Loading...

Tuesday, January 21, 2014

KENYATAAN MEDIA: ISU PERTUKARAN PEGAWAI TERTINGGI PKNS KE SUK


KENYATAAN MEDIA 

21 JANUARI 2014

 
ISU PERTUKARAN PEGAWAI TERTINGGI PKNS KE SUK


 

Parti Keadilan Rakyat Negeri Selangor (KEADILAN) memandang serius isu pertukaran dua pegawai tertinggi PKNS yang berkuat kuasa serta merta berhubung penamatan YB Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Perbadanan PKNS.

 

KEADILAN Selangor yang bermesyuarat malam tadi, 20 Januari 2014 mengecam sekeras - kerasnya tindakan kepimpinan kerajaan negeri yang 'menghukum tanpa bicara' apabila mengarahkan pertukaran pegawai PKNS tersebut ke SUK dan menganggap tindakan tersebut sebagai tindakan yang memalukan dan tidak mewakili KEADILAN sebagai sebuah parti yang berprinsip dan demokratik.

 

Adalah tidak wajar bagi kepimpinan YAB Dato' Menteri Besar mengambil tindakan terburu - buru untuk menghukum penjawat awam tanpa memberi peluang pembelaan dan sebelum siasatan dilakukan secara menyeluruh.


KEADILAN bertegas untuk mempertahankan prinsip keadilan dan hak setiap penjawat awam yang terlibat untuk membela diri dan disiasat secara berhemah tanpa memalukan sesiapa.

 

Justeru KEADILAN Selangor menyatakan rasa solidariti kepada Othman Omar, Pengurus Besar PKNS serta Puan Hajah Norita Mohd Sidek, Setiausaha Kerja PKNS atas tindakan yang dikenakan kepada mereka.



Amatlah malang bagi sebuah negeri yang melaungkan slogan negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan mengambil langkah mengeruhkan lagi keadaan seperti pepatah melayu 'orang lain yang makan nangka, orang lain pula terkena getahnya'.


KEADILAN Selangor juga bertegas akan mengambil apa jua tindakan proaktif untuk mempertahankan maruah dan kredibiliti penjawat awam di Negeri Selangor.



Shuhaimi Haji Shafie

Ketua Penerangan KEADILAN Negeri Selangor /
ADUN Sri Muda Selangor

No comments: