Monday, September 9, 2013

Rasuah Merupakan Masalah Besar Dalam Sistem Pentadbiran - Ku Li


KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia Tengku Tan Sri Razaleigh Tengku Mohd Hamzah berkata rasuah merupakan masalah terbesar dalam sistem pentadbiran negara sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.
Katanya, amalan rasuah begitu berleluasa di peringkat tertinggi dan melibatkan jumlah wang yang banyak namun akhirnya rakyat terpaksa menanggung beban akibat daripadanya.
Beliau berkata, kerajaan membiarkan rakyat bawahan membayar kos tambahan akibat daripada kos projek yang terlalu mahal dan ini tidak boleh diteruskan lagi.
“Kerajaan sepatutnya kena tanggung dan selesaikannya.
“Banyak masalah akan dapat diselesaikan kalau kita dapat hapuskan amalan rasuah,” katanya mengulas isu defisit fiskal negara baru-baru ini.
Bagi mengatasinya, Bekas Menteri Kewangan itu menggesa semua menteri termasuk bekas menteri mengisytiharkan harta.
“Suruh semua orang, menteri, bekas menteri termasuk saya isytihar semua harta yang ada termasuk jumlah duit.
“Kemudian biar rakyat yang tentukan sebab kita ni semua milik rakyat. Isu rasuah ni tak boleh main-main,” tegasnya.
Bekas Presiden Semangat 46 itu turut menyatakan kebimbangan mengenai prestasi ekonomi negara yang dilihatnya tidak menunjukkan perkembangan baik sejak berlakunya krisis ekonomi pada tahun 2000.
Malah hutang isi rumah juga meningkat sehingga 85% termasuk beban kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel.
Beliau tidak menolak kemungkinan negara akan mengalami krisis ekonomi lebih serius jika kerajaan tidak bertindak mengambil langkah berjaga-jaga.
Mengulas mengenai pengurangan subsidi minyak, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan turut memotong subsidi yang diberikan kepada industri termasuk subsidi yang diberikan kepada penjana tenaga bebas (IPP).
“Sesetengah industri diberikan subsidi yang terlalu banyak. Ini perlu dikurangkan segera dan kita tak boleh bertoleransi lebih lama lagi,” katanya
Beliau bagaimanapun melihat pengurangan subsidi minyak sebanyak 20 sen adalah wajar kerana melihat kerajaan tidak boleh menanggung beban subsidi terlalu lama ketika berada tekanan ekonomi global semasa yang semakin mendesak.

fmt

No comments: