Loading...

Tuesday, December 4, 2012

Isu Deepak: Zahid Hamidi kunci mulut untuk lindungi Najib


(Oleh Aliff Fikri)

KUALA LUMPUR 3 Dis: Kegagalan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjawab dakwaan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan keluarga menunjukkan beliau cuba lindungi Perdana Menteri.

Zahid sebelum ini berjanji akan memberi respon terhadap isu itu dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) Sabtu lalu, tetapi langsung tidak disentuh.

Beliau sebaliknya menghabiskan sebahagian besar ucapannya dengan memuji usaha Perdana Menteri di peringkat antarabangsa, dan mengkritik Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafie berkata, tindakan Zahid itu hanya menambahkan keyakinan dan persepsi umum terhadap kebenaran dalam segala yang dinyatakan oleh Deepak.

“Beliau seharusnya menunaikan janjinya untuk memberi penjelasan. Di mana kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin?

“Tindakan Zahid ternyata menambah imej negatif kepada Umno yang sememangnya tercalar dengan pelbagai isu yang tidak berjawab.

“Timbul juga persoalan apakah beliau juga terlibat dalam konspirasi yang melibatkan Najib tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Shuhaimi tidak menolak kemungkinan Zahid cuba untuk mengalih isu supaya tumpuan lebih diberikan kepadanya berbanding penantian rakyat untuk mendengar jawapan berhubung isu tersebut.

“Kita juga tertanya-tanya apakah janji beliau untuk menjawab isu itu sebenarnya untuk ‘divert issue’ (mengalih isu) supaya media dan rakyat melupakan seketika tentang dakwaan yang mengaitkan Najib dalam skandal Altantuya (Shaaribuu).
“Ataupun Zahid mahu menunjukkan bahawa beliau satu-satunya orang Umno BN yang menjaga Najib?,” 
soal Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda itu.

Deepak mengakui terlibat membatal akuan bersumpah (SD) P Balasubramaniam yang mengaitkan pembunuhan Altantuya dengan Najib.

Beliau yang akrab dengan Datin Seri Rosmah Mansor dan pernah menganggap isteri Perdana Menteri itu sebagai ‘kakak’ berbuat demikian apabila diminta menghulurkan pertolongan kepada Najib.

“Saya diminta membantu oleh seorang kawan, saya bersetuju untuk membantu kerana saya boleh lihat akibat yang akan dialami keseluruhan kumpulan itu,” katanya dipetik dari Malaysiakini.

Dalam wawancara itu, Deepak mengakui terlibat dalam kontroversi akuan bersumpah Bala atas permintaan seorang ‘kawan wanita’ tetapi beliau enggan mendedahkan identiti individu berkenaan.

Katanya, SD kedua Bala dibuat bagi menarik balik tuduhan yang mengaitkan Najib Razak dengan Altantuya, sekaligus menggagalkan satu pengakuan yang dirancang berhubung pembunuhan wanita itu.

SD pertama, katanya, adalah permulaan sebelum seorang daripada individu yang terlibat dalam pembunuhan itu, membuat pengakuan dan mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan itu.

Bagaimanapun, Deepak berkata, personaliti yang dinamakan dalam SD pertama bertindak menghalang pendedahan itu.

Beliau juga menyifatkan penglibatannya dalam masalah Bala yang bertujuan membantu Najib Razak sebagai suatu kesilapan.

“Saya seorang ahli perniagaan. Saya kecewa kerana membantu seorang kawan yang saya anggap sejati. Saya tidak sepatutnya terlibat dalam filem James Bond ini,” katanya.

Ekoran pendedahan kepada media, Deepak terpaksa meletak jawatan pengarah dari semua 26 syarikatnya akibat tekanan daripada lembaga pengarah syarikat.


No comments: