Monday, January 21, 2013

PR Selangor kecam edar buku fitnah


NURULFATIHA MUAH 18 Januari 2013
PR Selangor kecam edar buku fitnah
Suee Lim (dua, kiri) Abd Rani (tiga, kiri) dan Shuhaimi (tiga, kanan) menunjukkan risalah yang didakwa memfitnah Kerajaan Negeri.
PR Selangor kecam edar buku fitnah Buku yang didakwa berunsur fitnah.
SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) Selangor mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa mengedarkan buku memfitnah kerajaan negeri kepada ketua-ketua kampung tradisi.
Timbalan Setiausaha DAP negeri, Ng Suee Lim mendakwa, buku berbahasa Melayu sebanyak 21 siri setebal kira-kira 10 muka surat itu memaparkan pelbagai fakta tidak berasas berhubung pentadbiran Kerajaan PR antaranya isu air dan isu semasa di Selangor.

Katanya, setakat ini, ia diedarkan kepada tujuh ketua kampung di Dun Sekinchan dan dua ahli majlis DAP Melayu, dua minggu lalu menerusi kiriman pos.

“Saya percaya buku ini dikeluarkan pihak lawan kerana setelah diteliti, tiada sidang pengarang atau alamat pencetak tertera dalam risalah berkenaan.

“Ini taktik baru untuk serang PR dengan cara menyembunyikan diri. Jadi, kita minta masyarakat berjaga-jaga dan tidak terpengaruh dengan kandungan buku ini yang jelas bukan dikeluarkan kerajaan negeri,” katanya pada sidang media, di Dewan Annex, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafei dan Pesuruhjaya Pas Negeri, Dr Abd Rani Osman.

Berikutan itu, Suee Lim berkata, pihaknya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat kandungan risalah dan mengenal pasti individu terlibat dengan penerbitan serta pengedarannya.

“Kita berpolitik biarlah secara politik sihat, bukan politik fitnah dengan ‘baling batu sembunyi tangan’,” katanya.

Sementara itu, Shuhaimi menyifatkan perbuatan itu sebagai satu bentuk propaganda bersiri dilakukan pihak lawan terhadap PR bertujuan untuk mengelirukan rakyat, selain kehilangan modal menyerang Kerajaan Negeri.

“Kalau ini bentuk demokrasi diamalkan BN, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak layak minta peluang mentadbir negeri ini.

“Rakyat Selangor sudah memberi 11 kali peluang kepada BN mentadbir Selangor, jadi permintaan Najib itu dilihat kelakar,” katanya.

No comments: