Thursday, January 9, 2014

Prosuder Operasi Standart JAIS Yang Baru Dikuatkuasa Serta-Merta

Prosedur Operasi Standard (SOP) baru Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang berkuatkuasa serta-merta hari ini memperuntukkan pihak berkuasa agama itu perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri sebelum apa-apa serbuan melibatkan perkara sensitif dilakukan.
Perkara itu disahkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor di Shah Alam lewat petang tadi.
"Kerajaan negeri juga akan meneruskan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais untuk memastikan penguatkuasaan pada masa hadapan dijalankan secara tertib dan bertanggungjawab," kata Abdul Khalid ketika sidang media sejurus tamat mesyuarat berkenaan.
"Ia (SOP) akan diimplementasikan sekarang dan sudah berkuatkuasa. Tiap-tiap tindakan akan dibuat bersama," katanya.
Selangor juga jelasnya telah merancang untuk mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua agama bukan Islam untuk pemahaman Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988.
"Pada masa yang sama, Jais perlu meneruskan siasatan secara profesional sambil mengambil kira sensitiviti penganut agama Kristian," kata Abdul Khalid.
Sebelum itu, Jais telah dipanggil untuk memberikan penerangan dan penjelasan kepada kerajaan negeri dalam mesyuarat yang sama berkenaan serbuan mereka terhadap pejabat Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) di Damansara minggu lalu yang turut merampas 300 Bible versi bahasa Melayu dan Iban.
"Setelah mendengar taklimat jabatan berkenaan, kerajaan negeri telah mengarahkan Jais untuk mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika kitab-kitab yang diambil daripada PBM memenuhi Resolusi 10 Perkara isu kalimah ‘Allah’ yang ditetapkan Kabinet," katanya.
Antara syarat yang terkandung dalam Resolusi 10 Perkara adalah kebenaran mengimport, mengguna dan mencetak Bible berbahasa Melayu.
Sekiranya KDN berpuas hati bahawa penerbitan kitab-kitab berkenaan memenuhi resolusi tersebut, Abdul Khalid berkata, Jais perlu memulangkan kembali kesemua kitab yang dirampas kepada PBM ketika serbuan berkenaan. – 8 Januari, 2014.

TMI

No comments: