini, kita mesti menolak tanggapan bahawa Islam sedang terancam.
"Kita mesti menolak tanggapan bahawa wujudnya satu konspirasi jahat untuk merubah status Islam sebagai agama bagi Persekutuan kepada satu agama yang lain," katanya.
Anwar sebelum ini telah mengeluarkan jemputan sama kepada Putrajaya bagi menyelesaikan kemelut berkenaan ekoran beberapa siri demonstrasi dan tindakan rakyat yang agak keterlaluan sehingga dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Demonstrasi Umno Pulalu Pinang baru-baru ini juga membangkitkan isu 13 Mei akan berulang ketika mereka membantah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bubuk Machang Lee Khai Loon menyuapkan kangkung kepada replika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Dalam menuju konsensus ini, marilah kita memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang amat mustahak untuk negara kita maju ke hadapan.
"Marilah kita bekerjasama untuk mengatasi masalah-masalah dalam isu tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban. Tidak kira di peringkat pusat mahupun di negeri-negeri, marilah kita menetapkan iltizam untuk menghapuskan barah rasuah yang menghantui kita," katanya.
Masalah kenaikan harga barang jelasnya tidak mengenal batas kepartian, sehubungan itu, beliau menyeru agar pemimpin tanpa mengira perbezaan parti perlu berganding bahu untuk meningkatkan kebajikan rakyat dan mencari jalan penyelesaian yang tidak terus mendatangkan beban.
"Daripada kita mengutuk isu-isu keselamatan negara berdasarkan khayalan kita, marilah kita membantu pasukan polis untuk membanteras jenayah dan dengan langsungnya membuatkan tempat tinggal kita, sekolah-sekolah kita, malah pusat-pusat membeli-belah kita lebih selamat.
"Adalah menjadi tanggungjawab moral kita, khusus di kalangan kita yang telah dipilih untuk mewakili rakyat, untuk melangkaui batas kepartian dan berganjak menuju suatu konsensus nasional demi membawa Malaysia ke hadapan.
"Tugas kita terhadap negara, yang jelas lebih mustahak dari tugas kita terhadap parti, memaksa kita memikul cabaran ini. Kita mesti mengukuhkan azam dan mengumpul keseluruhan kekuatan moral kita demi memastikan kejayaan bersama," saran Anwar dalam ucapannya. – 26 Januari, 2014.

TMI

No comments: