Tuesday, January 28, 2014

Konsensus Nasional Disahut , Demokrasi Matang Menyerlah


Datuk Seri Najib Razak (gambar) memberi isyarat positif mangatakan akan membawa tawaran konsensus nasional dari Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mesyuarat Kabinet.
Semalam, Anwar sekali lagi mengulangi tawaran konsensus nasional dan hari ini Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara terawal menyambut cadangan oleh bekas bosnya itu.
"Kami akan bincang perkara ini dalam Kabinet," kata Najib selepas ditanya wartawan semasa menghadiri pelancaran buku peta Malaya dan Borneo di Kuala Lumpur hari ini.
Najib bagaimanapun menegaskan yang lebih penting adalah supaya negara terus aman dan mendahului kepentingan rakyat terlebih dahulu.
Anwar, pada Ahad sekali lagi, mengulangi cadangan mewujudkan konsensus nasional dengan kerajaan BN walaupun cubaannya sebelum ini gagal.
"Maka telah tiba waktunya untuk kita semua mencapai satu konsensus nasional terhadap isu-isu yang teramat penting ini yang mendatangkan impak terhadap identiti kita sebagai sebuah bangsa dan negara.
"Dengan memegang kukuh pada semangat perlembagaan, semua pihak perlu berhenti mempersoal kedudukan utama agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan," kata Anwar dalam satu perutusan di Selangor semalam.
Anwar sebelum ini membuat jemputan sama kepada Putrajaya bagi menyelesaikan kemelut berkenaan ekoran beberapa siri demonstrasi dan tindakan rakyat yang agak keterlaluan sehingga dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Namun, sehingga kini Barisan Nasional (BN) tidak pernah melayan gesaan ketua pembangkang itu.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid dalam kenyataan awal hari ini menyambut baik gesaan konsensus nasional tersebut kerana menurutnya ia adalah langkah proaktif yang harus diterima semua pihak.
"Saya memandang cadangan daripada ucapan penasihat PKR itu dalam persidangan Pemuda PKR merupakan satu langkah yang proaktif yang harus diterima baik oleh Umno dan pemimpin BN,” katanya.
Perkara seumpama itu jelas Naib Presiden Umno itu juga belum pernah berlaku dan ini menunjukkan sifat terbuka antara program yang harus dilakukan bersama antara parti kerajaan dan pembangkang.
"Ia tidak pernah berlaku sebelum ini dan ini melihatkan sifat dan rasa keterbukaan mereka terhadap program yang harus dijalankan bersama antara parti pemerintah dan pihak pembangkang," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya pagi ini.
Selepas pilihan raya umum ke-13 di mana BN mendapat keputusan paling buruk dalam sejarah, pentadbiran Najib dilihat bergelut menangani hubungan antara kaum dan agama dalam negara dan diburukkan lagi dengan kenaikan harga barang. – 27 Januari, 2014.

TMI

No comments: