SHAH ALAM 10 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ubah seperti ‘kura-kura’ dalam menjalankan siasatan membabitkan salah laku pemimpin Umno seperti Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Shuhaimi Shafiei, berkata sikap ‘efektif’ SPRM hanya dapat dilihat jika dakwaan itu membabitkan pimpinan Pakatan Rakyat (PR).
Katanya, tindakan ‘double standard’ SPRM secara tidak langsung mencalar kredibiliti agensi berkenaan yang sepatutnya adil dalam melakukan siasatan.
“Oleh kerana dakwaan (ke atas Raja Ropiah) itu sesuatu yang serius dan memerlukan tindakan efektif daripada agensi berkenaan, maka kita seru ia dilakukan dengan lebih pantas.
“Kita tidak mahu rakyat lihat, kalau isu membabitkan pimpinan PR, SPRM begitu efektif dan pantas dalam melakukan siasatan serta mengeluarkan hukuman.
“Hal itu bakal mewujudkan persepsi bahawa SPRM bersikap dwi standard,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.
Terdahulu, badan bukan kerajaan (NGO), Jingga 13 menggesa SPRM menjelaskan status terkini siasatan ke atas pemimpin Wanita Umno, Raja Ropiah berhubung bayaran RM160 juta anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada Astanacanggih dan Awan Megah.
Jingga 13 mempersoal sikap SPRM yang membisu berhubung perkara itu walaupun sudah dilaporkan lebih setahun lalu.
Pada masa sama, Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda menggesa SPRM bertindak tegas terhadap isu yang dibangkitkan kerana membabitkan jutaan ringgit wang rakyat.
“Seperti yang dimaklumkan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bahawa Raja Ropiah boleh dikatakan mendapat keuntungan atas angin, walaupun mungkin urus niaga itu sah dari segi undang-undang.
“Tetapi, dari segi moral ia tidak beretika, maka penjelasan terperinci perlu dilakukan untuk memastikan mereka yang didakwa dikenakan tindakan sewajarnya jika didapati bersalah,” katanya.
Semalam, Rafizi mendedahkan syarikat Awan Megah pada dasarnya diberi RM13 juta sebagai ‘wang percuma’ ekoran kontrak membina Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) tidak sah dan terbatal.
-NFN FZL
selangorkini
No comments:
Post a Comment