Loading...

Thursday, September 19, 2013

Kerajaan Negeri Akan Meneruskan Kecemerlangan


KLANG 18 SEPTEMBER : Kedudukan strategik kawasan Lembah Klang menjadikan Selangor sebuah negeri penyumbang utama ekonomi di negara ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurutnya, negeri ini berada di kedudukan strategik yang sering dijadikan tumpuan utama pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di Selangor.
Abdul Khalid berkata, biarpun Malaysia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan bagi tahun ini, Selangor akan terus merangka strategi baru untuk mengekalkan prestasi cemerlang yang dicapai pada tahun lalu.
“Kita bukan sahaja bernasib baik, tetapi kedudukan Selangor yang strategik sehingga menyebabkan ramai pelabur datang ke negeri ini.
“Sebagai usaha untuk meningkatkan perkembangan ekonomi di Selangor dan di Malaysia, pelaburan di negeri ini perlu diperluas dengan pelbagai aktiviti pelaburan dan pelbagai sektor terlibat supaya ia dapat ditingkatkan lagi,” katanya.
Abdul Khalid berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang menyatakan Malaysia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan bagi suku kedua tahun ini.
Ini mengakibatkan, BNM terpaksa mengkaji semula sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku tahun kedua tahun ini dengan hanya mensasarkan 4% berbanding 6% pada permulaan suku tahun pertama tahun ini.
Terdahulu, Abdul Khalid merasmikan bangunan baru pejabat YKGI Holdings Berhad serta perlancaran produk terbaru syarikat berkenaan di Kawasan Perindustrian Sungai Puloh, Kapar, Klang dekat sini, 13 September.
Turut hadir Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, Pengarah Urusan Kumpulan YKGI, Datuk Soh Thian Lai, dan Penasihat YKGI, Datuk Wahab Hamid.
Sementara itu, Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata sepanjang lima tahun lalu, Selangor berjaya membawa 1,429 projek perkilangan daripada dalam dan luar negara dengan jumlah pelaburan modal sehingga RM49.7 bilion.
Pada tahun lalu, Selangor menjadi negeri penyumbang utama pelaburan Malaysia dengan menerima RM11.7 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan melalui sektor perkilangan.
Abdul Khalid berkata, projek besi dan keluli di negeri ini juga mendapat jumlah pelaburan modal sehingga RM2.1 bilion sepanjang lima tahun lalu.
“Sebanyak RM1.5 bilion merupakan projek domestik dan selebihnya merupakan pelaburan asing sebanyak RM9.5 bilion, peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan pula sebanyak 3,237 tempat,” ujarnya lagi.

selangorku

No comments: