Loading...

Wednesday, September 25, 2013

Belanjawan Negara Harus Mencapai Matlamat Yang Dibentangkan


Keadaan kewangan negara berada dalam keadaan lemah lagi rapuh dengan penurunan ‘rating' antarabangsa oleh agensi penilaian kredit antarabangsa Fitch, diganding dengan unjuran penunjuk negatif perkembangan ekonomi sedunia memestikan kerajaan mengusulkan sebuah belanjawan yang jujur lagi berani (an honest and brave budget).
Negara telah masuk tahun ke-16 dengan belanjawan defisit sejak tahun 1998 walaupun sebelum itu pengurusan kewangan negara cukup sihat dengan belanjawan surplus yang membanggakan.

Pakatan Rakyat memandang dengan penuh prihatin pembentangan Usul Perbekalan Tambahan ke atas perbelanjaan operasi bernilai RM15.014 billion yang terdiri daripada:

(1) RM14.13 billion untuk "perbelanjaan bekalan"; dan
(2) RM888.46 juta untuk "perbelanjaan tanggungan"

Andaikan jika tiada perubahan ke atas ramalan pendapatan, perbelanjaan pembangunan, pemulihan pinjaman dan KDNK (dalam harga terkini), nisbah belanjawan kepada KDNK untuk 2013 akan melonjak kepada 5.5 peratus. 

Nisbah defisit kepada KDNK 5.5 peratus ini menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan pimpinan BN gagal mencapai sasaran defisit 4 peratus seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2013 pada 28 September 2012. 

Harus diingatkan kerajaan pimpinan BN juga telah gagal mencapai sasaran defisit 4.5 peratus dalam tahun 2012.
Dalam laporan The Star 17 Ogos 2013, pakar ekonomi Tan Sri Ramon Navaratnam, pengerusi Asli Centre for Public Policy Studies berkata:

"Pengurangan lebih pesat ke atas defisit fiskal dan hutang negara perlu menjadi keutamaan... sekiranya kita tidak melakukan ini, berkemungkinan ekonomi negara akan terus jatuh mendadak."

'Bailout' ranapkan negara
Perbelanjaan tambahan untuk 2013 ini berkemungkinan akan menyebabkan nisbah hutang awam kepada KDNK akan melebihi sempadan 55 peratus (naik dari 45 peratus pada Julai 2009 dan dari 40 peratus pada April 2008) di hujung 2013, selepas melangkaui 53.3 peratus pada hujung 2012 - antara rekod tertinggi di Asia Tenggara.

Sekiranya kita mengambil kira pinjaman yang dijamin kerajaan yang dianggarkan bernilai RM147 bilion, juga dikenali sebagai ‘liabiliti luar jangka' - pendedahan pinjaman berkemungkinan bakal mencecah 70 peratus daripada KDNK hujung tahun ini. 

Ini mempunyai suatu risiko yang tinggi, yang akan menekan akaun kerajaan persekutuan sekiranya gagal dibayar. Kos menyelamat atau ‘bailout' yang tinggi akan terus meranapkan kewangan negara.
Rakyat memerlukan ‘belanjawan jujur dan berani' yang akan membina daya saing, melebarkan sumber pendapatan negara dan menstrukturkan ekonomi agar meninggalkan amalan ekonomi kronisme, pembaziran dan pengherotan pasaran dengan kadar segera.
Justeru, Pakatan berhasrat membentangkan Belanjawan Alternatif 2014 yang akan tertumpu kepada tanggungjawab fiskal yang mampan melalui reformasi struktur belanjawan seperti memperkukuhkan peraturan perbelanjaan dan pembelian aset kerajaan untuk mengurangkan pembaziran serta ketirisan dan kos yang melampau. 

Ia juga akan mengukuhkan dasar inovatif untuk melebarkan sumber pendapatan diganding dengan pemantauan perbelanjaan untuk penjimatan serta mengutamakan perbelanjaan yang memberi manfaat maksimum kepada rakyat merentasi semua kementerian dan agensi kerajaan.
Akhir sekali, kita mesti jujur dan berani mengaku bahawa masa depan perkembangan ekonomi negara bukan sahaja akan terjamin malah akan berkembang dengan teramat pesat sekali jika reformasi politik dilaksanakan.

Ia akan menjadi penimbang tara dan penentu dasar-dasar ekonomi yang menguntungkan semua rakyat dan bukan segelintir kecil rakyat terpilih.

NURUL IZZAH ANWAR ahli Parlimen Lembah Pantai dan naib presiden PKR. STEVEN SIM ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, HATTA RAMLI ahli Parlimen PAS Kuala Krai.

No comments: