Wednesday, September 25, 2013

Peniaga Makanan Akan Naikkan Harga Akibat Kos Meningkat


KUALA LUMPUR: Harga makanan dan minimum berkemungkinan akan naik dari 10 sen hingga 20 sen jika harga gula naik ekoran kenaikan harga minyak baru-baru ini.
Pada waktu yang sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam menyaran kerajaan mengurangkan subsidi harga gula secara berperingkat sebagai langkah menggalakkan rakyat mengurangkan penggunaan bahan itu dalam makanan dan minuman sekaligus mengurangkan penghidap diabetes.

Astro AWANI membuat tinjauan di beberapa restoran di ibu kota dan meminta pendapat mereka jika harga gula benar-benar naik oleh faktor kenaikan harga minyak dan juga cadangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi.

"Kami memang bercadang untuk naikkan harga pada bulan depan. Sebagai contoh teh o ais akan naik dari RM1.50 ke RM1.60. Milo Ais naik 20 sen dari RM2.00. Harga teh tarik tidak naik kerana banyak permintaan," kata pemilik restoran Makanan Islam Alma Zainol Abdullah.

Beliau juga akui agak sukar untuk menaikkan harga dengan tinggi kerana restoran beliau berhampiran dengan sebuah universiti.

"Kalau naik 10 sen pun para pelajar akan memilih untuk makan di tempat yang lain," tambah beliau.

Sebuah restoran di Pudu juga akan menaikkan harga makanan dan minimun mereka namum belum ditetapkan masa untuk melaksanakan harga baru.

"Kalau harga gula naik, mesti harga barang di restoran kami akan naik. Naik ke tak, gula tetap satu keperluan. Cuma boss sahaja tidak memberitahu bila ia akan naik," kata pekerja Restoran Anuja Mohan Thilak.

Omar Farooque dari restoran Husen Cafe memberitahu bahawa beliau tidak akan menaikkan harga untuk menjaga hati pelanggan.

"Kalau naik harga, saya risau pelanggan akan marah jadi kami tidak akan menaikkan harga.

"Sebagai contoh harga teh tarik tidak akan naik. Walaupun kami rugi disitu tetapi ia akan seimbang dari keuntungan milo ais kerana ia tidak memerlukan kandungan gula yang banyak. Kami rugi dari sesetengah miniman tetapi minuman yang lain, ada keuntungannya," kata beliau.

Tambah beliau aspek lain juga penting dalam kos perbelanjaan seperti kos sewa dan gaji pekerja yang kian meningkat. Harga makanan dan minuman tidak bergantung kepada harga gula semata-mata.

"Dalam tempoh 15 tahun, sewa naik 500 peratus namun harga makanan naik 10 peratus sahaja dalam tempoh yang sama. Sebagai contoh, harga roti canai naik 20 sen sahaja dalam tempoh 15 tahun. Ia langsung tidak seimbang. Saya harap pelanggan paham dengan situasi kami juga jikalau harga makanan naik." kata Omar.

astroawani

No comments: