Monday, January 27, 2014

Kerajaan Negeri Tidak Akan meminda Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988


SHAH ALAM, 26 JAN : Kerajaan Negeri berharap laporan mengenai pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Petaling Jaya, awal bulan lalu dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata JAIS perlu menjalankan kajian dengan teliti dan cepat supaya kes yang membabitkan sensitiviti kaum ini tidak lagi disalah tafsir orang ramai.
Katanya beliau juga sedang menunggu jawapan bertulis daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika kitab yang diambil daripada PBM itu memenuhi Resolusi 10 Perkara yang ditetapkan Kerajaan Pusat.
“Kita sudah tulis surat kepada KDN, tetapi mereka tak jawab surat itu secara bertulis sebaliknya disampaikan melalui ucapan.
“Walaupun mereka bersetuju dengan cara-cara bible digunakan tetapi ini tertakluk kepada negeri masing-masing.
“Saya ingin tunggu jawapan bertulis kerana bible yang ambil ini kesemuanya diimport dan dibawa masuk ke Pelabuhan Klang yang mana Kerajaan Negeri tiada kuasa jagaan. Itu yang saya nak tanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina di tempat letak kereta Stadium Shah Alam, di sini.
Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk meminda Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 seperti yang digesa pihak tertentu.
Beliau berkata, pihaknya sudah mula mengadakan perbincangan bersama ketua agama bukan Islam bagi memberi pemahaman tentang penggubalan enakmen berkenaan.
“Meminda enakmen adalah satu hal yang sungguh serius. Buat masa ini Kerajaan Negeri belum terlintas lagi untuk memikirkan perkara ini (membuat pindaan).
“Kita sudah mula mengadakan perbincangan untuk memahami enakmen tetapi belum menuju kepada penukaran enakmen. Tiada tujuan atau langkah-langkah untuk mengubahnya,” katanya lagi.
EZY

Selangorkini

No comments: