Friday, September 6, 2013

Selesaikan Tebatan Banjir - YB Shuhaimi Shafiei

YB Shuhaimi Shafiei memantau kerja pemulihan banjir di Batu 4 Kg Jawa, MBSA sedang mengorek longkang besar bagi memastikan banjir lumpur tidak memudaratkan rakyat.


Shah Alam-Kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa mengeluarkan belanja bagi menyelesaikan projek tebatan banjir demi menjamin kualiti hidup rakyat

Gesaan itu diajukan oleh ADUN Sri Muda YB Shuhaimi Shafiei,berikutan hujan lebat melanda Lembah Klang hingga menyebabkan beberapa kawasan terjejas akibat banjir kilat

Semalam paras air meningkat mendadak terutamanya di kawasan Taman Rimau Perdana , Taman Alam Indah dan persekitaran Bukit Rimau.Kelmarin Pekan Batu Arang turut mengalami banjir lumpur dan isu berkaitan banjir itu dikaitkan dengan masalah saliran yang tidak berkesudahan.

Menurut Shuhaimi,Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) tidak berupaya melaksanakan program tebatan banjir secara holistik atas alasan kekurangan bajet daripada Kerajaan Negeri.

"Tiada makna sekiranya kerajaan negeri mengumumkan bajet berpuluh juta namun kesejahteraan hidup rakyat diabaikan dengan alsan tidak cukup kos.

"Buat apa duit banyak kalau tak belanja?Pada pandangan saya, isu banjir kilat ini sewajarnya diselesaikan oleh JPS, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan juga jurutera Daerah Klang dan Petaling" katanya kepada sinar harian

Shuhaimi Shafiei turut melahirkan kebimbangan ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini dan ditambah dengan Monsun Timur Laut yang biasanya melanda setiap penghujung tahun.

"Saya tidak mahu penduduk kawasan berisiko banjir ini mengalami nasib sama saban tahun.Mereka tidak sewajarnya menanggung beban yang tak sepatutnya"

"Kalau tak bersedia dari awal pastinya banjir kilat seperti 2012 yang seminggu tujuh kali air naik akan berulang" katanya

Dalam pada itu, beliau beberapa kali mendesak kerajaan negeri dan PBT ambil tindakan segera dan memikirkan langkah jangka pendek dan panjang bagi menyejahterakan rakyat.

"Sudah beberapa kali isu banjir kilat ini dibawa dalam mesyuarat kerajaan negeri namun tiada langkah proaktif yang diambil bagi menyelesaikannya" katanya

Sementara itu banjir yang berlaku di Taman Rimua Perdana, Taman Alam Indah Persekitaran Bukit Rimau kembali terkawal selepas hujan reda dan tiada arahan pemindahan penduduk dikeluarkan.

"Diharapkan isu ini tidak di pandang remeh walaupun ia hanya melanda pada musim tengkujuh dan hujan lebat sahaja namun sekiranya tidak ditangani akan terus menjadi barah, rakyat menanggung risiko" katanya


-Sinarharian

No comments: