Thursday, September 12, 2013

Disember ini Akan Terjawab Kemelut Penstukturan Air Selangor


SHAH ALAM: Penstrukturan industri air Selangor membabitkan kerajaan negeri dan pusat yang turut melibatkan Projek Langat 2 akan diselesaikan selewat-lewatnya 31 Disember depan.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, melalui surat bertarikh 9 September lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Maximus Ongkili antara lain menyatakan pihaknya telah mempertimbangkan semua hujah dan fakta yang dikemukakan kerajaan Selangor dan yakin isu penyusunan semula ini akan diselesaikan hujung tahun ini.
“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada menteri yang secara peribadi telah memberikan komitmen bagi memastikan pengurusan air diserahkan semula kepada kerajaan negeri selaras dengan  Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri mengulangi kesediaan untuk mengambil alih operasi air secepat mungkin memandangkan penyelesaian isu ini semakin hampir dicapai.
“Kita juga yakin dengan pengurusan yang lebih tersusun, berhemah dan profesional, industri air di negeri ini akan mampu dipertingkatkan demi kebaikan pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,”katanya lagi.
Katanya, perjanjian itu melibatkan dua bahagian; proses penilaian yang melibatkan beberapa perbezaan persepsi namun tidak menjejaskan perjanjian serta modus operandi pengambilalihan air.
Namun Abdul Khalid berkata buat masa ini pihaknya tidak dapat mendedahkan butiran terperinci syarat dan terma perjanjian kepada umum sehingga selesai mengadakan pertemuan antara Maximus dengan pemegang konsesi.
“Pemilik saham perlu diberikan taklimat tentang terma terlebih dahulu sebelum perjanjian ini dimeterai,” katanya.
Beliau turut menjamin pemberian air percuma kepada rakyat Selangor tidak akan terjejas berikutan penstrukturan air itu memandangkan ia sebahagian daripada manifesto kerajaan Pakatan Rakyat.

fmt

No comments: