Wednesday, November 7, 2012

Agensi Kerajaan Diminta Pantau Banjir Kilat Dan Tanah Runtuh



198 views
Email
SHAH ALAM, 6 NOV : Pihak berkuasa diminta terus menjalankan pemantauan dalam musim hujan ini supaya kejadian tidak diingini seperti banjir kilat atau tanah runtuh di Selangor dapat dibendung.
Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, kejadian banjir di kawasannya pada 27 Oktober lalu dan beberapa hari selepas itu begitu membimbangkan.
Menurutnya, diharapkan agensi terlibat iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak segera bagi menanganinya.
“Kita meminta semua pihak berkuasa terus memantau keadaan ini dalam musim hujan supaya banjir dapat dielakkan daripada berlaku.
“Bagi mencegahnya, diharap MBSA, MPK, JPS dan JKR menyegerakan perancangan membina kolam tadahan sementara di DUN Sri Muda sepertimana dicadangkan supaya air boleh dialirkan ke kolam ini sebelum masuk ke laluan biasa,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.
Shuhaimi berkata, dalam kejadian banjir pada 27 Oktober lalu sebanyak 20 keluarga dipindahkan ke pusat penempatan Rumah Kebajikan Sri Munirah di DUN Sri Muda.
Bagaimanapun, katanya, tiada pemindahan mangsa dilakukan ketika banjir seterusnya pada 31 Oktober dan 1 hingga 2 November lalu.
“Kita membekalkan makanan untuk makanan pagi hingga malam kepada semua mangsa dan hampir 530 keluarga menerima bantuan itu.
“Saya merakamkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam menghulurkan bantuan seperti MBSA, MPK, JKR, JPS, Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja, Majlis Perwakilan Penduduk dan Ketua Kampung yang terlibat dalam membantu mangsa serta kerja berkaitan,” ujarnya.
Shuhaimi berkata, antara kawasan dalam DUN Sri Muda terlibat banjir adalah Kampung Johan Setia, Kampung Teluk Gong, Kampung Sri Nadi, Kampung Sri Gambut, Kampung Baru Satu dan Dua, Kota Kemuning, Kampung Bukit Rimau, Kampung Bukit Naga, Kampung Jalan Kebun dan Kampung Harun Estate.
Katanya, Kerajaan Negeri diminta segera menghulurkan bantuan dalam kes itu menerusi Geran Selangorku  bukan sahaja bagi DUN Sri Muda tetapi kawasan Klang keseluruhannya.
“Semua pihak perlu bekerjsama dalam menangani masalah banjir itu kerana hasil tinjauan dilakukan mendapati antara punca kejadian adalah daripada sikap orang ramai serta pihak tertentu seperti pemaju.
“Terdapat projek pembinaan jambatan dan saliran serta parit yang dikorek tidak sempurna. Orang ramai juga membuang bahan buangan ditempat tidak sepatutnya,” katanya lagi.

No comments: