Monday, June 18, 2012

NAZRI AZIZ: TATKALA UMNO TAKUT PADA GARAM DAN BOTOL MINERAL

Sepanjang berlangsungnya perdebatan Nazri Aziz di dalam Parlimen seingatan saya, saya tidak pernah melihat seorang manusia Melayu / Islam yang sebegitu hebat menghina lawan, sehinggakan mencerca Lim Kit Siang (LKS) yang hanya memakai cermin mata dan kini menghinanya lagi dengan mengatakan 'tua' dan 'pekak'.


Telatahnya juga dapat dilihat diluar dewan dengan beberapa kenyataan yang biadap, termasuk yang pelik dan tidak kurang pula yang melucukan. Sepertimana kenyataan terbarunya yang mengatakan garam dan botol air mineral bisa menjatuhkan sesebuah kerajaan.


Beliau menuduh perhimpunan BERSIH 3.0 sebagai gerakan subversif dan komunis, dan menggunakan alasan terdapat 'elemen-elemen' atau dakwaan 'ada satu atau dua demonstran' yang mahu membunuh dan membuat kacau. Beliau nyata mahukan BERSIH 3.0 bertanggungjawab akibat perbuatan segelintir dua anak muda yang 'naik darah oleh provokasi polis upahan' yang membuat kacau..

Kaitannya mudah, jika ada seorang dua yang merusuh, semuanya terpalit.


Namun apabila piawaian yang sama digunapakai pula kepada ahli UMNO, hatta sehingga tahap Timbalan Perdana Menteri sendiri, konsep kepertanggungjawapan itu tidak terpakai. Bagaimana UMNO boleh bersalah walhal ia dilakukan 'sekelompok kecil' daripada ahli UMNO? Itulah dakyah yang dipaksakan kepada rakyat.


Skandal Altantuya, PKFZ, Scorpene, NFC, Samseng baling batu, menyerang ceramah PR dan sebagainya, semua itu tidak boleh dipaut kepada UMNO kerana ia hanya dilakukan 'segelintir kecil' ahli UMNO, bukan semuanya. Hebat sungguh UMNO BN ini dalam mencari daleh.


Tindakan memperkecilkan rakyat dengan kaedah menghina tahap IQ rakyat sebegini sememangnya ada tindak balas yang nyata. Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan di negeri negeri maju yang penduduknya rata-rata berpendidikan tinggi seperti Selangor. Secara amnya, tidak ada seorang rakyat pun yang mahu pemimpin mereka mengatakan mereka bodoh, dan tindak balas pahit itu akan dirasai apabila Nazri Aziz mengira undi nanti. Orang di Perak pasti akan menghukumnya kerana kenyataan ini.


Apabila bukti dicari, namun tidak dijumpai; apabila segala cara untuk memperbodohkan dan 'memperlembukan' rakyat tidak berhasil; maka Menteri 'kaya' UMNO ini terpaksa 'twist' dan menjadi 'spin doctor' untuk memberitahu rakyat bahawa garam dan botol air mineral sememangnya boleh menjatuhkan kerajaan.


Walau bagaimana bodohpun sekalipun kenyataan oleh Nazri itu, ia terpaksa dilakukan kerana tiada jalan lain. Kenyataan tersebut tidak akan dikeluarkan oleh Perdana Menteri, walaupun Najib Razak sendiri yang memulakan fitnah tersebut; ia tidak akan dikeluarkan Timbalan PM, lantaran beliau masih ligat mencari alasan tidak mahu mendedahkan akaunnya kepada Anwar Ibrahim; maka Nazri terpaksa mengeluarkan kenyataan tersebut, walaupun sedar terpaksa menelan segala kahak liur yang dikeluarkan awal-awal lagi oleh Najib Razak.


Tetapi mungkin ada kebenarannya bahawa garam dan air mineral bisa meruntuhkan kerajaan. Mungkin ia tidak sepantas peluru, mahupun sedahsyat bom C4, ia tetap satu senjata yang tajam dan ampuh.


Sepertimana mata pena lebih tajam daripada mata pedang, air dan garam, termasuk coretan pangkah pada kertas undi kepada calon ASAL BUKAN UMNO, bakal menghasilkan kerosakan maha dahsyat kepada UMNO dan BN dengan cara yang lebih menggerunkand an lebih menakutkan daripada peluru mahupun bom.


Nazri harus beringat, hayat politiknya juga sama panjang dengan UMNO BN; akan tamat pada PRU 13 akan datang. Beliau boleh mendabik dada dan mengecilkan pemikiran rakyat, tetapi yakinlah, rakyat hanya menanti masa untuk menguburkan Nazri, UMNO BN dan semua kuncu mereka!



Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: