Tuesday, September 24, 2013

GST Bakal Menaikkan Amarah Rakyat



Penganalisis ekonomi tidak menolak GST adalah kaedah terbaik untuk mengutip wang dan menjana pendapatan negara, sekaligus pada masa sama membantu pertumbuhan ekonomi negara.
"Lebih awal kita laksanakan lebih pantas kita menyesuaikan diri, saya jangkakan lebih banyak penambahbaikan berlaku kepada ekonomi kita.
"Ia memperkasakan pengurusan cukai dan memberi kerajaan lebih banyak fleksibiliti dalam menguruskan kewangan awam," kata Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun, Dr Yeah mengakui langkah itu akan menyumbang kepada inflasi yang tinggi terutamanya selepas kenaikan harga minyak baru-baru ini, tetapi melihatnya sebagai satu "realiti kehidupan".
"Mengenai inflasi, ia adalah realiti kehidupan kerana kos hidup sentiasa meningkat dari tahun ke tahun, ia tidak ada bezanya.
"Tetapi yang menjadi kebimbangan ialah kawalan dan penguatkuasaan ke atas pelaksanaan GST, ia bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan berlebihan dan kenaikan harga yang tidak munasabah," katanya.
Fellow Kanan Institut Kajian Sosioekonomi dan Alam Sekitar (SERI), Dr Michael Lim Mah Hui, berkata pelaksanaan GST adalah satu langkah tidak adil kerana kumpulan berpendapatan rendah terpaksa membayar pendapatan boleh guna mereka lebih tinggi daripada mereka yang kaya.
"GST secara dasarnya adalah kaedah berkesan untuk mengutip wang.
"Namun, secara jelasnya GST dilihat akan menghukum kumpulan yang lebih berpendapatan rendah kerana peratusan pembayaran GST daripada pendapatan boleh guna mereka akan lebih tinggi daripada mereka yang kaya," katanya.
Lim berkata, pelaksanaan GST tidak kena pada masanya kerana kerajaan baru sahaja menaikkan harga minyak baru-baru ini di samping langkah pencegahan rasuah dan ketirisan yang masih lagi lemah.
"Kerajaan sepatutnya melihat dan menangani isu ketirisan serta rasuah yang lebih merugikan orang ramai," katanya.
Lim juga mencadangkan kerajaan mengambil pendekatan berbeza untuk meningkatkan perolehan negara antaranya meningkatkan kadar cukai bagi mereka yang kaya, meningkatkan keuntungan modal dan memperkenalkan semula cukai duti harta pusaka.
"Putrajaya perlu memperkenalkan polisi yang lebih berkredibiliti untuk mengawal defisit dan membawa pendapatan dengan cara yang lebih berkesan," katanya merujuk kepada tiga kaedah yang dicadangkannya.
Malaysia mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, iaitu jumlah yang kerajaan belanjakan lebih daripada jumlah yang diperolehi, iaitu 4.5 peratus daripada Keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun lalu. Sementara itu, hutang kerajaan berbanding KDNK ialah pada 53.1 peratus, hampir mencecah set siling kerajaan iaitu 55 peratus.
Lebihan akaun semasa Malaysia juga jatuh kepada RM2.6 bilion pada suku kedua daripada RM8.7 bilion awal tahun ini ketika eksport jatuh selepas berita mengenai Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan mengurangkan dolar.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia(UUM), Prof Amir Hussin Baharuddin meramalkan langkah itu akan menerima aksi marah daripada orang ramai khususnya selepas kenaikan minyak.
"Demam 20 sen belum habis lagi, kalau GST ini diperkenalkan ia akan parah lagi.
"Tunggulah dua tiga tahun lagi, sekarang bukan masanya lagi. Kerajaan perlu juga pertimbangkan persepsi rakyat, lebih baik kerajaan berjimat dalam belanja dahulu sebelum mahu perkenalkan GST," katanya.
Selepas kenaikan minyak baru-baru, orang ramai meluahkan kemarahan dan menyifatkan ia satu bebanan kepada mereka, malah Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan, berkata pemandu teksi mengeluh mengenai keadaan selepas pengumuman Putrajaya tersebut.
"Kami ini pemandu teksi, hari-hari guna minyak. Bila minyak naik, kos penyelenggaraan juga naik hampir 30 ke 40 peratus.
"Barang keperluan harian, semuanya sudah naik," kata Amran ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengakui bahawa kerajaan akan cuba memasukkan GST dalam Bajet 2014, yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan, Oktober ini.
Malah, Najib dalam pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, turut menyatakan bahawa kerajaan akan cuba menstruktur semula sistem cukai negara dalam memastikan defisit perbelanjaan kerajaan dapat dikurangkan.
Najib berjanji untuk mengurangkan defisit sebanyak 4.5 peratus daripada KDNK, Malaysia antara negara yang mempunyai hutang tertinggi di Asia.
Agensi penarafan kredit dunia, Fitch Ratings turut meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif, serta mempersoalkan langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan terutamanya selepas berakhir pilihan raya baru-baru ini. - 24 September, 2013.

themalaysianinsider

Monday, September 23, 2013

Program Ziarah Penghargaan Warga Emas Di Jalan Kebun



JALAN KEBUN- Program Ziarah Penghargaan Warga Emas di Jalan Kebun mencatatkan jumlah tertinggi diantara kampung-kampung lain di bawah Dun Sri Muda . 44 warga emas akan diziarah YB Shuhaimi dan Ketua Kampung Hj Sallehan mengikut jadual yang ditetapkan setakat ini 15 rumah sudah diziarah.

Pengalaman di Jalan Kebun yang dilaksanakan hari ini amat manis dimana skuad Sri Muda dan YB Shuhaimi menziarah sebuah rumah di Lorong Haji Yusof dan bertemu dengan tuan empunya nama lorong tersebut yaitu Tuan Haji Yusof Bin Kasim berumur 86 tahun.

Nama lorong ini diberikan atas nama beliau kerana jasa dan faktor orang yang paling veteran di lorong tersebut.Tuan Haji Yusof serta isterinya menerima sedikit cenderahati tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada jasa beliau.

Sedikit kupasan sejarah jalan kebun dari pengalaman Tuan Hj Yusof, beliau merupakan nazir dan Ahli Jawatankuasa Masjid sejak tahun 1963 dimana masjid pertama yang diberi nama Masjid Jalan Kebun (masjid lama) yang didirikan ini adalah hasil dari usaha beliau dan teman-teman mengumpul dana kutipan dari warga kampung untuk mendirikan sebuah masjid.


Perasmian dibuat pada tahun 1964 dan ia dirasmikan oleh DYMM Sultan Salahuddin, oleh kerana kunjungan DYMM Tuanku ke Jalan Kebun untuk merasmikan masjid pertama itu maka pelbagai persiapan rapi dibuat sehinggakan terlaksananya jalan utama di kampung ini.

Rahmat daripada sebuah masjid akhirnya infrastuktur kampung ini mula progres dari masa ke semasa.

20 tahun kemudian jumlah penduduk Kampung Jalan Kebun mula berkembang dari aspek kuantiti penduduk justeru keluasan masjid harus dipertingkatkan agar memberi keselesaan kepada jemaah.Idea asal pembinaan masjid yang lebih luas ini adalah dari DYMM Tuanku Salahuddin sendiri kepada Tuan Hj Yusof dan teman-teman.


Maka Tuan Haji Yusof bersama Pegawai Daerah dan Ketua Kampung waktu itu (Tuan Hj Abdul Aziz) mengadap DYMM Tuanku di Istana Kayangan atas tujuan mulia ini.

Pembinaan bermula 1987 dan 1989 ia dirasmikan oleh Ketua Agama Negeri Selangor DYMM Tuanku Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Akhirnya Masjid yang lebih luas dan selesa buat jemaah Jalan Kebun terbina, nama masjid ini diberikan sendiri oleh Tn Hj Yusof yaitu Masjid An-Naim.

"saya beri nama masjid ini An-Naim, makna An-naim itu Nikmat" katanya

Program Ziarah Penghargaan Warga Emas di Jalan Kebun ini sedikit sebanyak pelbagai input ilmu sejarah diterima, Kerajaan Negeri Selangor tidak lupakan semua lapisan masyarakat dari usia bayi hingga ke warga emas semua dihargai.

"Jasa Tn Hj Yyusof ini amat besar hingga hari ini hasil usaha beliau dapat dinikmati generasi sekarang dan akan datang" kata Adun Sri Muda YB Shuhaimi Shafiei



-Mj



   

Hutang Dari Sisi Islam



Berikut sambungan ucaptama Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Al Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam seminar Maqasid Syariah, Isu-isu Kepenggunaan: Realiti dan Cabaran yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, kelmarin.

ii) Hutang dari perspektif Islam

Perspektif Islam berkenaan hutang dapat difahami dengan jelas jika kita merujuk hadis-hadis Rasulullah SAW. Antaranya hadis Rasulullah SAW bermaksud:
“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia)” (Riwayat Muslim, 6/28)

Di dalam satu lagi hadis Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, ALLAH akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamkannya dengan niat ingin merugikannya, ALLAH akan merugikannya” (Riwayat al-Bukhari, 2/83)

Islam juga melihat hutang sebagai sesuatu yang membahayakan individu dan umat Islam. Ini dapat dilihat dari doa yang diajar oleh Rasulullah SAW yang berbunyi:
“Ya ALLAH, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya: Mengapa tuan sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” (Riwayat al-Bukhari, 1/214)

Di dalam hadis lain pula Rasulullah SAW bersabda:
Ertinya: Ya ALLAH, aku berlindung dari kekufuran dan hutang. Mendengar itu seseorang bertanya, “Apakah tuan menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah?, “Benar,” jawab Rasulullah. (Riwayat an-Nasaie, 2/316, Ahmad, 3/38, al-Hakim berkata, sahih dan disepakati oleh az-Zahabi, menurut Albani: Dhaif)

Berhutang dari perspektif Islam adalah perkara yang tidak baik dan perlu dijauhi, kecuali dalam keadaan kesempitan yang amat sangat. Namun, sekarang kita dapati industri perbankan, termasuk sektor perbankan Islam, amat menggalakkan budaya berhutang. Akibat aktiviti mereka yang ingin berkembang, tahap hutang masyarakat menjadi bertambah.

iii) Peningkatan hutang isi rumah di Malaysia
Data menunjukkan tahap dan tren hutang isi rumah di Malaysia sedang meningkat dari setahun ke setahun. Menurut laporan Bank Negara, hutang isi rumah di negara kita telah meningkat selama 10 tahun berturut-turut pada kadar tahunan sebanyak 12.5 peratus pada Disember 2011. Nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar negara adalah 76.6 peratus.

Malah, hampir 50 peratus daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membiayai bebanan hutang. Berbanding negara lain, Malaysia mempunyai nisbah hutang isi rumah berbanding pendapatan bersih yang tertinggi.

Maka, tidak hairanlah jika fenomena permasalahan hutang akan meningkat dalam kalangan orang Islam walaupun mereka peka berkenaan isu halal dan haram. Meskipun sebenarnya hutang mereka adalah halal, namun ianya tetap hutang dan jika bertambah, bahayanya tidak jauh berbeza dengan keadaan hutang haram.

Jika masyarakat kita mempunyai sikap konsumerisme yang tinggi, ia akan lebih mudah bagi sektor perbankan Islam mencapai strategi perniagaan untuk menambah jumlah masyarakat yang berhutang. Ini sudah tentu bertentangan dengan matlamat dakwah dan tarbiah Islam.

iv) Fenomena kahwin lambat
Perkahwinan adalah antara aspek yang melibatkan kebendaan dan kepenggunaan. Soalnya, fenomena kahwin lambat ini berlaku kerana maqasid syariah yang sewajarnya tidak diutamakan.

Disebabkan terikut-ikut dengan budaya semasa dan sikap bermegah dalam mengatur majlis perkahwinan menyebabkan kos majlis menjadi terlalu mahal dan membebankan.

Ini termasuklah nilai hantaran yang melambung tinggi dan belanja perkahwinan yang melampaui kadar munasabah menyebabkan maqasid syariah untuk mencapai tujuan perkahwinan itu disyariatkan tidak tercapai. Sebagai jalan mudah untuk keluar dari masalah ini ialah dengan berhutang.

Antara faktor utama menyumbang kepada kahwin lambat ialah kestabilan. Selain itu, faktor kepentingan kerjaya yang berkait rapat dengan kebendaan turut mempengaruhi kahwin lewat. Sementara itu, 30 peratus daripada mereka yang belum berkahwin berpendapat kerjaya adalah segala-galanya.

Sedangkan dalam tuntutan perkahwinan, antara maqasid syariah yang dapat dikenal pasti ialah untuk mengelakkan gejala sosial selain membina zuriat Muslim bagi kelangsungan umat. Jika kahwin lambat jadi tren, pasti sukar memenuhi tujuan syarak tentang perkahwinan.

Cabaran mewujudkan halal living menuntut komitmen besar semua pihak dan  perkara penting  yang perlu diberi perhatian dalam usaha mewujudkan halal living:
l    Menyempurnakan misi kehambaan dan kekhalifahan sepanjang aktiviti kepenggunaan.
l    Menjadikan aktiviti kepenggunaan sehari-hari sebagai ibadah.
l    Memanfaatkan sumber kepenggunaan sebaik mungkin.
l    Menjalani gaya hidup sihat berdasarkan tingkat keperluan dan kemampuan.
l    Mengutamakan matlamat kepenggunaan jangka panjang berbanding jangka pendek.
l    Menggiatkan promosi halal living melalui proses bimbingan dan pendidikan.
l    Menggubal undang-undang mesra pengguna.
l    Menguatkuasakan akta dan undang-undang sedia ada.

Rumusan dan Kesimpulan

a.    Di peringkat pengguna: Pengguna berhak diberi perlindungan berikut:-
l    Melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan dan keselamatan.
l    Melindungi kepentingan ekonomi pengguna.
l    Menyalurkan maklumat dan penerangan yang mencukupi agar pengguna dapat buat keputusan secara bertanggungjawab.
l    Memperoleh ganti rugi yang murah, efektif dan cepat.
l    Mendidik pengguna secara meluas dalam isu kepenggunaan.
l    Memelihara alam sekeliling pengguna
l    Memberi kebebasan dan kesejahteraan kepada pengguna.

b.    Di peringkat agensi:
l    Penguatkuasaan undang-undang sedia ada dan pemantauan ketat Bank Negara terhadap institusi kewangan dalam soal pemberian pinjaman.
l    Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) harus berperanan lebih agresif dalam meningkatkan khidmat nasihat kewangan dan bantuan penstrukturan semula hutang dalam usaha menggalakkan pengurusan kewangan berhemat dan meningkatkan tahap celik kewangan.
l    AKPK juga perlu meneruskan usaha menganjurkan taklimat dan pameran di seluruh negara bagi pelbagai kumpulan sasar.
l    AKPK perlu lebih dinamik dalam memberikan kaunseling kewangan kepada individu dan membantu penstrukturan bayaran balik hutang melalui Program Pengurusan Hutang.

c.    Lain-lainnya:
l    Usaha perlu digiatkan untuk mendidik rakyat, umat Islam, khususnya untuk memiliki ilmu perancangan kewangan peribadi.
l    Peranan sistem perbankan dalam ekonomi perlu diteruskan dengan urus tadbir yang baik, amalan pengurusan risiko yang berkesan dan pembiayaan yang bertanggungjawab untuk memastikan sistem ekonomi negara keseluruhannya teguh dan mampan.

Sebagai kesimpulan, kami ingin menyebutkan langkah utama ke arah memperkasakan masyarakat Islam dalam bidang ekonomi tidak seharusnya dilihat semata-mata dengan memperkukuhkan sektor perbankan Islam. Sebaliknya, kita juga harus menekankan aspek untuk merubah nilai masyarakat Islam supaya tidak terlampau mengejar kebendaan tetapi mengejar kejayaan akhirat dengan menambahkan ketakwaan mereka.

sinarharian

Hutang Isi Rumah Rakyat Malaysia Mengundang Padah


SHAH ALAM - Jumlah hutang isi rumah sebanyak 75.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal pada akhir Julai 2012 merupakan fakta yang membimbangkan.

Menurut Setiausaha Penasihat Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Mohd Nazri Bin Chik, sehingga Mac 2013, angka tersebut meningkat kepada 82.9 peratus dan merupakan yang tertinggi di rantau ini.

Beliau berkata, pinjaman terkumpul bagi pembelian harta kediaman dan kenderaan iaitu 64 peratus adalah bahagian terbesar pinjaman isi rumah.

"Peratusan ini menunjukkan kesan pembiayaan peribadi dalam menggiatkan industri perumahan dan automobil negara dengan membolehkan individu membeli rumah dan kenderaan," kata beliau sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk "Pembiayaan Peribadi Oleh Perbankan dan Kesannya KEpada Kuasa Beli Pengguna" di Seminar Kebangsaan Maqasid Syariah 2013 anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dekat sini, semalam.

Menurut beliau juga, penggunaan kad kredit kekal tinggi dengan urus niaga meningkat 6.7 peratus kepada RM53.6 billion (Januari hingga Julai 2011: 11.8 peratus, RM50.3 billion).

Jumlah baki tertunggak kad kredit adalah sebanyak RM32.9 billion (akhir tahun 2011: RM33.4 billion).

"Perbelanjaan kad kredit mewakili 3.1 peratus daripada jumlah pinjaman terkumpul sistem perbankan dan 5.6 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah pada akhir Julai 2012.

Jumlah pinjaman tidak berbayar bagi hutang kad kredit berkurang sebanyak RM491 juta dan nisbah pinjaman terjejas bertambah baik kepada 1.5 peratus daripada jumlah pinjaman terkumpul sistem perbankan pada akhir Juli 2012 (akhir tahun 2011: RM528 juta, 1.6 peratus.

Didik rakyat

Munurut Nazri, tiada statistik dan data khusus tentang tujuan pengambilan pembiayaan peribadi oleh pelanggan dalam sistem perbankan.

"Banyak kesan negatif dalam ekonomi apabila sekelopok rakyat gagal menguruskan perancangan kewangan individu termasuk memiliki timbunan hutang yang berlebihan," katanya.

Bagaimanapun katanya, sistem perbankan dengan kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) telah memainkan peranannya dalam membantu menggiatkan aktviti ekonomi negra melalui pendanaan dan pembiayaan bersumberkan dana daripada unit-unit lebihan dalam sektor ekonomi negara.

Beliau menyarankan agar usaha digiatkan untuk mendidik rakyat, umat Islam khususnya untuk memiliki ilmu perancangan kewangan peribadi.

"Umat Islam khususnya, perlu dididik untuk berurusan dengan sistem perbankan Islam  jika memerlukan kemudahan perbankan.

"Peranan sistem perbankan dalam ekonomi perlu diteruskan dengan urus tadbir yang baik, amalan pengurusan risiko yang berkesan dan pembiayaan yang bertanggungjawab untuk memastikan sistem ekonomi negara keseluruhannya teguh dan mampan dalam menempuh persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar," katanya.

Antara pembentang kertas kerja ialah Pengarah Eksekutif, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (Isra), Prof Madya Dr Mohamad Akram Laldin;  Pengerusi Pembangunan Sosial Ikram, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj; Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan Pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya (UM) Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail.

Harakahdily

Sunday, September 22, 2013

Perjanjian Damai Haadyai 1989 Tidak Diendahkan


Larang abu Chin Peng jadikan kita bahan ketawa, kata bekas KPN.
Bekas ketua polis memberi amaran Malaysia akan menjadi bahan ketawa jika kerajaan tidak berganjak daripada keputusan `naif’ dengan enggan membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke dalam negara untuk ditanam.

Bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Mohd Noor, berkata tindakan itu juga akan menyebabkan bekas pemimpin komunis itu bertukar menjadi ikon dan ia adalah langkah terkebelakang dalam cubaan kerajaan untuk memenangi semula sokongan masyarakat Cina berikutan prestasi buruk dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Masyarakat heboh mengenai abunya tidak dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia. Pertelingkahan ini berlanjutan keterlaluan. Saya fikir ia sedikit naïf.

“Jika kerajaan tunduk kepada tekanan awam untuk tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik, saya fikir, kita akan membuat Malaysia ditertawakan oleh seluruh dunia,” katanya ketika ditemubual dari United Kingdom yang disiarkan BFM semalam.

Abdul Rahim, yang juga pengarah Cawangan Khas pada masa itu, mengetuai rundingan damai yang akhirnya mencetuskan Perjanjian Damai Haadyai 1989 – yang mengakhirkan secara rasmi pertempuran ahli Parti Komunis Malaya (PKM) yang bersenjata dengan kerajaan..

Penolakan untuk membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini ketika beliau masih hidup, katanya, juga seperti mengejek dan memperolok-olokkan perjanjian damai itu.

Katanya, beliau pada masa itu meyakinkan kerajaan untuk berbincang dengan komunis, lebih 30 tahun selepas kegagalan rundingan Baling pada 1955.

Beliau berkata, walaupun Darurat 12 tahun tamat pada 1960, pasukan keselamatan masih bertempur dengan sisa komunis pada 1980-an, tetapi penolakan terhadap komunisme dalam kawasan adalah peluang untuk memperbaharui rundingan damai.

Pada masa itu, katanya, masih ada kira-kira 2,000 komunis sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, dengan dua kumpulan terbesar ialah Biro Malaya Utara dan Rejimen ke-10 yang sebahagian besarnya ialah orang Melayu.

Beliau berkata, dengan sokongan perdana menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Cawangan Khas secara rahsia mengadakan rundingan dengan komunis pada penghujung 1987 dan awal 1988 di pulau Phuket yang bertahan untuk lima pusingan.

Hasilnya, perjanjian damai 1989 ditandatangani di Haadyai merangkumi dua persetujuan, satu mengandungi dua terma utama dan satu lagi butiran pentadbiran mengenai bagaimana terma berkenaan akan dilaksanakan.

“Saya terbabit dalam merangka kedua-dua persetujuan, jadi saya mempunyai pengetahuan penuh bahawa mengikut terma persetujuan itu, semua perjanjian itu mengikat setiap ahli PKR, daripada yang tertinggi, paling utama hingga ke bawah, paling bawah.

“Jadi jika anda kata Chin Peng, sebagai setiausaha agung parti itu adalah ahli paling tinggi, maka dia layak mendapat semua kelebihan seperti dijanjikan dalam perjanjian itu, yang termasuk membenarkan beliau untuk kembali ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, menurut perjanjian itu, dalam keadaan di mana bekas ahli komunis itu tidak dibenarkan secara tetap pulang ke Malaysia, mereka patut dibenarkan memasuki negara atas kebenaran lawatan sosial.

“Tetapi dalam kes Chin Peng, dia tidka dibenarkan kedua-duanya. Pada saya, ia tidak masuk akal. Ia tidka adil. Ada bekas komunis lain yang dibenarkan untuk balik dan mereka kebanyakannya Melayu,” katanya.

“Abdullah CD (pengerusi PKM) dibenarkan balik ke Malaysia dan diberi pengampunan oleh Sultan Perak. Rashid Maidin (ahli jawatankuasa pusat PKM), saya diberitahu menunaikan haji menerusi Kuala Lumpur dengan bantuan pihak berkuasa Malaysia. Apa semua ini?,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak bersedia untuk mengandaikan bahawa keputusan kerajaan itu ada kaitan dengan perkauman dan pada pendapatnya dalam isu Chin Peng, kerajaan tidak menghormati perjanjian damai itu.

Beliau berkata, masyarakat nampaknya tidak faham konteks perjuangan komunis antarabangsa dan menganggap pemberontakan 40 tahun komunis di Malaya adalah pergaduhan Chin Peng seorang dri dan hanya dia seorang yang mengarahkan semua tembakan dan pembunuhan.

“Saya tidak tahu mengapa ia jadi seperti ini (Chin Peng lawan kerajaan). Hakikatnya ialah baik atau buruk – apa pun Chin Peng itu, latar belakangnya ialah perjanjian damai sudah ditandatangani. Kita patut menghormati terma dan syaratnya,” katanya.

Chin Peng menghabiskan sepertiga hidupnya dalam buangan di Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata, kerajaan tidak akan menarik diri daripada pendiriannya untuk menghalang abu mayat Ching Peng dibawa balik dan mencabar mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu untuk mengambil langkah undang-undang.

Semua pintu masuk ke dalam negara berada dalam keadaan berjaga-jaga, kerana kerajaan bimbang abunya dibawa masuk.

Semalam, parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA juga melahirkan pendapat bahawa mayat Ching patut dibenarkan pulang ke sini untuk kali terakhir.

Pengerusi biro parti, Datuk Heng Seai Kie berkata, mayat pengganas Dr Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top dibenarkan untuk dikebumikan di Malaysia.

Kumpulan hak Melayu, Perkasa, bagaimanapun, memberi amaran kepada MCA supaya parti itu jangan menimbulkan kemarahan orang Melayu dengan mendesak Putrajaya membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke sini.

Setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali, berkata ramai orang Melayu dan Cina mati dai tangan komunis yang diketuai Chin Peng ketika pemberontakan.

Chin Peng atau nama sebenarnya, Ong Boon Hua, meninggal dunia di hospital di Bangkok pada Hari Malaysia, sebulan sebelum hari lahirnya yang ke-89. Beliau ketika hayatnya berulang kali menyuarakan hasratnya untuk dikebumikan di kampungnya di Sitiawan, Perak.

Chin Peng lari ke China pada 1961 dan kemudian tinggal di Bangkok di mana dia diberikan pasport asing.

Beliau dilaporkan berpindah ke Haadyai beberapa tahun lalu dan berulang alik dari Haadyai ke Bangkok untuk mendapatkan rawatan penyakit barah.

Beliau dilantik sebagai setiausaha agung PKM pada usia 23 tahun dan menjadi “musuh nombor satu” British di Asia Tenggara ketika pemberontakan komunis di Malaya. -TMI


MC

Media Arus Perdana Tiada Kebebasan Untuk Menulis


SUBANG JAYA - Beberapa saksi yang tampil pada prosiding Tribunal Rakyat hari ini turut memberi keterangan berkisar sikap media khususnya media arus perdana pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

Antaranya, Pegawai Eksekutif Pusat Wartawan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah membentangkan kajian berhubung beberapa isu yang terpaksa dihadapi wartawan dan editor semasa pilihan raya.

Katanya, kebanyakan wartawan yang bekerja di media arus perdana tidak diberi kebebasan untuk menulis rencana negatif berhubung Umno BN.

Selain beliau, seorang lagi saksi, Profesor Zaharom Nain pula mendakwa, liputan berita oleh media arus perdana pada PRU13 lalu bersifat bias kepada BN berbanding portal online yamg lebih seimbang.

Sementara itu, ahli akademik dari Universiti Malaya Profesor Edmund Terence Gomez pula mendakwa tempoh 10 minit yang diberikan kerajaan kepada parti politik untuk membentangkan manifesto di televisyen sebagai sesuatu tindakan tidak adil.

Beliau yang bercakap melalui satu rakaman video berkata, adalah sesuatu yang mustahil bagi parti politik bertanding untuk meyakinkan orang ramai tentang tawaran manifesto pilihan raya mereka dalam tempoh singkat.

“Tidak adil cadangan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang hanya membenarkan tempoh 10 minit kepada parti politik untuk membentangkan manifesto mereka.

“Mesej yang ingin disampaikan sudah pasti tidak dapat difahami dan dihayati rakyat dalam tempoh singkat itu,” katanya seperti dilapor Selangorku.

Selain itu, katanya, pengedaran risalah berkaitan sesebuah parti politik juga tidak wajar dilakukan semasa berkempen kerana ia akan menindas pihak lawan yang lebih lemah.

Harakahdaily

Saturday, September 21, 2013

Nafas Baru Reformasi


“Tiada sesiapa pun yang benar-benar mengenali sebuah negara itu sehinggalah dia pernah berada di dalam penjaranya. Sesebuah negara itu tidak wajar diadili dengan cara layanan kepada warga atasannya tetapi layanannya kepada warga bawahannya.” (Nelson Mandela)
Ketika remaja, saya sering menyelak helaian koleksi keratan akhbar lama milik abah. Salah satunya yang sering diingati ialah helaian akhbar tahun 1982 mengenai seorang personaliti bernama Anwar Ibrahim yang diumumkan bakal menyertai Umno.
Majoriti kalangan sahabat terdekat dan pengikut Anwar ketika itu, melihat beliau sebagai harapan mereka; susuk pemimpin masa hadapan yang mampu memberikan cabaran besar kepada kerajaan. Maka, tindakan beliau menyertai Umno tidak diterima umum; termasuklah Emak, yang merupakan seorang ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM).
Tahun 1996, sewaktu Anwar membentangkan bajet di Parlimen – suatu acara tahunan ditunggu-tunggu, kerana sinonimnya dengan Anwar memperkenalkan perkataan baru – kelihatan terdapat tanda-tanda di wajahnya. Emak berseloroh, “ Baru nak matang lah tu…” Mungkin, perasaan tidak puas hati masih kekal sehingga saat itu.
Tidak lama kemudian berlakulah krisis kewangan yang menggoncang ekonomi Asia Tenggara, tatkala Anwar berada di puncak kerjayanya di dalam kerajaan sehingga memangku jawatan Perdana Menteri.
Dalam era yang sama, akhbar melaporkan usaha beliau menentang kronisme dan rasuah. Emak dan Abah menyatakan firasat mereka bahawa Anwar akan ‘kena’ tidak lama lagi. Saya tidak dapat menangkap maksud mereka sehinggalah berlaku peristiwa 2 September 1998.
Detik demi detik peristiwa itu saya saksikan di kaca televisyen dari kampus di selatan tanah air. Saat itu tidak dapat dilupakan; terduduk keliru cuba menenangkan fikiran dan memahami kekacauan yang sedang berlaku.
Sejak itu, laporan berita dan perkembangan kes tuduhan Anwar menjadi urusan harian. Kata-kata masyhurnya: “Ini adalah konspirasi dan fitnah jahat untuk membunuh karier politik saya” bergema di dalam minda setiap hari.
Kemuncaknya ialah pada hari bersejarah, Ahad, 20 September 1998, di mana demonstrasi terbesar dalam sejarah Malaysia berlaku di Dataran Mereka, di bawah lembayung Reformasi.
Rakyat yang berkumpul di Masjid Negara untuk mendengar ucapan Reformasi oleh Anwar, berarak ke Dataran Merdeka untuk ucapan seterusnya, beralih ke Jalan Raja Laut dan akhirnya menamatkan perarakan di persimpangan jalan menuju Parlimen. Di situ juga gas pemedih mata telah dilepaskan.
Keyakinan rakyat
Ketika itu, saya menyaksikan sendiri tenaga dan keyakinan rakyat dalam perhimpunan itu yang boleh disamakan dengan negara jiran kita. Hanya lima bulan sebelum itu, rakyat Indonesia menjatuhkan Presiden Soeharto.
Malaysia tidak pernah menyaksikan manifestasi ketegasan yang sebegini. Tetapi perkara penting yang perlu diakui ialah ia bukan kerana Anwar. Reformasi ialah satu gerakan massa menentang kezaliman. Jika ia mampu dan boleh bertindak kejam kepada nombor dua paling berkuasa, bagaimanakah pula nasib rakyat biasa?
Ramai personaliti lain juga turut ditangkap di bawah undang-undang zalim ISA selepas itu. Melihatkan ketidakadilan yang berleluasa, Allahyarham Fadzil Noor kemudiannya mengetuai GERAK yang terdiri daripada pakatan parti politik dan NGO. Antara aktiviti awal GERAK ialah mengadakan protes besar-besaran untuk membebaskan Anwar.
Gerakan Reformasi yang asalnya tertubuh khas untuk membebaskan Anwar, kemudiannya memperolehi momentum dan berevolusi menjadi satu gerakan kerakyatan menentang ketidakadilan.
Reformasi terus bergerak menjadi sesuatu yang lebih besar, daripada pelbagai sudut. Salah satu perubahan yang berlaku ialah, penyatuan kesemua parti-parti pembangkang, NGO dan gerakan-gerakan Islam sebagai suatu penyatuan yang jitu dan tidak dapat diketepikan.
Sebuah perpaduan, yang impaknya tidak pernah disaksikan sebelum ini. Kendatipun wujud perbezaan-perbezaan yang ketara, parti-parti pembangkang menyedari wujudnya nilai-nilai bersama yang dijunjung bersama yakni keadilan dan kebebasan. Perjuangan ini dipegang sepenuh keringat dan diperjuangkan sepenuh jiwa.
Kesedaran ini berkuasa menyatukan dan mengubah senario politik dan wajah Malaysia secara umum. Lantaran itu, pejuang-pejuang rakyat daripada PRM, ABIM, JIM dan mereka yang meninggalkan Umno membentuk ADIL, sebuah NGO yang kemudiannya menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kita kenali sekarang.
Lantaran itu, kita disedarkan betapa luas, dalam dan melampaunya struktur kuasa dan pengaruh kerajaan dalam mengawal kuasa polis negara, media massa dan keseluruhan sistem kehakiman negara.
Malam himpunan bersejarah itu, sepasukan komando bertopeng menyerbu kediaman peribadi Anwar dan secara kasarnya menahan beliau. Sembilan hari kemudian, beliau pertama kali muncul dengan mata lebam ditumbuk. Detik gelap sebuah negara bangsa, Malaysia menyaksikan terbunuhnya demokrasi.
Apa yang berlaku selepas itu bukan lagi rahsia, secara kolektif masyarakat mengetahui dan mengikuti butir perbicaraan dengan minat mendalam. Anwar diletakkan dalam perbicaraan yang penuh kontroversi – baik daripada segi intepretasi undang-undang mahupun keadilan moral – disabitkan bersalah, dan dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun.
Bagaimana seorang yang pernah menjadi orang nombor dua di Malaysia, dipenjarakan dalam sebuah perbicaraan yang penuh kontroversi, dibelasah dengan ganas, diraduk emosi dan mentalnya tanpa peri kemanusiaan? Anwar Ibrahim menjadi “prisoner of conscience” Malaysia yang paling kontroversi.
Falsafah kehidupan
Reformasi menghembuskan nafas baru ke dalam golongan muda Malaysia era 1990-an, ketika semangat belia dan aktivisma telah dilemahkan oleh falsafah kehidupan golongan muda yang berpandukan kekayaan material dan hedonism.
Idealisme golongan muda sebelum reformasi bertentangan dengan golongan muda era 70-an, dengan idealisme perjuangan pro-miskin pro-rakyat mereka, yang digerakkan oleh budaya intelektual, selari dengan semangat merdeka, dan sesuai dengan nilai-nilai sebuah negara bangsa yang baru meraih kemerdekaan.
Reformasi menjadi sebuah gerakan awam yang digerakkan oleh rakyat daripada pelbagai latar belakang kehidupan, aspirasi rakyat yang lahir dengan tiba-tiba, jujur dan mendesak. Reformasi masih kekal begitu; milik semua orang, sama ada yang berkecimpung dalam politik atau tidak, sama ada muda atau tua.
Lima belas tahun kemudian, rakyat Malaysia kini boleh dianggap telah mengalami suatu proses kematangan politik yang luar biasa dengan menyaksikan peristiwa Anwar dan Reformasi.
Kita mewarisi sebuah negara, Malaysia yang sarat dengan kepelbagaian realiti untuk dihadapi; sistem pilihanraya yang tidak adil, masyarakat plural yang begitu sensitif dengan identiti perkauman sempit, kerajaan yang mempunyai kawalan melampau dalam aspek ekonomi, kehakiman dan sosial sebuah negara, tahap kehidupan yang tidak seimbang secara demografiknya, di antara banyak hal lain.
Bukan mudah untuk mengubah status quo, mahupun sistem yang tertanam dan telah diamalkan selama 50 tahun. Sukar, tetapi bukan mustahil.

