Wednesday, January 8, 2014

Gaji Di bawah RM3000 Adalah Kategori Miskin Bandar


SHAH ALAM 8 JAN: Kemelut kenaikan beberapa harga barangan keperluan harian mendapat bantahan pelbagai pihak kerana ternyata sangat membebankan terutama bagi golongan berpendapatan rendah.
Tidak cukup dengan itu, rakyat terus menerima tekanan apabila kerajaan pusat bertindak mengumumkan pelbagai kenaikan lain seperti tarif elektrik, cukai pintu dan tol.
Tinjauan Selangor Kini di sekitar Shah Alam mendapati majoriti orang ramai yang ditemui mengakui kenaikan harga barangan secara mendadak memberi impak besar terhadap kehidupan seharian mereka, terutama apabila perbelanjaan kini melebihi pendapatan.
Kakitangan awam, Nur Shahida Ahmad, 27, berkata sebahagian besar gaji yang diperoleh setiap bulan akan dibelanjakan untuk membeli barang keperluan harian seperti barang dapur dan membayar sewa rumah.
Katanya, walaupun pendapatan isi rumah bersama suami mencecah RM4000 sebulan, namun kos kehidupan yang tinggi di kawasan bandar tidak menjamin seseorang itu dapat hidup selesa.
“Gaji kakitangan awam tidak seberapa, bahkan kenaikan tahunan juga tidak begitu tinggi. Tambahan pula hidup dalam kawasan bandar, kalau gaji seseorang itu RM2000 sebulan belum tentu mencukupi.
“Apabila harga barang naik, kita terpaksa atur semula kewangan supaya perbelanjaan bulanan tidak melebihi pendapatan. Kini, selepas harga petrol naik, kos perjalanan juga meningkat,” katanya.
Abdullah Kamal Sudin, 55, yang berpendapatan kira-kira RM1000 sebulan turut mengalami masalah sama hampir setiap bulan untuk menyara isteri dan tiga orang anak yang masih bersekolah.
Beliau yang berkhidmat sebagai pekerja am berkata, dalam sebulan perlu mengagihkan pendapatan untuk membayar bil elektrik, barangan dapur dan keperluan sekolah anak.
“Dengan gaji sebegini sudah tentu tidak mencukupi untuk menampung keperluan saya sekeluarga,bahkan semakin terbeban apabila kerajaan mengumumkan pelbagai kenaikan pada tahun ini.
“Kerajaan harus mengawal harga barangan, bukan sesuka hati menaikkanya kerana hanya menekan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah seperti saya,” katanya.
Sementara itu, peniaga, Miskina Abdullah, 63, mengakui pendapatan hariannya kian merosot kerana pembeli kini lebih berhati-hati dalam membeli barangan.
Katanya, keadaan itu berlaku selepas kerajaan bertindak mengumumkan pelbagai kenaikan mulai tahun lalu.
“Saya akui bila harga barang naik, perniagaan kian merosot kerana orang ramai tidak mahu lagi berbelanja untuk membeli barangan. Mereka lebih berhati-hati kerana tidak mahu berbelanja lebih.
“Kalau dulu pendapatan harian boleh mencecah sehingga RM700, kini merosot hingga RM300 sahaja. Perbezaan itu amat ketara tetapi terpaksa juga dihadapi,” katanya.
Sejak kenaikan harga petrol dan diesel, pemilik kenderaan yang hanya membayar RM1.85 seliter untuk petrol RON95 dan RM2.10 seliter bagi RON97, kini membayar masing-masing RM1.90 dan RM2.50, bermula Julai lalu.
Pada masa sama, harga sayur, ayam, ikan dan hampir semua barang keperluan juga turut dinaikkan, anakala cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula akan diperkenalkan kerajaan dengan kadar permulaan sebanyak 6 peratus, bermula 1 April 2015.
-NFN-

No comments: