KUALA LUMPUR 24 Jan - Barisan Nasional (BN) berkemungkinan akan kalah teruk pada pilihan raya akan datang sekiranya isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak diatasi dengan segera.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, biarpun kerajaan kini giat menjalankan operasi pemantauan dan kawalan harga di seluruh negara, namun jika kerajaan gagal menangani kemarahan rakyat itu, peluang mempertahankan kerusi kerajaan dikhuatiri tipis.
"Ya boleh, tapi sekarang ini saya nampak ada sedikit kawalan harga yang dilakukan oleh pemerintah, ini adalah usaha yang baik tetapi pendapat Tun Daim itu memanglah mempunyai asasnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum yang bertajuk 'Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam' di Pusat Islam, di sini, hari ini.
Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meramalkan BN akan tumbang sekiranya pilihan raya diadakan ketika kemarahan sedang memuncak berikutan isu kos sara hidup.
Menurut Daim, kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak cekap dan boleh mendatangkan mudarat hilangnya kuasa BN dalam PRU 14 akan datang.
"Kerajaan gagal mengawal isu kenaikan harga barang.
"Isu pengurangan subsidi yang selama ini dinikmati rakyat perlu diteruskan dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan di mana rakyat nampak kerajaan boros dalam perbelanjaan negara," jelas beliau.
No comments:
Post a Comment