Sang pencetus Reformasi
Gerakan Reformasi sebenarnya dilahirkan melalui pergelutan ramai personaliti politik, bukan sahaja Anwar. Tanpa mereka Reformasi tidak mungkin menjadi kenyataan.
Namun, terlalu ramai yang perlu diiktiraf sehingga penulis tidak mampu menyenaraikannya tanpa meletakkan keadilan dalam risiko. Walaupun mungkin ramai yang akan mencapai kesimpulan mudah itu, artikel ini bukan tentang Anwar. Artikel ini tentang sang pencetus Reformasi.
Sebagai seorang pemimpin pelajar yang tersohor ketika zaman kuliahnya di UM, Anwar kemudiannya bersama-sama menubuhkan salah satu organisasi masyarakat sivil terawal di penghujung 1970-an di Malaysia, dikenali sebagai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Kecenderungannya untuk mengangkat kepentingan orang miskin dan terabai, serta kelantangan beliau mengkritik kerajaan menyebabkan beliau dipenjara 20 bulan di bawah ISA selepas peristiwa Baling 1974.
Pasca Revolusi Islam Iran 1979, Malaysia turut merasakan bahang daripada kebangkitan gerakan-gerakan Islam di peringkat global. Kita menyaksikan buat kali pertamanya kebangkitan sebuah organisasi masyarakat sivil berasaskan Islam.
Situasi itu menjadi bonus kepada PAS, yang ketika itu sedang menyambut kepulangan gelombang besar golongan profesional muda berpendidikan luar negara yang menyuntik dinamisme baru dalam parti terbabit.
Profil parti di kalangan pengamal undang-undang, para doktor, jurutera dan ahli ekonomi yang menerima pendidikan di barat meningkat, lantas menjadi salah satu pencabar utama kepada hegemoni politik Umno.
Anwar dilihat sebagai penyelesaian terbaik dan bakal waris kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Umno ketika itu; seorang lelaki yang dilihat dan dikenali kerana prinsip Islam yang dipegangnya, digabungkan pula dengan kesarjanaan dan kepetahan beliau dalam disiplin pemikiran dan falsafah oksidental.
Anwar bakal menjadi figura politik yang cukup berpengaruh, mendaki tangga politik sehingga memegang antara jawatan paling penting dalam negara; sebagai menteri kewangan dan seterusnya timbalan perdana menteri.
Dikenali dengan sifat tidak pernah beralah terhadap tekanan korupsi dan sifat tiada tolak ansur kepada kronism, beliau mempunyai kerjaya politik yang tidak mudah untuk ditumbangkan.
Pada bulan September yang malang itu, musibah besar menghentam jatuh ke atasnya dalam sebuah saga politik dan ekonomi yang selamanya merobek sejarah politik Malaysia.
Namun bukanlah semuanya punah dan sia-sia. Seperti yang pernah diungkapkan oleh seorang pemimpin waktu itu, untuk membersihkan air kumbahan, hampir mustahil jika kita berenang di dalamnya; pembersihan hanya boleh dilakukan dari luar. Anwar barangkali perlu belajar hal itu. Sebuah proses pembelajaran yang tentu sekali cukup pahit untuk beliau.
Zaman baru Reformasi
November 1999, Malaysia menyaksikan penyatuan kuasa pembangkang menuju ke Pilihanraya Umum Ke-10 yang dikenali sebagai Barisan Alternatif. Untuk pertama kali dalam sejarah, barisan pembangkang memperolehi undi majoriti Melayu setinggi 54%.
Rekod itu tidak pernah dicabar sehingga hari ini. Barisan Nasional diselamatkan oleh undi orang Cina dan India, yang mungkin ketika itu tidak bersedia secara politik dan ekonomi untuk mencabar status quo secara serius.
Menjelang 2004, Barisan Nasional (BN) mengubah kembali senario dengan sebuah kemenangan besar. Proses persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dipersoalkan telah membolehkan BN memenangi 24 daripada 25 kerusi baru, serta lebih daripada 90% kerusi parlimen.
Persaraan Tun Mahathir, yang mulai diterima secara besar-besaran waktu itu, juga menarik sokongan baru kepada Umno dan BN. Ketika itu saya merasakan harapan menjadi gelap gelita dan seolah-olah perubahan telah menjadi mustahil.
Era sebelum Pilihanraya Umum 2008 menyaksikan perubahan mendadak. Pengenalan kepada dasar berdasarkan-keperluan (needs-based) juga menarik perhatian baru, terutamanya di kalangan bukan-bumiputera.
Dasar itu bukan sekadar usaha untuk meraih undi, malah kewujudannya memang kena pada waktunya, memandangkan ketidakadilan menyeluruh yang timbul daripada polisi-polisi pilih kasih, ketirisan dan penyalahgunaan sumber yang berdekad lamanya di bawah pemerintahan BN.
Anwar juga sudah bebas, dan mula berusaha gigih menyatukan pelbagai parti demi membentuk satu pakatan pembangkang yang menggerunkan, dan suara mereka perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
Menuju Pilihanraya 2008, gelombang perubahan dirasakan lebih awal. Malah, saya mengambil cuti tanpa gaji demi untuk pulang ke tanah air ketika tempoh berkempen dan mengundi, daripada tugasan di luar negara.
Pakatan pembangkang memenangi lima buah negeri dan membentuk Pakatan Rakyat yang mengandungi PKR, PAS dan DAP. Seruan untuk perubahan mula menunjukkan taringnya, raungan rakyat bergema daripada pelbagai latar belakang. Tsunami politik telah berlaku.
Kejayaan menjatuhkan kedudukan selesa majoriti dua-pertiga parlimen yang dipegang oleh parti pemerintah sedia ada bukanlah suatu kejayaan mudah. Peristiwa ini memaksa kerajaan melancarkan pelbagai usaha “transformasi” sebagai sebahagian usaha untuk mengekalkan pemerintahan.
Justeru, kita memasuki satu tahap kemajuan yang bakal menyaksikan pelbagai perubahan dengan “kemungkinan tanpa sempadan”. Ya, memang kita sedang membina lebih banyak lebuhraya dan landasan keretapi. Tetapi yang masih kurang sebenarnya ialah transformasi politik, dan transformasi nilai-nilai asas yang lebih halus, serta falsafah kita sebagai sebuah masyarakat Malaysia.
Masa yang sama juga memberikan barisan pembangkang masa untuk menyusun kembali dan mengatasi perbezaan antara mereka. Bekerjasama secara produktif membentuk satu pakatan dengan pelan pembangunnya yang menyeluruh unik, manifestonya yang menjaga kebajikan rakyat dan cadangan bajetnya yang tersendiri.
Buat pertama kalinya, rakyat Malaysia punya alternatif untuk membandingkan secara kritis dokumen-dokumen pembangunan dan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan.
Ke arah Reformasi era baru
Pasca Pilihanraya Umum ke 13 dalam langkah-langkah kita menuju ke masa hadapan bersama-sama, kita bertanya sekali lagi, ke manakah arah tuju kita selepas ini?
Secara semulajadinya, kita terdorong juga kepada bertanyakan, sama ada Anwar perlu membuka jalan kepada barisan pelapis mengagumkan terdiri daripada personaliti yang muda dan lebih segar dalam PKR dan Pakatan Rakyat, yang nyata sudah pun mempunyai kelompok penyokong tegar mereka sendiri.
Adakah jalan ke hadapan kini ialah sebuah era baru pasca-Anwar Ibrahim, yang bergerak ke arah penginstitusian dan pemerkasaan sistem politik di peringkat akar umbi?
Struktur yang lebih baik akan membenarkan pembangunan semulajadi kelompok bakat dan kepimpinan, namun adakah struktur yang utuh sahaja sudah mencukupi?
Sejarah membuktikan bahawa pemimpin yang hebat akan menjadi sumber utama perpaduan yang dapat membawa kepada gelombang perubahan yang mampu menggegarkan institusi atau sistem sedia ada.
Hanya kepimpinan yang disegani dan kukuhlah yang mungkin mampu mengubah undi orang Melayu seperti yang berlaku pada tahun 1999, menafikan majoriti dua-pertiga parlimen untuk kerajaan pada tahun 2008, dan merubah mandat 52% kepada Pakatan pada 2013.
Anwar juga pada hari ini ialah seorang personaliti yang berbeza. Daripada seorang pemimpin mahasiswa muda popular, kepada pemimpin Islamik berkarisma yang disanjung tinggi, seterusnya mendaki tangga politik sehingga jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, beliau turut pernah dipenjarakan, dipukul dan dihina.
Luka Anwar tidak mungkin hanya terhad kepada tubuh fizikal. Kebijaksanaan dan kematangan beliau hari ini tidak mungkin hadir tanpa darah, peluh dan air mata.
Dua pilihanraya umum telah pun berlaku selepas pembebasannya dan Anwar masih memegang janjinya. Beliau melangkah ke tepi untuk memberi kepada perkembangan politik PKR.
Tetapi hanya ada satu cara untuk menuntut semula Reformasi sehingga menjadi realiti; iaitu dengan beliau menaiki tangga jawatan presiden parti PKR itu sendiri, untuk membawakan perubahan yang beliau sendiri telah nyalakan dan marakkan untuk negara ini lima belas tahun lepas.
Masanya telah tiba untuk beliau sekali lagi berdiri berani berhadapan dengan cabaran, memastikan dipilih secara demokratik dan bangkit semula dengan gah sebagai Presiden PKR. Penyatuan dan pembaharuan ini adalah harapan Rakyat Malaysia, untuk beliau melaksanakan visinya untuk Malaysia, terutama buat khalayak muda dan pelapisnya.
Anwar Ibrahim ialah pencetus Reformasi. Kini, beliau perlu menghembuskan nafas baru kepada Reformasi kita. Reformasi milik Rakyat.

fmt

Friday, September 20, 2013

Centre For Reform


KUALA LUMPUR 20 SEPTEMBER: KEADILAN hari ini akan melancarkan sebuah pusat latihan dinamakan ‘Dewan Reformasi, Demokrasi dan Upaya Masyarakat’ (Centre for Reform, Democracy and Social Initiatives) atau dikenali sebagai Reformasi.
Majlis pelancaran yang berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya 3 petang ini akan disempurnakan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden merupakan Pengarah pusat latihan ini dan Pengarah Eksekutif pula adalah Dr Edmund Santhara.
Rakyat bangkit menentang kezaliman yang dilakukan terhadap Anwar.
Rakyat bangkit menentang kezaliman yang dilakukan terhadap Anwar.
15 tahun lalu pada tarikh yang sama seperti hari ini, muncul sebuah gerakan kesedaran anak muda yang tercetus dari pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, atas konspirasi peringkat tertinggi.
Tanggal 20 September 1998 mencatatkan detik hitam dalam sejarah Malaysia apabila Anwar ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Rakyat bangkit menentang kezaliman yang dilakukan terhadap beliau.Bermula tarikh itu juga, kesedaran dan minat rakyat terhadap politik tanah air meningkat, demi mempertahan pemimpin yang menentang korupsi dan kronisme di saat rakyat menderita akibat krisis kewangan.
Misi Anwar jelas, untuk menyelamatkan Malaysia dari kerakusan pemimpin korup Umno yang berterusan menggunakan wang rakyat secara boros, di samping hanya mengaut keuntungan dari projek mega.
Sebelum penangkapan berlaku, Anwar telah menjelajah ke serata Semenanjung diselangi solat hajat di seluruh negara.
Enam tahun kemudian, pada 2 September 2004, Anwar dibebaskan selepas pertuduhan fitnah terhadapnya digugurkan, lantas beliau bangkit semula ke persada politik tanah air.
Tahun 2008, Pakatan Rakyat yang diterajui Anwar berjaya merampas lima negeri dari Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-12.
Kelibat pemimpin berjiwa rakyat ini sentiasa menjadi ketakutan kepada pemimpin Umno, tidak cukup dengan Dr Mahathir Mohamad, kini Datuk Seri Najib Razak juga sering mengatur ancaman dan provokasi terhadap Anwar.
Namun pada Julai 2008, selepas beberapa bulan Pakatan Rakyat yang diterajui memenangi lima negeri dari BN – Anwar dituduh lagi dengan fitnah jahat.
Skrip yang sama pada 1998 diputar kembali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengulangi apa yang pernah dilakukan
Mahathir.
Perbicaraan di mahkamah menjadi jenaka di peringkat antarabangsa dengan pelbagai kepincangan terbongkar satu demi satu, dan akhirnya mahkamah melepaskan Anwar dari tuduhan itu.
Semuanya kerana agenda reformasi yang dibawa Anwar sejak 14 tahun lalu, dengan dokongan dan doa jutaan rakyat Malaysia yang berada di belakangnya, teriakan reformasi, sejak 14 tahun lalu, sebenarnya tidak pernah mati.

