Thursday, January 16, 2014

Pendirian KU, Azmin Kekal Dalam PKNS


Penasihat ekonomi negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menegaskan penyingkiran Azmin Ali daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah tidak sah.
Ketua pembangkang tersebut berkata, proses tidak melantik semula Azmin sebagai lembaga pengarah dalam PKNS tidak melalui proses dan prosedur yang sepatutnya.
"Pengurus besar tidak mempunyai kuasa untuk menyingkir mana-mana lembaga pengarah, mengikut peraturan ia tidak boleh berlaku.
"Keputusan hanya boleh dibuat oleh oleh Exco dan Menteri Besar. Oleh itu, pendirian saya kekal iaitu Azmin masih lembaga pengarah dalam PKNS," kata Anwar dalam sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya.
Dalam mempertahankan Azmin, Anwar menyifatkan tiada alasan munasabah untuk menyingkirkan Azmin daripada lembaga pengarah kerana rekodnya yang baik sepanjang menerajui anak syarikat negeri Selangor.
"Tak ada alasan yang munasabah untuk gugurkan YB Azmin," kata Anwar lagi.
Azmin yang turut hadir dalam sidang media sama bagaimanapun enggan mengulas lanjut kemelut terbaru tersebut dan berkata pendiriannya sama dengan Anwar.
"Pendirian saya sama seperti yang Datuk Seri cakap tadi," kata Azmin apabila diminta mengulas mengenai penyingkiran tersebut.
Menurut Anwar lagi, keputusan tersebut juga dibuat tanpa sebarang persetujuan bersama dan tanpa merujuk kepimpinan Pakatan Rakyat terlebih dahulu.
"Ya, apa yang saya cuba katakan ialah tidak ada orang yang menyokong penyingkiran Azmin.
"Jadi, Azmin masih sah sebagai lembaga sehingga tempoh akhirnya pada tahun 2015," katanya lagi.
PKNS merupakan konglomerat milik kerajaan Selangor yang merupakan syarikat hartanah dan pelabur utama dalam perniagaan di Selangor.
Azmin yang timbalan presiden PKR sebelum ini telah mengesahkan tidak disambung lagi sebagai ahli Lembaga Pengarah PKNS.
Azmin dan Menteri Besar negeri Selangor,  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sememangnya diketahui berbeza pandangan dalam banyak perkara.
Malah pelantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar bagi penggal kedua juga tidak disenangi PKR Selangor yang dipimpin oleh Azmin.
Semalam, Abdul Khalid mendedahkan keputusan tidak melantik semula Azmin telah diputuskan oleh pihak pengurusan PKNS sendiri dan bukan olehnya.
Bagaimanapun PKNS hari ini menyanggah kenyataan Abdul Khalid tersebut.
Dalam kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan oleh  Setiausaha Kerja PKNS, Hajjah Norita Mohd Sidek memaklumkan, surat mereka kepada Azmin bertarikh 8 Januari 2014 adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 13 November 2013 dan disahkan oleh MMKN pada 4 Disember 2013.
Menurut kenyataan PKNS yang diterima The Malaysian Insider, Hajjah Norita berkata, "PKNS juga ingin memaklumkan bahawa kuasa melantik Ahli Perbadanan adalah di tangan MMKN dan bukannya Pengurus Besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS."
Ia bertentangan sekali dengan kenyataan dibuat Khalid semalam yang memaklumkan pihak pengurusan PKNS yang menamatkan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah PKNS.  – 16 Januari,  2014.

TMI

No comments: