Tuesday, January 8, 2013

Pakatan Rakyat kerah semua ahli gegar HKR Sabtu ini

Saiz Teks: A A A


(Oleh Sidiqin Omar)

PETALING JAYA 8 Jan: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menyokong penuh Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) dan menyeru semua ahli parti gabungan itu hadir ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

“Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan menyokong penuh dan menyeru semua ahli parti Pakatan hadir ke himpunan itu,” tegas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.

Katanya, pimpinan Pakatan akan bertemu dengan Ketua Polis Negara (KPN) petang ini bagi mendapatkan jaminan keselamatan polis sepanjang HKR pada 12 Januari ini.
“Pada jam 2.30 ini pimpinan Pakatan Rakyat akan bersama jawatankuasa penganjur bertemu KPN.

“Kita minta kerjasama pasukan polis untuk pastikan perhimpunan teratur dan aman, ikut jadual dan waktu ditetapkan di antara jam 2 hingga 5 petang,” jelas Anwar.

Sementara itu, Pengarah HKR, Mohamad Sabu memaklumkan, sehingga kini pentadbiran Stadium Merdeka masih belum memberi reaksi permohonan berhimpun di stadium berkenaan.

“(Pengurusan) Stadium Merdeka tidak menjawab kata boleh (guna stadium), tidak menjawab kata tak boleh.

“Kita tunggu hingga jam 12 tengah hari esok. Kalau tidak ada apa-apa perkhabaran, maka pada jam 4 petang kita akan buat satu pengumuman di mana perhimpunan akan diadakan,” kata Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS.

Turut hadir sidang media, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

No comments: