Thursday, September 5, 2013

Debat Takut , Berdialog Pun Takut . Tiada Kreadibiliti


Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menempelak keengganan pemimpin Umno yang dengan jelas menolak rundingan damai antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Penasihat PKR itu melalui posting di akaun Twitter @anwaribrahim, berkata beliau hairan kerana beberapa pemimpin Umno enggan menerima dan meragui usul yang dikemukakannya semasa perutusan Hari Kemerdekaan negara di Ibu Pejabat PKR hujung bulan lalu.
"Saya hanya minta diadakan dialog terbuka di antara pemimpin BN dan PR, tetapi pemimpin Umno pula diserang histeria.
"Ajak berdebat, mereka tak mahu. Ajak berdialog, mereka tuduh gila. Apa lagi Umno mahu?" soalnya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno melahirkan kecurigaan terhadap Anwar yang mengajak dua parti terbesar negara itu untuk berunding.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir melihat cadangan pemimpin pembangkang itu sebagai usul terdesak.
Seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno mendedahkan kepada The Malaysian Insider pada Isnin, jika keputusan diserahkan sepenuhnya kepada ahli MT Umno, jemputan Anwar untuk mengadakan dialog pastinya ditolak secara terang-terangan.
Kebanyakan ahli MT menolak cadangan ketua pembangkang itu namun Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak membangkitkan isu itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jumaat lalu.
Sumber itu menjelaskan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam kelihatan paling meragui tawaran Anwar untuk mengadakan dialog.
Mereka menuduh Anwar tidak jujur dan menyatakan bahawa satu-satunya alasan untuk tawaran berdialog itu ialah untuk memastikan perjuangan Anwar terus relevan, terutama sejak petisyen yang difailkan parti pembangkang ditolak oleh mahkamah.
“Ada beberapa ahli majlis tertinggi seperti Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Datuk Saifuddin Abdullah yang memberikan pandangan lebih sederhana dan munasabah,” katanya.
Awang menyatakan mengenai orang Melayu mahu melihat perpaduan, sementara Saifuddin berkata, majlis perlu memberi maklum balas terhadap tawaran itu secara berstrategi, terutama sejak Najib ada bercakap mengenai pendamaian kebangsaan pasca pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Perdana menteri hanya mendengar tanpa memberikan pandangan, kata sumber itu.
Anwar semasa perutusan sehari sebelum hari kemerdekaan negara ke-56 menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah negara.
Ketua Umum PKR itu berkata, meskipun PR mendapat undi majoriti rakyat, namun mereka bersedia melupakan ketegangan dan penyelewengan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pilihan raya 5 Mei lalu.
Beliau menjelaskan antara topik yang boleh dibincangkan bersama ialah membabitkan isu kaum dan agama yang mencetuskan ketegangan akhir-akhir ini; masalah ekonomi negara yang semakin merudum dan masalah jenayah yang semakin membimbangkan rakyat di seluruh negara. Katanya, perbincangan juga harus menyentuh aspek urus tadbir kerajaan bagi membasmi rasuah dan keadilan dalam pemberian tender. – 5 September, 2013.

No comments: