SHAH ALAM:
Kes pemilikan tanah di Selangor oleh parti komponen Umno-BN akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana didakwa terdapat penyalahgunaan kuasa.
Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata tanah tersebut melibatkan 23 kawasan di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno-BN.
Ia melibatkan parti komponen dan pemimpin Umno-BN termasuk Umno, MCA, MIC dan Gerakan di mana parti-parti tersebut hanya dikenakan bayaran premium RM 1 satu meter persegi.
Katanya, semua kawasan tersebut melibatkan nilai lebih RM 20 juta dengan saiz setiap lot antara satu hingga tujuh ekar yang mana Umno menerima 14 kawasan, MCA (lima), MIC (tiga) dan Gerakan (satu).
“Kes ini wujud elemen salahguna kuasa dan bagaimana ia diluluskan, kenapa untuk Umno-BN, kita akan minta perkara ini disiasat.
“Kita juga akan buat laporan polis dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Annex sempena sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Suee Lim mendakwa kes-kes tersebut melibatkan pemimpin Umno bahagian seperti Selayang, Ampang, Subang, Puchong, Tanjong Karang dan Sungai Besar.
“Semua 23 kawasan tanah ini adalah tanah dengan nilai tinggi iaitu tanah komersial.
“Semua kegunaan untuk perniagaan seperti rumah kedai dan bangunan perniagaan. Bila mereka dapat tanah ini mereka akan buat usahasama dengan mereka dapat dana keuntungan,” dakwanya lagi.
“Inilah antara contoh dan wajah sebenar Umno-BN yang beria-ria sekarang serang (Kerajaan PR) sana sini tetapi hakikatnya mereka ialah pihak yang Sapu Tanah Rakyat.
“Rakyat didahulukan tetapi dalam kontek di mana Umno, MCA dan yang lain, merekalah yang didahulukan.”
No comments:
Post a Comment