keadilandaily

Thursday, September 19, 2013

Program Ziarah Penghargaan Warga Emas Di Kg Baru Hicom




Kg Baru Hicom- 9.30 pagi bermula di Lot 144 Jalan Bunga Tanjung 5 Kampung Baru Hicom dan tamat jam 12.30 tengah hari skuad Sri Muda dan YB Shuhaimi Shafie berjaya menziarah 10 buah rumah sempena Program Ziarah Penghargaan Warga Emas.

Ketua Kampung Imam Kamal juga turut bersama menziarah 4 buah rumah di Kg Baru Hicom  kemudian terus menjelajah ke Flat Sri  Proton menziarahi 2 buah rumah, ketiadaan Pn Halijah Binti Othman beralamat No 105 Blok , Flat Sri Proton Sek 27 hari ini akan diraikan wakil Pejabat Adun Sri Muda esok dimana cenderahati sudah diberi.

Selesai di Seksyen 27 perjalanan diteruskan ke Taman Alam Megah 2 buah rumah dan terus ke 2 buah rumah di Lanchong Jaya

"Jangan kita lupa jasa baik warga emas, jika tiada dulu maka tiada sekarang.Selaras dengan slogan meneruskan kecemerlangan selangor justeru setiap lapisan masyarakat kita raikan" kata YB Shuhaimi Shafiei selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda.


Warga emas tertua yang diraikan hari ini ialah Pn.Fatimah Abdul Hamid berumur 94 tahun di Flat Sri Proton Seksyen 27 Shah Alam manakala En. Zakaria Bin Jaafar antara yang termuda dikalangan warga emas hari ini berumur 76 tahun

Lokasi seterusnya Program Ziarah Penghargaan Warga Emas akan diadakan di sekitar Jalan Kebun, lebih 40 orang akan di ziarah Adun Sri Muda YB Shuhaimi Shafiei kelak.



-Mj

    

13 Peserta Demonstran Menang Rayuan


TAIPING 19 SEPTEMBER: Semua 13 peserta demonstrasi dalam insiden rampasan kuasa di Perak pada 2009 menang dalam rayuan pelaksanaan hukuman denda RM5,000 dan dua tahun penjara mandatori.
Keputusan itu dibacakan di Mahkamah Tinggi Taiping sebentar tadi.
Peguam bela, Hanipa Maidin sebelum itu berhujah dan mempersoal kewajaran mahkamah mengenakan hukuman dua tahun penjara sedangkan ia hanya kesalahan bawah Seksyen 145 dan mereka yang terlibat tidak pernah melakukan kesalahan.
Beliau juga merujuk kes rogol kanak-kanak lima tahun apabila yang dihukum boleh diikat jamin dan bebas.
“Mengapa pula mereka ini tidak boleh ditangguh hukuman,” soalnya dipetik Keadilan Daily, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya bangun dan membantah permohonan penangguhan hukuman dan menyatakan hukuman mandatori adalah wajar.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Augustine Anthony menegaskan mengenai tahap kesihatan OKZ juga perjalanan kes sebelumnya.
Katanya, ramai antara mereka yang sudah kehilangan pekerjaan dan sudah pun ‘terhukum’.

selangorku

Kerajaan Negeri Akan Meneruskan Kecemerlangan


KLANG 18 SEPTEMBER : Kedudukan strategik kawasan Lembah Klang menjadikan Selangor sebuah negeri penyumbang utama ekonomi di negara ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurutnya, negeri ini berada di kedudukan strategik yang sering dijadikan tumpuan utama pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di Selangor.
Abdul Khalid berkata, biarpun Malaysia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan bagi tahun ini, Selangor akan terus merangka strategi baru untuk mengekalkan prestasi cemerlang yang dicapai pada tahun lalu.
“Kita bukan sahaja bernasib baik, tetapi kedudukan Selangor yang strategik sehingga menyebabkan ramai pelabur datang ke negeri ini.
“Sebagai usaha untuk meningkatkan perkembangan ekonomi di Selangor dan di Malaysia, pelaburan di negeri ini perlu diperluas dengan pelbagai aktiviti pelaburan dan pelbagai sektor terlibat supaya ia dapat ditingkatkan lagi,” katanya.
Abdul Khalid berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang menyatakan Malaysia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan bagi suku kedua tahun ini.
Ini mengakibatkan, BNM terpaksa mengkaji semula sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku tahun kedua tahun ini dengan hanya mensasarkan 4% berbanding 6% pada permulaan suku tahun pertama tahun ini.
Terdahulu, Abdul Khalid merasmikan bangunan baru pejabat YKGI Holdings Berhad serta perlancaran produk terbaru syarikat berkenaan di Kawasan Perindustrian Sungai Puloh, Kapar, Klang dekat sini, 13 September.
Turut hadir Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, Pengarah Urusan Kumpulan YKGI, Datuk Soh Thian Lai, dan Penasihat YKGI, Datuk Wahab Hamid.
Sementara itu, Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata sepanjang lima tahun lalu, Selangor berjaya membawa 1,429 projek perkilangan daripada dalam dan luar negara dengan jumlah pelaburan modal sehingga RM49.7 bilion.
Pada tahun lalu, Selangor menjadi negeri penyumbang utama pelaburan Malaysia dengan menerima RM11.7 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan melalui sektor perkilangan.
Abdul Khalid berkata, projek besi dan keluli di negeri ini juga mendapat jumlah pelaburan modal sehingga RM2.1 bilion sepanjang lima tahun lalu.
“Sebanyak RM1.5 bilion merupakan projek domestik dan selebihnya merupakan pelaburan asing sebanyak RM9.5 bilion, peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan pula sebanyak 3,237 tempat,” ujarnya lagi.

selangorku